Empat Adab Mencapai Khusyuk Dalam Solat



Bismillahirrahmanirrahim.

Mudah-mudahan setiap dari kita bersih hati, moga timbul keikhlasan dalam beribadah. Kita sekarang sudah berada di bulan Rejab, tinggal lagi beberapa hari nak masuk bulan Sya'ban dan seterusnya menanti kehadiran Ramadhan.. Sentiasa kita berdoa pada Allah...


اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيْ رَجَبٍ وَشَعْبَانَ وَبَلِّّغْنَا رَمَضَانَ
(Allahumma baariklana fii rajabin wa sya’baana wa ballighnaa ramadhaan)

Yang bermaksudnya: “Ya Allah ya Tuhanku, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya’aban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan”. (HR Baihaqi)


Kata ustaz dalam Kuliah Maghrib:

Disebut, hari yang paling besar bagi kita umat Muhammad SAW ialah hari di mana berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj. Berkata ulamak sufi: "Hakikat diperlakukan ke atas Nabi SAW peristiwa Israk dan Mikraj bukan sebab nak diberi solat 5 waktu, tetapi sebab nak diberi kepada Nabi SAW, kesempurnaan sembahyang."

Menyentuh perihal martabat khusyuk, ulamak menggariskan 20 kaedah untuk nak sampai pada hakikat khusyuk dalam solat. Namun dengan merujuk hikmah dari peristiwa Israk Mikraj, ustaz nak sebut 4 sahaja kaedah/adabnya iaitu:

1)Bersihkan hati.
Sebagaimana Nabi SAW sebelum di bawa untuk perjalanan Israk dan Mikraj, Nabi SAW dibersihkan hati  terlebih dulu melalui peristiwa bedah hati oleh Malaikat Jibril. Begitulah juga dengan kehidupan kita, mesti dibersihkan terlebih dulu hati sebelum nak jumpa Allah. Caranya melalui membiasakan lidah kita memperbanyakkan zikrullah. Perbanyakkan istighfar dan hidupkan zikir La ila ha illallah. Sebutkan secara zahir dan batin, bukan sekadar lafaz di mulut sahaja.

2)Memperbanyakkan berdiam diri.
Sebagaimana keadaannya Rasulullah SAW ketika dah duduk di atas Buroq iaitu kenderaan yang membawa Nabi SAW ketika Israk dan Mikraj. Maka begitulah juga dengan kehidupan kita, di mana hendaklah kita memperbanyakkan berdiam diri bermula dari sekarang. Bermula dari sekarang, perbanyakkan menjaga lidah, menjaga bicara. Banyak aspek kebaikan yang boleh kita dapat dengan kita menjaga lidah. "Ingat tuan-tuan... jagalah adab, jagalah lidah. Hati dan jari yang menulis termasuk dalam kategori lidah kerana yang berbicara di forum-forum, di facebook, di blog dan sebagainya adalah lidah. Jangan pandai-pandai kita keluarkan hukum. Jangan cepat katakan hukum kalau kita tak tahu.  Orang yang berkata sedangkan dia tak tahu, akan terserlah kejahilannya. Maka perbanyakkan berdiam diri.  Tinggalkan perkara yang merepek dan yang mengarut. Orang yang banyak berkata, akan banyak dosa. BIla banyak dosa, akan mengheret kita ke neraka...nauzubillah.

3)Banyakkan buat solat sunat.
Sebagaimana Nabi SAW, bilamana sampai di tempat yang besar dalam perjalanan Israk Mikraj,  akan berhenti lalu dirikan solat sunat. Begitulah juga kita, perlu memperbanyakkan buat solat sunat. Jangan dah rasa banyak dah buat. Jangan dah rasa cukup dengan apa yang dah kita buat.  Solat-solat sunat dapat mendekatkan diri kita pada Allah Taala. Bila dekat dengan Allah kita akan redha menerima apa jua ketentuan Allah. Kata ustad, doa yang sering kita ulang baca dari Surah al-Baqarah ayat 286 iaitu" ...La yukal lifullah hu nafsan illa wus 'aha....' kalau kita faham maksudnya, pasti kita tak akan merungut bilamana contoh ada krisis air atau ditimpa keadaan panas berpanjangan dsb. Jangan kirannya kita dah 40tahun tau baca ayat tu, tapi tak faham maknanya.  Mari kita perbanyakkan buat solat sunat. Yang sunat akan mengangkat martabat seorang hamba InsyaAllah. Sering2lah lakukan solat sunat Awwabin yang dikhususkan waktu mendirikannya selepas solat Maghrib. Waktunya terkhusus iaitu antara selepas Maghrib sehingga sebelum masuk waktu Isyak. Mari kita rebut peluang ini.

4)Duduk di maqam Ehsan.
Sebagaimana Nabi SAW sebelum diberi perintah sembahyang 5 waktu, Nabi SAW bila sampai di Sidratul Muntaha, diperlihatkan Allah Taala pada Nabi SAW. Begitulah juga pada kehidupan kita, untuk nak sampai pada kesempurnaan sembahyang wajiblah untuk kita merasa seolah-olah nampak Allah. Jangan kiranya kita rukun Islam lepas, rukun Iman lepas, namun rukun Ehsan tercicir. Kita tak dapat capai khusyuk mungkin sebab tak sampai maqam ehsan, walaupun dah ada Iman dan Islam. Kalau kita hidupkan maqam ehsan dalam solat, InsyaAllah di luar solat pun kita akan dapat maqam ehsan. Bila tengok laut, tengok bukit, tengok semua yang ada di sekeliling kita, akan nampak Allah. Akan dapat merasai kebesaran Allah..Allah hu Akbar.

Maka mari kita didik diri kita agar seolah-olah melihat Allah. Bila dah duduk di maqam ehsan, dah nampak Allah, maka dah tak akan berasa kita dah, dah tak nampak upaya kita, semuanya Allah. Bila tak nampak kita, itu lah khusyuk.

Dan perlu sedar dan ingat bahawa Allah sentiasa memerhatikan kita.. Allah sedang melihat kita. Jadi, awas terhadap setiap amalan dan tindak tanduk kita kerana semuanya tak lepas dari pengawasan Allah. Maka, usahalah agar kita dapat duduk di maqam ehsan. 

Hati kita jangan dibiarkan kosong kerana jika kosong dikhuatiri akan masuk benda lain. Maka hati mesti sentiasa di-isi dengan zikrullah. Ingat Allah walau di mana kita berada.

Wallahu 'alam.

3 comments:

Anonymous said...

Posting yg power. TQ Maam.

Unknown said...

Alhamdulillah wasyukurillah

Unknown said...

Alhamdulillah wasyukurillah

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...