Mudah-mudahan Kita Tidak Jadi Orang Yang Menyesal

Bismillahirrahmanirrahim.

Dalam tazkirah maghrib malam tadi ustaz meminta kita renungkan tentang kesalahan  kaum2 terdahulu yang menyebabkan Allah menjadi begitu murka terhadap mereka sehingga Allah membalas perbuatan mereka dengan seburuk-buruk kejadian.  Salah satu sebabnya ialah kerana mereka tak cegah kemungkaran.

Dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh ulama-ulama hadis, antaranya Muslim, dan diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri r.a., sabda Rasululah s.a.w. yang bermaksud; "Sesiapa di kalangan kamu melihat perkara mungkar maka hendaklah dia mengubah dengan tangannya, sekiranya tidak mampu maka dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu lagi maka dengan hatinya dan dengan yang demikian itu (dengan hati itu) adalah sedaif-daif iman."

Tuan-tuan..., kata ustaz.
Tidak semua manusia kita boleh bantu ubah dengan mudah. Apabila kita lihat kemungkaran, kita boleh ubah dengan tangan.  Tapi tak semua orang kita boleh ubah dengan tangan.  Cegah kemungkaran satu kewajipan, suruh orang buat baik itu juga satu kewajipan, kata ustaz. Akal memang Allah jadikan untuk kita gunakan agar dapat bezakan yang mana baik yang mana salah. Tapi akal itu mesti digunakan berteraskan ilmu. Kena ada ilmu dalam menggunakan akal. Jangan main cakap sahaja, kerana perkataan kita boleh mendatangkan bahaya yang besar jika tidak disertakan dengan akal yang berilmu. Akal yang Allah bagi pada manusia sesungguhnya tidak pandai berbohong. Tapi ramai yang tidak mahu mengikut kehendak akal, lebih rela membiarkan diri mengikut kehendak hawa nafsu demi kerana menjaga sesuatu kepentingan.

Orang yang tak mampu nak ubah dengan tangan, kita boleh cuba ubah dengan mulut maksudnya dengan kata-kata. Yang tak mampu ubah dengan mulut pula, ubah dengan hati. Semua orang ada kemampuan untuk ubah dengan hati. Itu adalah selemah-lemah iman. Rasa tak suka pada perkara maksiat, penyelewengan, salah-guna kuasa, penindasan, fitnah, penganiayaan dan sebagainya, semua orang boleh menentang atau tidak bersetuju di dalam hati. 

Jika membiarkan maksiat terus berleluasa, itu lah salah satu sebab mengapa turunnya musibah dari Allah Taala. Dengan apa yang berlaku hari ini, ambik pengajaran, perbaiki diri kita, mudah-mudahan kita tak jadi orang yang menyesal. Jangan bila dah mati baru kita nak menyesal. Ingat bahawa siksa kubur itu benar. Perlu bersiap sedia untuk menghadapi kubur dengan amal yang soleh, sebab selama masih hidup, Allah telah memudahkan bagi kita untuk melakukan segala amal soleh. Namun sayang sekali kerana, peluang yang diberikan tidak dipergunakan sebaik mungkin. Kita banyak membiarkan masa berlalu begitu saja. Maka, jangan kiranya bila dah sampai waktu masuk ke lubang kubur baru timbul rasa menyesal. 
..........................................

Dalam kuliah yang lain, ustaz berpesan tentang perkara yang sama iaitu, beramallah sebelum sampai detik kematian. Seorang yang berakal harus berfikir dalam hal orang-orang yang telah mati, kerana orang-orang yang telah mati itu, mereka sangat ingin sekali kalau dapat kembali ke dunia untuk mendirikan sembahyang dua rakaat, berzikir dengan tasbih, tahmid dan tahlil.

Maka jangan lah kita terus menerus membuang waktu pada perkara-perkara yang sia-sia, yang melalaikan dan yang hanya akan merugikan diri kita sendiri. Persiapkan diri dengan mengumpulkan sebanyak mungkin bekal dan keperluan kita untuk hari akhirat, yang pada saat itu amalan soleh semasa di dunia begitu amat berharga buat kita. Berdoa pada Allah agar sentiasa memberi taufiq untuk kita mengerjakan amal soleh agar nanti kita tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang menyesal, bilamana di saat ingin kembali melakukan amal soleh waktu itu sudah tidak di-izinkan lagi...

Beringat-ingatlah kita, di saat kita menangguh-nangguhkan amal berapa ramai orang yang telah meninggal dunia begitu berharap untuk dapat kembali beramal. Sentiasalah mencari peluang untuk merebut pahala kebaikan. Waktu masih ada kesempatan di dunia, inilah peluang yang perlu direbut. Kata ustaz, umpama pekerja asing yang datang bekerja di negara kita, dia akan bersungguh-sungguh bekerja bertiketkan paspot dan visa yang ada, dengan bekerja semahunya untuk mendapatkan sesuatu yang berharga untuk dihantar balik ke negaranya. 

Begitulah ibaratnya kita sebagai hamba Allah hendaklah menjadikan dunia sebagai jambatan untuk akhirat. Gunakan dunia dengan sebaik mungkin untuk mencapai kebaikan di akhirat nanti. Orang yang ingat akhirat, dia tidak akan mensia-siakan masa.  Setiap detik hidupnya ada manafaat untuk keuntungan akhirat. Ingatlah bahawa apa yang ada pada kita di dunia ini semua akan ditinggal, yang akan kita bawa hanya tiga helai kain sahaja semasa mati. Oleh itu bersungguh-sungguhlah mencari bekal bermodalkan sisa usia yang ada untuk suatu perjalanan panjang sesudah mati. Perhebatkan usaha merebut pahala akhirat. Ustaz membacakan satu hadis Nabi SAW;

Dari Ibnu Umar radhiallahuanhuma berkata : Rasulullah saw memegang bahu saya seraya bersabda : “Jadilah engkau di dunia seakan-akan orang asing atau pengembara”, Ibnu Umar berkata : “Jika kamu berada pada waktu petang hari jangan tunggu pagi hari, dan jika kamu berada pada waktu pagi hari jangan tunggu petang hari, gunakanlah kesihatanmu untuk (persiapan saat) sakitmu dan kehidupanmu untuk kematianmu”(Hadis Riwayat Bukhari)

Kata ustaz, gunakanlah waktu sihat kita sebelum datangnya waktu sakit. Waktu sihat inilah perlu kita beramal bersungguh-sungguh. Kalau datang sakit baru nak beramal, bukan saja kurang sempurna ibadah bahkan ada yang tak mampu buat amal langsung.. Dan menyebut tentang masa hidup sebelum datang waktu kematian, maka jangan kita tangguh-tangguhkan lagi amalan. Ustaz mengkiaskan bahawa di saat quran kita di atas lemari sudah berhabuk, maka pada saat dan ketika itu di dalam hati kita mungkin terdapat lebih tebal lagi habuknya... nauzubillah...


Wallahu a'lam.

1 comment:

Anonymous said...

Satu lagi posting bermanfaat bagi org yg melihat dgn matahati. Hari yg pergi tidak akan kembali. Penuhi hari ini dgn pahala bukan dosa. Lakukan segala sesuatu Ikhlas kerana Allah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...