Qiamulail dan Kuliah Subuh 4 Ramadhan


Bismillahirrahmanirrahim

Moga ibadah yang dilakukan dinilai Allah sebagai ibadah yang diredhai oleh-Nya.  Sekali kita melangkah ke masjid, alhamdulillah syukur kerana kita dapat dirikan solat tahayatul-masjid, kita berniat iktikaf di masjid, dapat pula saf pertama solat berjemaah.  Amal ibadah biar terbaik. Kejarlah agar sentiasa dapat melakukan ibadah yang terbaik, dapat tolong  orang pun biar dapat tolong  yang terbaik.

Sesiapa yang mampu memelihara solat 5 waktunya secara berjemaah, InsyaAllah dia tidak akan 
  • ditimpa susah atau kefakiran selama-lamanya, 
  • akan dijauhkan Allah dari siksa kubur, 
  • akan mengambil suratan-amal dengan tangan kanan, 
  • akan dapat merentas titian sirat yang lebih halus dari rambut dan lebih tajam dari mata pedang, seperti kilat dan 
  • akan dapat masuk ke syurga Allah tanpa hisab.... ameen

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Jikalau manusia mengetahui apa ganjaran azan dan berada di saf yang pertama dan tidak ada jalan lain untuk memperolehi azan dan di saf yang pertama kecuali dengan cara mengundi, nescaya mereka berundi. (HR Bukhari)


Namun, penilaian yang pertama walaupun berhasil mendapat saf yang pertama ialah ikhlas.  Ikhlas InsyaAllah akan mampu diperolehi dengan kita sentiasa bertambah beristighfar kepada Allah. Sentiasalah beristighfar.  Ikhlaskan hati pada Allah, mengharap ibadah diterima...ameen.. Allah terima amalan orang yang bertakwa.  Ambillah dunia sekadar  yang perlu sahaja.  Untuk mencapai takwa, tinggalkan harta yang berlebih-lebihan.  Zuhud pada dunia dengan jalan bersederhana sahaja.  


  • Kesempurnaan takwa ialah kena sentiasa bertambah taubat pada Allah.  Ikhlas hati dalam melakukan taubat.  


  • Kesempurnaan syukur ialah dengan jalan mengetahui kekurangan yang ada dalam diri kita. Syukur dengan bermacam kurnia yang Allah beri.  Ingat semua pemberian datang dari Allah.  

  • Kesempurnaan sabar ialah dengan tekun melakukan ibadah kepada Allah.  Istiqamah beribadah. Biar ada matlamat setiap hari.  Kenal terhadap siapa kita bermunajat.  Tahu doa dan permohonan apa yang kita baca.  Sedar terhadap panggilan Allah yang mesti disahuti.  Ingat bahawa Allah adalah raja segala raja, hakim segala hakim.  

Allah Taala jadikan ruang kejahatan yang mana cinta dunia adalah punca kepada segala kejahatan yang ada.  Kunci kebaikan adalah zuhud dengan dunia. Tidak berlebih-lebihan terhadap dunia. Ingat bahawa segala yang hidup pasti akan mati.  Tidak ada kehidupan dunia melainkan ianya hanya tipu-daya semata-mata.  Semua adalah ujian buat kita. Kita rasa rumah kita yang besar itu hak kita, tapi cicak kata itu hak dia, tikus pula kata itu hak dia.  Kita rasa kebun kita hak kita, tanaman yang tumbuh subur semua hak kita, tapi cacing dan ulat kata itu hak dia.  Hakikatnya semua adalah hak Allah yang kita kena pelihara.  

Bulan Ramadhan adalah bulan melakukan ibadah untuk menghasilkan orang yang bertakwa di sisi Allah.  Moga kita semua berhasil menjadi orang yang bertakwa.  Dengan takwa lah, dapat menjaga iman.  Dindinglah hati kita, pagar hati kita supaya sukar diganggu syaitan selepas ini.  Sepertimana kita buat pagar atau dinding di rumah kita untuk lindung anak-isteri kita dari pandangan orang yang lalu-lalang di luar sana, begitulah juga dengan iman kita yang mesti dipagari.  Bina takwa dalam diri.

Wallahu'alam.

1 comment:

Anonymous said...

Ya Allah istiqamahkan kami dalam amal soleh sepanjang bulan Ramadan yg berbaki ini dan temukan kami dengan Lailatul Qadr.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...