Miliki Sifat Terpuji

Alhamdulillah, malam tadi sebelum beredar dari masjid, pak Imam mengajak jemaah yang masih tinggal untuk sama-sama membaca Surah al-Kahfi dari ayat 1 - 50.  Selebihnya InsyaAllah akan disambung bacaannya selepas Solat Subuh di pagi Jumaat. Kiranya kami tak baca al-Mulk lah semalam, ganti dengan al-Kahfi.  Balik rumah, masing2 baca sendirilah al-Mulk.

Hari Jumaat dah berlalu hampir separuh hari.  Dah berapa banyak kita berselawat ke atas Nabi SAW hari ini?  Dah baca quran??  Teringat kata2 ustaz yang mengingatkan agar sentiasa rajin baca quran.  Baca dan fahamilah apa yang terkandung dalam al-quran.  Cuba fahami maksud agar ianya dapat memberi kesan pada hidup, akhlak dan perlakuan kita...InsyaAllah.

Di majlis ilmu, ustaz sambung menjelaskan tentang perkara: 
Benar di dalam niat.  
Niat kita hendakkan ibadah.  Contoh kita nak minum air. Perkaranya ialah air, sumber dan perlaksanaannya melalui jalan yang halal, maka InsyaAllah ianya ibadah. Ada yang mempunyai niat baik tapi perlaksanaan kerja tak baik, maka tidak terjadi ibadah. Contoh: Ada yang nak bantu orang susah tapi perlaksanaan jalannya tak elok, maka tiadalah ibadah. Ada yang perkaranya betul contoh: hadir di majlis ilmu, namun tetap tidak menjadi ibadah jika belajar itu bukan niat kerana Allah sebaliknya hanya kerana makhluk, saja nak tunjuk muka kat kawan, niat nak menunjuk-nunjuk dan sebagainya.

Belajar, sepertimana yang kita tahu ialah (1)kerana menurut perintah Allah dan (2)kerana mahu keluar dari jahil kepada alim(berilmu).  Jika ada niat  selain dari Allah maka ia bukan ibadah.  Biar di mana saja kita berada, hendaklah.. zahir solat, batin pun solat.  Nak-kan kasih Allah kena lawan kehendak nafsu.  Di sinilah kekuatan kita terbatas.  Jadi kena minta kekuatan dari Allah untuk dapat lawan.  Bila belajar, hasilnya ilmu.  Ilmu dah ada, jalan dah ada, maka ikutlah. Kena lalu ikut jalan itu, InsyaAllah akan dapat sampai ke tempat yang dituju dengan selamat.  Kalau tak ikut jalan tersebut maka tak sampai lah kita.

Tanya ustaz, "Hari ini dah zikir ke belum?"  Ini jalan kita memburu kasih Allah.  Ini hubungan kita dengan Allah.  Kalau hari ini taubat belum selesai, quran belum selesai, macamana kita nak dapat kasih Allah? Jalan dah ada, maka ikutlah.  Biar ada hubungan kita dengan Allah.  Elok jadikan susunan Zikir Imam Ghazali sebagai amalan setiap hari; bermula dengan:

hari Jumaat:  
Ya Allah

hari Sabtu:    
Laila ha illallah

hari Ahad:    
Ya hayyul ya Qayyum

hari Isnin:      
La khaula wala quata illa billah hil aliy yil 'adzim

hari Selasa:   
Allahummasolli 'ala Muhammad wa 'ala ali Muhammad
(Selawat ke atas Nabi SAW)

hari Rabu:    
Astaghfirullah hal 'adzim

hari Khamis: 
Subhanallah hiwabihamdih
Subhanallah hil 'adzim

.......................................

Banyakkanlah taubat pada Allah.  Seseorang yang tidak bertaubat kepada Allah, bererti seolah-olah dia tidak mempunyai dosa, macam tak bersalah apa-apa.  Seseorang itu mohon maaf sebab dia rasa dia bersalah.  Jadi kita sebagai hamba yang lemah dan tak lepas dari dosa, bertaubatlah.  Bertaubat ada macam-macam cara termasuk dengan ulang mengucapkan istighfar samada astaghfirullah, astaghfirullahal'adzim, membaca doa penghulu istighfar dan sebagainya.  Latih diri lakukanlah Solat Sunat Taubat sekurang-kurangnya setiap malam Jumaat.  Moga Allah ampunkan dosa kita.  Kita ini hamba yang banyak dosa, banyak jahatnya dan banyak lalainya.  Solat dua rakaat saja pun, jadilah.  Baca qulya selepas fatihah di rakaat pertama dan baca qulhuwallah selepas fatihah di rakaat kedua. Selepas bagi salam, istighfar 70 - 100 kali mohon ampun pada Allah.  Biar ada rasa bersalah pada Allah.


