Tetamu Cilik Datang Beraya

Bismillahirrahmanirrahim

Semalam 13 Syawal, sayup-sayup terdengar orang memberi salam di luar.  Saya menjengok ikut sliding door.  Bergegas menarik daun pintu sliding door serta menjawab salam dua orang anak kecil yang sedang berdiri di luar pagar. "Kami datang nak raya...", kata mereka sebaik saja saya membuka pintu depan.

Memandangkan mereka hanya anak-anak kecil, saya dan kak ngah tidak berhasrat menghampakan mereka, terus menjemput mereka masuk.  Sementara saya duk tanya2 anak sapa, umah kat mana, kak ngah ke dapur mengambil minuman dan kueh raya.  Rupa-rupanya mereka dari rumah anak-anak yatim yang terletak kurang 500m dari rumah kami.

Tiba-tiba salah seorang dari mereka berkata, "Nak tumpang tandas..." Saya segera menunjukkan di mana tandas.  Sementara Nasim di tandas, saya dan kak ngah sambung interview Amru yang sedang makan kueh raya dan minum air sirap.  Bila tanya, "Amru belajar apa kat sekolah?" "Belajar ngaji, belajar akhlak...", jawab Amru sambil tersenyum-senyum.  Amru yang berumur 9 tahun smiling face orangnya.. he he
Tengah dengar cerita Amru, Nasim membuka pintu tandas.  Kami semua memandang ke arah sana, tapi Nasim tak muncul keluar.  Tak lama lepas tu, Nasim hanya menjengok kepalanya saja dari pintu tandas.  Saya terus tanya, "Hah Nasim, OK?" "Saya jatuh dalam tandas...", jawab Nasim dalam  gugup.

"Ya Allah, camane boleh jatuh...?" Saya terus bangun menuju ke arahnya.  "Ok Nasim mandi dulu, nanti makcik ambik towel." Setelah capai towel, Nasim kembali menutup pintu tandas.  Saya dan kak ngah kalut cari baju dan seluar untuk Nasim.  Yang sebenarnya, mana ada saiz yang muat untuknya.  Rumah kami tak ada anak kecil. Cari dekat bilik abang Long, takde jumpa tshirt bersaiz kecil.  Bukak kotak yang berisi baju-baju lama, akhirnya alhamdulillah jumpa baju -T yang saiz agak kecil yang InsyaAllah boleh muat untuk Nasim.  Seluar trek pun jumpa yang paling pendek tapi still masih begitu panjang buat Nasim.  Alhamdulillah, ada tali kat pinggang seluar trek yang boleh dicerut dan ikat.  Panjang seluar pula dilipat berkali-kali baru selaras dengan ketinggian Nasim.

Kata Nasim, asramanya adalah untuk anak-anak yatim dan anak fakir miskin.  Saya dan kak ngah terkedu mendengarnya.  Nasim lebih berusia dari Amru.  Semasa Amru tiba-tiba melunjurkan kakinya, Nasim perlahan-lahan menolak kaki Amru memberi isyarat agar duduk leklok.  Amru masih tersengih-sengih memandang Nasim disebabkan kes Nasim jatuh dalam tandas tu.  "Eh Amru, jangan ejek eh, jangan la citer kat kengkawan Nasim jatuh tadi...", kata saya sambil tersenyum.  "Hi hi... hi hi...",kedua-dua mereka saling tergelak mengenangkan peristiwa yang tak disangka-sangka itu.

Alhamdulillah syukur pada Allah yang telah menghadirkan dua tetamu cilik itu di rumah kami semalam.  Bila memandang wajah Amru dan Nasim, timbul insaf dalam diri terhadap kenaifan orang lain.  Banyak2 lah kita bersyukur terhadap apa jua yang Allah kurnia, jangan kufur nikmat. Bila ada masanya kita  rasa susah, ingat ada lagi orang yang lagi susah dari kita.  Bersyukur dengan nikmat kasih-sayang berkeluarga yang bagi sesetengah orang tidak mampu mendapatkannya. Didoakan agar ke dua-dua Amru dan Nasim dipermudahkan Allah dalam meneruskan perjalanan kehidupan mereka.  Moga menjadi anak yang soleh... ameen.

1 comment:

Zain abd rahman said...

Alhamdulillah atas nikmat yg Allah kurniakan. Semoga semua pihak diberkati Allah, pihak yg memuliakan anak yatim dan anak yatim itu sendiri. Rezeki dan rahmat Allah utk insan yg bertakwa.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...