Sembahyang Yang Khusyuk

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah dapat sampai ke masjid dalam 8 suku.  Kira tak lah lewat sangat untuk kejar ikut kuliah ustaz yang istiqamah sampaikan ilmu dalam bab Solat.  Hari itu, alhamdulillah, hari yang terakhir kami berpuasa enam sunat bulan Syawwal.  Dah pasang niat untuk singkatkan sedikit masa makan semasa berbuka agar dapat sampai awal untuk hadir di majlis ilmu.  Alhamdulillah.

Waktu kami sampai ustaz tengah cerita bahawa...
Zikir-zikir yang kita baca contoh zikir Subhanallah Walhamdulillah Walaila ha illallah Wallahu Akbar, akan menyebabkan bunyi melitup2 di sekitar Arashy.  Bunyinya seakan-akan bunyi lebah yang mana bunyi itu dikatakan sedang menyebut2 tuan yang sedang berzikir itu.. Subhanallah

Sembahyang yang kita dirikan, biarlah sembahyang yang dapat menetapkan seluruh anggota.  Jangan tak stabil anggota, biar tetap dan elakkan dari bergoyang-goyang atau bergerak-gerak anggota ke sana ke mari. Jika banyak berlaku pergerakan menunjukkan hati yang tidak stabil.

Dalam memelihara sembahyang dan mendirikannya, hendaklah usaha timbulkan khusyuk dalam diri dengan sebaik-baiknya, menghadirkan hati, meneliti bacaan-bacaan serta memahami makna-maknanya, merasakan rendah hati dan rendah diri ketika dalam rukuk dan sujud, meliputkan hati dengan kebesaran Allah dan kesucian-Nya ketika bertakbir dan ketika bertasbih pada seluruh gerak-geri dalam sembahyang, meninggalkan segala fikiran dan lintasan hati yang berkaitan dengan urusan dunia dan membelakangi perbicaraan dalam diri pada waktu sembahyang.

Hendaklah segala perhatian dalam sembahyang itu tertumpu hanya kepada mendirikan dan menunaikannya dengan baik, sebagaimana yang diperintah oleh Allah Ta'ala.  Sebab sembahyang dengan hati yang lalai, dan tanpa khusyuk dan hadirkan hati adalah tidak berguna dan tiada manafaat samasekali.

Semasa kita rukuk dan sujud, jangan sekali-kali terlupakan tuma'ninah. Jangan jadikan sembahyang kita seperti ayam mematuk padi. Sembahyang serupa itu tidak sah, kerana tidak ada tuma'ninah.  Tuma'ninah di dalam rukuk, iktidal dan di dalam kedua-dua sujud serta duduk di antara dua-duanya adalah wajib yang tidak boleh ditinggalkan di dalam sembahyang, samada sembahyang fardhu mahupun sembahyang sunat.  Sembahyang tanpa tuma'ninah adalah batal.

Ustaz menceritakan riwayat yang menyebut:
"Barangsiapa yang memelihara sembahyang serta menyempurnakannya pula, sembahyang itu akan terangkat (ke atas langit) dalam keadaan putih dan cemerlang.  Ujar sembahyang itu: Semoga Allah memelihara engkau, sebagaimana engkau memelihara aku.  Tetapi orang yang tidak menyempurnakan sembahyangnya, niscaya sembahyang itu akan terangkat dalam keadaan hitam legam.   Ujar sembahyang itu: Semoga Allah menyia-nyiakan engkau, sebagaimana engkau menyia-nyiakan aku.  Lalu sembahyang itu dilipat-lipat. sebagaimana dilipatkan baju-baju yang koyak, dan dipukulkan ke muka orang yang mengerjakannya."

Sekali peristiwa Rasulullah SAW telah melihat seorang yang sedang mementi-mentil janggutnya di dalam sembahyang, maka ujar baginda:
"Sekiranya hati orang ini khusyuk, niscaya khusyuklah seluruh anggotanya."
Dari Hadis ini, dapat disimpulkan bahawa kekhusyukan anggota itu adalah dari kekhusyukan hati dan bahawasanya sembahyang itu tidak akan sempurna tanpa khusyuk.

Seringkali khusyuk di dalam sembahyang itu menguasai setengah para salaf saleh ke peringkat yang menakjubkan.  Adakalanya apabila mereka berdiri sembahyang atau bersujud, burung datang bertenggek di atas mereka  kerana disangkakannya mereka itu tembok atau pokok, disebabkan mereka terlampau tenang dan khusyuk dan terlalu lama berdiri dan sujud.

Ada di antara para salaf itu yang berkata kepada anak-isterinya: Seandainya aku masuk bersembahyang, ketika itu lakukanlah apa yang kamu suka.  Yakni: Kalau mahu mengangkat suarakah, atau mahu bergurau-sendakah, sebab ketika itu aku tidak akan mendengar apa-apa lagi.  Mungkin, kiranya mereka memukul kompang atau bergendang pun, niscaya ia tidak akan mendengarnya kerana terlalu khusyuknya dia di dalam sembahyangnya.

Ustaz sambung lagi menceritakan tentang... ada seorang sahabat Rasulullah SAW bersembahyang di kebunnya.  Kebetulan pula pada ketika itu beberapa ekor burung sedang berterbangan dari suatu pohon ke pohon yang lain.  Maka terpesonalah pemandangannya kepada burung-burung tersebut sehingga terlupa bahawa ia sedang di dalam sembahyang.  Kerana  itu, ia menyesali dirinya lalu ia pun mewakafkan kebunnya untuk fi sabilillah, hanya kerana kebun itu melalaikannya dari satu sembahyang saja.

Dari apa yang diriwayatkan, jelas menunjukkan bahawa para salaf saleh itu benar-benar mengetahui betapa tingginya darjat sembahyang serta begitu penting kedudukan sembahyang di sisi agama.
Sabda Rasulullah SAW:"Perumpamaan sembahyang lima waktu itu, laksana sebuah sungai yang airnya mengalir deras merempuh pintu rumah kamu setiap malam dan siang sebanyak lima kali, apakah meninggalkan kotoran lagi sesudah itu? Jawab para sahabat: Tentu tidak!"

Sabda Rasulullah SAW yang lain:
"Satu sembahyang kepada sembahyang yang lain adalah menjadi tebusan dosa di antara keduanya, selama dijauhi dosa-dosa besar."

Mari kita renungkan pula Firman Allah Ta'ala dalam Surah Hud ayat 114, yang bermaksud:
"Dan dirikanlah sembahyang pada kedua tepi siang, dan sebahagian dari malam hari, sesungguhnya kebajikan-kebajikan itu akan menghapuskan kejahatan-kejahatan, itulah suatu peringatan bagi orang-orang yang ingin ingat."

Dari Abu Zar ra meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Perhatian Allah Ta'ala kepada seseorang ketika solat itu akan kekal selagi mana dia bertawajuh di dalam solatnya.  Apabila seorang hamba itu memalingkan tawajuhnya daripada solatnya, maka Allah juga akan memalingkan perhatianNya terhadapnya. (HR Nasai)

Wallahu'alam.

1 comment:

Anonymous said...

Semasa mendirikan saf untuk solat, fokus bahawa aku ini sedang mengadap-Mu ya Allah. Kusyuk kan solat ku & terima kan solat ku.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...