Tazkirah 10 Ramadhan - Sibukkan diri dengan ibadah

Bismillahirrahmanirrahim

Bersyukur ke hadrat Allah yang telah memberhentikan kita dalam r & r Ramadhan, bulan yang mulia. Ada puluhan ribu k/m lagi yang harus kita tempuhi untuk kita sampai ke r & r Ramadhan yang akan datang, dengan izin Allah.  Maka marilah kita bangkit melakukan dengan bersungguh-sungguh dua perkara iaitu:

(1) Taubat.
Dalam surah at-Tahrim ayat 8, Allah ada berfirman yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepad Allah dengan Taubat Nasuha, mudah-mudahanTuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai...." 

Selama 11 bulan yang lalu kita sering duduk dalam maksiat. Dengan tibanya bulan Ramadhan, inilah peluang Allah berikan sekali lagi buat kita agar kita bertaubat yang sungguh-sungguh terhadap perbuatan dosa-dosa kita yang lalu.  Telinga yang selama ini mendengar umpatan dan cacian, telinga yang selama ini sentiasa terbuai dengan muzik, moga-moga dapat dipulihkan berkat tibanya Ramadhan.  Alhamdulillah berjaya kita kali ini menjadi tetamu Allah.  Moga dapat memanafaatkan seluruh kesempatan yang diberi untuk kita cuba membaik-pulih diri agar nanti dapat keluar dari Ramadhan dengan kekuatan yang kukuh.

Dunia makin hampir pada kematian, apa persiapan kita?  Apa kita nak tunjuk pada Allah? Apa yang kita nak bawa?  Semasa masih ada peluang, berubahlah kita agar bertambah iman.  Diri tak boleh berubah sebab tiada kekuatan iman.  Ayuh, kita bangkit bermunajat pada Allah.  Banyakkan taubat.  Orang yang benar-benar taubat pada Allah, dia akan tinggal dosa dan tak akan buat lagi.  Bersungguh-sungguh gandakan amal bagi memantapkan iman dengan melakukan banyak amal soleh di bulan ini contoh: terawih jangan tingga, begitu juga dengan tadarrus al-quran.  Jika tak dapat taddarus, mengajilah sendiri di rumah, asal sentiasa bertilawatul-quran.

(2) Memelihara kewajipan solat 5 waktu berjemaah.
Solat  berjemaah adalah satu kewajipan yang perlu dititik-beratkan.  Jangan kita hanya datang memenuhkan masjid ketika bulan Ramadhan sahaja sebab teruja untuk datang menunaikan solat terawih.  Yang utama ialah solat fardhu.  Doa agar dapat penuh masjid untuk solat fardhu berjemaah.  Jika masjid sentiasa penuh untuk solat fardhu, maka Islam pasti menang.
Dari Abu Said al-Khudri ra dari Nabi SAW., sabdanya: "Jikalau engkau semua melihat seseorang membiasakan pulang pergi  - ke masjid, maka saksikanlah ia dengan keimanan - yakni bahawa orang itu benar-benar orang yang beriman.  Allah Azzawajalla berfirman: "Hanyasanya yang meramaikan masjid-masjidnya Allah ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhir."* sampai ke akhir ayat.
Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan.

Sempena Ramadhan yang mulia, marilah kita menitik-beratkan dua perkara iaitu:
** jangan sakitkan hati manusia
** sibukkan diri kita dengan ibadah

Hadis Nabi SAW ada menyebut: Dari Abu Hurairah r.a, sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda : “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata baik atau diam..”

Wallahu'alam.

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...