Pasang Niat

Bismillahirrahmanirrahim

Dalam kuliah Maghrib yang lalu, ustaz ada berpesan supaya kita sentiasa pasang niat.  Sebelum melelapkan mata, niatkan sebanyak mungkin apa-apa yang hendak dibuat bermula selepas kita tidur itu sehinggalah pada keesokan harinya.  Contoh: "...malam ini aku akan bangun bertahajjud keranaMu ya Allah, terlebih dulu aku akan membersihkan gigi serta membersihkan diri keranaMu ya Allah.  Aku akan mengambil wudhuk sesempurna mungkin.  Kemudian aku akan solat tahajjud 2 rakaat, solat taubat 2 rakaat dan solat witir 1 rakaat.  Aku akan bangun awal sebelum fajar untuk menunggu masuknya waktu, aku akan menjawab azan, aku akan solat sunat fajar, aku akan berbaring sebentar mengadap kiblat sebelum solat fardhu Subuh.."...dan lain-lain niat lagi.

Begitu juga semasa kita hendak ke masjid, kita niat bukan sahaja pergi masjid  untuk solat berjemaah, tapi pelbagaikan niat,contoh biar ada 10 niat takkala kita ke rumah Allah: "....dalam perjalanan ke masjid nanti aku akan baca doa menuju ke masjid, aku akan doa masuk ke masjid, aku akan solat tahiyatul masjid 2 rakaat, aku akan niat iktikaf di masjid, aku akan solat kobliyah Maghrib 2 rakaat, aku akan solat berjemaah Maghrib, aku akan cuba khusyuk sebaik mungkin, aku akan bersalam dengan para jemaah, aku akan solat ba'diyah selepas Maghrib 2 rakaat, aku akan duduk dalam majlis ilmu, aku akan dengar tazkirah dengan tekun, aku akan elakkan diri dari berbual semasa mendengar kuliah, aku akan masukkan sedekah bila tabung masjid lalu.." dsb....

Kata ustaz, dengan niat itu saja pun InsyaAllah kita sudah beroleh pahala, apalagi jika betul-betul dikerjakan apa yang telah diniatkan.  Maka perbanyakkan berniat untuk melakukan amalan ketaatan kepada Allah, jua apa-apa sahaja perkara yang baik.  Allah dah sebut akan bagi pahala jika ada niat baik dalam diri kita, maka teramatlah rugi jika kita tidak mengambil peluang terhadap tawaran yang Allah janjikan... Subhanallah.
Sesungguhnya setiap perbuatan itu dinilai melalui niat dan setiap manusia mendapat balasan akan apa yang dia niatkan.

Ketahuilah bahawa semua perbuatan yang dibolehkan seperti tidur, makan, bekerja dan sebagainya boleh ditukar menjadi cara taat dan dekat pada Allah.  Seseorang boleh memperolehi banyak kebaikan dengan perbuatan ini, jika mereka mempunyai niat berada dekat dengan Allah apabila melakukannya. Contoh: Kita masuk tidur awal dengan niat dapat bangun untuk Qiyamulail atau dapat bangun awal sebelum Solat Subuh, maka InsyaAllah tidur kita itu telah menjadi satu ibadah.  Ini adalah benar bagi semua perbuatan yang dibolehkan.

Wallahu'alam.


1 comment:

Anonymous said...

Bermula ibadah itu dengan niat. Bila pasang niat dapat pahala. Bila buat apa yg diniat, dapat pahala. Ramai orang lupa nak niat. Buat ibadah secara adhoc saja. Jadi mula hari ini mari kita niat untuk mulakan sesuatu perkara baik itu dengan pasang niat. Usah pinggirkan niat. Jom Pasang NIAT !!

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...