Segalanya Bermula Dengan Niat

Dunia sudah hampir sampai ke penghujung. Elok lah kita sama-sama tingkatkan amal. Jangan amal masih di takuk lama. Jika tahun sudah kita hanya berjaya istiqamah solat Dhuha 2 rakaat, apa kata tahun ini kita tambah 2 rakaat lagi biar jadi 4 rakaat setiap pagi. Kalau selama ini kita ikut bersolat Kobliah dan Baadiyah hanya bila sesekali ke masjid, apa kata kita cuba menjadikan ia sebagai rutin sebelum dan selepas kita bersolat fardhu di rumah.

Biar ada peningkatan dalam kualiti amal kita selari dengan masa yang bergerak pantas, bersaing dengan usia kita yang makin hari semakin berkurang. Orang kata... dunia dah kata pergi, kubur pun dah kata mari...

Segala amalan dan perlakuan kita semuanya bermula dengan niat. Jika niat baik, InsyaAllah akan mendapat pahala yang menjanjikan Syurga buat kita. Jika niat tidak baik maka secara tidak langsung ia membawa kepada dosa, lalu dosa itu akan membawa kita kepada Neraka.

Mari kita perbaiki amalan masing-masing. Biar ada niat dalam hati kita untuk memperbaiki amalan yang mana kurang di sini sana. InsyaAllah rahmat Allah akan sentiasa bersama kita jika kita sentiasa cuba memperbaiki amalan kita. Usaha kita tidak akan sia-sia sebaliknya InsyaAllah Allah akan sentiasa beri hidayah pada kita. Jalan kebenaran akan sentiasa menyuluh kita, cahaya kebenaran sentiasa menerangi. Bila rahmat Allah dekat dengan kita, hati akan sering rindu untuk banyak melakukan amal, hati akan rasa teringin untuk sentiasa berjemaah di masjid dan duduk mendengar di majlis ilmu.

Niat.... apa sebenarnya niat dalam hati kita? Berniatlah semuanya kerana Allah. Contoh bila nak pergi kerja, niatlah "...aku nak pergi kerja ni untuk dapat rezeki yang halal semata2 kerana Allah..." Bila dah niat macam tu, perkerjaan yang kita lakukan secara automatik akan bertukar menjadi ibadah yang pastinya ada ganjaran pahala di sisi Allah.

Apa saja amalan kita bergantung kepada niat. Kalau hati baik, amalan baik lah kita. Kalau buruk maka buruklah kita. Allah akan singkap hati kita, tak boleh tipu Allah. Allah Maha Mengetahui segala isi hati. Niat yang ikhlas, niat yang baik akan diangkat oleh Allah. InsyaAllah akan beroleh ganjaran pahala. Amal bergantung kepada niat. Rosaknya amal juga kerana niat. Mungkin juga niat kita baik tapi malangnya bila perlaksanaannya tak betul, maka semuanya menjadi sia-sia. Niat mestilah berlandaskan syariat Allah. Amal kita akan binasa kalau tak ikut syariat Allah.

Pokok niat adalah semata-mata kerana Allah. Sebagaimana ayat yang kita baca dalam doa Iftitah sebelum al-Fatihah dalam solat: "... Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah untuk Allah Tuhan sekelian alam..."

Bila berniat, ikhlaskan kerana Allah. Jauhi perasaan riak dan ujub dalam ibadah. jangan ada perasaaan ingin dipuji oleh makhluk bila kita pergi ke masjid contohnya. Kena ikhtiar pelihara diri dari berperasaan riak.

Rasa riak boleh dikawal dengan cara kita sentiasa bermujahadah dalam menentang hawa nafsu. Kena ada benteng untuk menghalang hawa nafsu dari menguasai diri kita. Biar kita yang kuasai dia, bukan dia yang kuasai kita. Selain itu mesti melazimkan diri dengan niat semuanya kerana Allah. Lazimkan perkataan berbuat kerana Allah. Kalau terima pujian pula, ingatlah pada Allah dengan mengucapkan Alhamdulillah.

Niat bila dah baik, jangan pula perlaksanaannya salah. Kalau tau buat salah, jangan buat lagi. Jangan bila kita dah tau ianya salah, kita terus juga melakukannya. Kena perbaiki kesalahan-kesalahan kita. Kena minta ampun pada Allah, perbanyakkan beristighfar.

Biar sungguh-sungguh dalam beribadat contoh kalau niat nak bangun Tahajjud tapi tak terbangun juga, InsyaAllah melalui niat itu saja dah dapat pahala. Malam seterusnya cuba lagi untuk realisasikan niat kita untuk bangun Solat Tahajjud itu. Usaha yang ikhlas InsyaAllah akan mendapat bantuan dari Allah SWT.

Mari sama-sama kita perbetulkan niat... biar baik niat kita... biar semuanya hanya semata2 kerana Allah.

1 comment:

bidadarialju.com said...

assalamualaikum wbt.
alhamdulillah perkongsian yang berguna
saya minta izin copy and share boleh?
in syaa allah jazakillahu khairan kasira :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...