Dari Aghar r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Wahai manusia bertaubatlah kamu kepada Allah! Sesungguhnya aku bertaubat kepada Allah setiap hari sebanyak seratus kali. (HR Muslim)

Ustaz ulang fakta tentang Rukun Seorang Hamba:
  1. sentiasa berterimakasih pada Allah.  Basahkan lidah banyakkan terimakasih pada Allah.  Kita dapat bersihkan diri, dapat buang air, batuk, ada rasa..semua itu nikmat.  Cuba kalau Allah tahan sekejap 'nikmat rasa' bagi kita, bagaimana agaknya... contoh: bila demam kita jadi tak selera nak makan.. makan sup pun tak rasa sup, makan nasik pun takde rasa apa...
  2. sentiasa bertaubat.
  3. sentiasa berdoa. Mintak, selalu minta pada Allah.  Baik apa pun perbuatan kita, urusan kita dengan Allah harus 90%.  Moga2 beroleh perubahan bila kuat hubungan dengan Allah.  Bila harap pada Allah, kita tak akan kecewa.
  4. sentiasa redha hati.  Hati sentiasa terima apa yang datang dari Allah.  Terima baik buruk dari Allah. Ingat bahawa dalam kebenaran tidak ada erti kalah.  Terima ujian, bebanan, demam, jatuh, kalah, susah dengan redha.
Benar pada segala pekerjaan
Benar yang dimaksudkan ialah di luar hati dan di dalam hati adalah sama.  Kalau tak sama, maka tak benar. Contoh: Dalam hati Lillahi Ta'ala dan perbuatan zahir ikut menunjukkan apa yang ada di dalam hati.  Istiqamah dia, benar zahir dan batin.  Sebaliknya ada yang rasa Lillahi Ta'ala tapi sayangnya riak ada.  Nampak pada zahir OK dah tapi dalam hati kurang OK.  Kena usaha soleh zahir dan batin. Jangan pula, anggota badan dah khusyuk dah tapi dalam hati ingin dipuji oleh orang yang melihat khusyuknya dia.  Sedekah dah elok dah tapi dalam hati ingin dipuji makhluk..."Waa hebat tuan haji ni, Waa banyak duit tuan haji ni..." Diri ingin disanjung orang bahawasanya dia ini seorang yang hebat dan sebagainya.

Berbuatlah hanya semata-mata kerana ingin redha Allah. Orang yang harap redha Allah, tidak akan separuh jalan beramal, tidak kecewa, tiada dukacita kerana dia mengharap pada Allah.  Kalau mengharap pada makhluk, pengakhirannya pasti dukacita.

Miliki sifat yang benar pada batin.  Sifat-sifat yang terpuji duduk dalam hati yang bersih.  Selagi hati tak bersih selagi itulah tidak dapat simpan sifat-sifat terpuji. Orang yang terdiri dari ahli syurga ialah orang yang taqwa yang takut pada Allah.  Hatinya gentar pada Allah.  Bila ada taqwa, secara tak langsung akan lahirlah seorang yang patuh pada Allah.  Bila hati dah dapat sifat tersebut, segala tindak-tanduk, tingkah-laku, perbuatan akan mukmin keseluruhannya. Syariatnya jelas Islam. 100%, di dalam Islam zahirpun Islam.  Kita tengok pokok pisang umpamanya, mana ada berubah? Duduk dalam kampung pun pisang, duduk kat bandar pun pisang.  Kena begitulah kita.  Malulah pada pokok pisang... jangan ambil Islam separuh-separuh. Bila ke masjid, sempurna pakaian tapi bila jumpa kat pasar.. pakaian dah lain ..dah tak berapa elok.   

Biar sama lah kita dalam apa jua keadaan... bila sakit beriman, sihat pun beriman; miskin beriman, kaya pun beriman.  Jangan masa miskin wirid tak tinggal tapi bila dah kaya, tak sempat nak wirid.

Islam dah lama, mukmin dah lama, belajar dah lama, ilmu pun dah bertambah, maka suluh lah mana yang baik...  Allah bagi akal buat kita.  Maka perjelaskan lah ia.  InsyaAllah semoga beroleh berkat.

Dari Abdullah Ibn Mas’ud r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yang diberi kebaikan oleh Allah SWT ke atas seorang hambaNya maka akan diberi faham dalam agama dan mengilhamkan didalam hatinya perkara-perkara yang benar. 
(HR Bazzar, Tabrani)



Wallahu a'alam.


1 comment:

Anonymous said...

Alhamdulillah sebuah perkongsian ilmu yg sangat bermanfaat. Jangan putus harap atau kecewa, kerana iman kita ini sifatnya turun naik. Teruskan membuat amal soleh. Sedikit-sedikit lama2 banyak juga. Yang penting istiqamah. Dan mohon hidayah Allah sentiasa. Dia yg berkuasa. Kita makhluk yg tiada daya upaya melainkan atas izin Allah belaka.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...