Zikir Harian Imam Ghazali

Bismillahirahmanirrahim.

Alhamdulillah, Segala Puji Bagi Allah. 

Disebut Imam Ghazali r.m mengatakan, ada 4 amalan yang perlu kita membiasakan diri melakukannya selepas setiapkali menunaikan Solat Subuh setiap hari iaitu:

(1)- Zikrullah
Hiasi permulaan pagi kita dengan zikrullah. Basahi lidah dengan zikir. 

Sekali peristiwa pernah seorang lelaki berkata kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah! Engkau telah mengajarku banyak dari hukum-hukum Islam Kini perintahkanlah aku untuk membuat sesuatu yang boleh aku bergantung kepadanya. Jawab baginda SAW, "Biasakan lidahmu dengan berzikir kepada Allah."

Zikir harian susunan Imam Ghazali r.m adalah antara rangkaian zikir yang disyorkan oleh ramai ustaz untuk kita ikut mengamalkannya. Ia disusun mengikut hari, contoh hari ini hari Rabu, kita perbanyakkanlah mengucap istighfar iaitu... Astaghfirullah hal adzim.. Kata ustaz, zikirlah sekurang-kurangnya 100x atau sebanyak-banyaknya 1000x sehari.
Mari kita sering-sering mengamalkan zikir. Manfaatkan masa yang berharga dengan membiasakan dan melazimkan diri mengucapkan zikir kepada Allah Taala dan berselawat ke atas Rasulullah SAW. Jangan kita lalai dari berzikir kerana lalai dari mengingati Allah itu menimbulkan bahaya yang besar. Jangan kiranya masa kita terbuang sia-sia atau dihabiskan dengan perkara lagho. Zikir boleh dikerjakan selalu pada bila-bila masa dan keadaan kerana waktunya tidak tertentu, malah ia dianjurkan supaya dilakukan terus menerus. Semua orang boleh berzikir tanpa syarat, termasuk orang yang berhadas kecil atau berhadas besar, orang yang sedang dalam pekerjaan, ataupun sedang lapang dan berihat.

(2)- Berdoa -minta dan berharap pada Allah. Mohon doa ke hadrat Allah tak kira di waktu senang mahupun susah.

(3)- Tilawatur-Quran - Kita cubalah membaca mana-mana surah pagi-pagi lagi setiap hari, biar jadi rutin.  Kita tengok kalam Allah dulu pagi-pagi bukan sibuk nak buka dan baca suratkhabar dulu pagi-pagi.

(4)- Tafakkur - iaitu memikir serta merenungkan kekuasaan dan ciptaan Allah. Pandang langit, pandang laut, tengok bukit bukau, tengok tumbuh-tumbuhan, perhatikan air yang mengalir, renung kejadian diri kita sebagai manusia. Ia dapat menyedarkan kita tentang Allah Yang Maha Besar.

Kita hirup udara Allah secara percuma. Allah bagi akal untuk kita berfikir, mata untuk kita dapat melihat, telinga untuk kita dapat mendengar, dan pelbagai macam nikmat lagi yang semua Allah bagi percuma. Kena sedar betapa kerdilnya kita di hadapan Allah. Kena sedar setiap detik yang kita kecapi ini sesungguhnya tidak lama. Maka beringat-ingat lah kita. Jangan biarkan diri turut terleka dengan perkara lara. Jangan masih lara. Tak rugi pun kita jika berhenti dari terus ikut aktiviti lara. Cari sahabat yang soleh. Cari peluang  untuk sentiasa berada dalam lingkungan orang-orang soleh. Setiap peringatan yang terkandung dalam kalam Allah(al-Quran) dan sunnah Rasulullah SAW adalah untuk (1)menggalakkan umat untuk beramal;serta (2)nak menggerunkan umat dari melakukan perkara yang dimurkai Allah Taala. 


Dari Amr bin ‘Auf r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Demi Allah! Bukanlah kemiskinan itu yang aku khuatirkan terhadap kamu, tetapi yang aku khuatirkan kepada kamu ialah dunia dilapangkan kepada kamu, sepertimana ia telah dilapangkan kepada orang-orang sebelum kamu, kemudian kamu akan berlumba-lumba untuk mendapatkannya sepertimana orang-orang sebelum kamu berlumba-lumba untuk mendapatkannya. Lalu dunia akan melalaikan kamu sepertimana ia telah melalaikan mereka. 
(HR Bukhari)



Wallahu a'lam.

Solat Witir

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, sering dipesan para ustaz supaya tidak meninggalkan solat witir. Solat Witir adalah solat sunat yang dituntut untuk kita melaksanakannya.

Sabda Rasulullah SAW, yang bermaksud:
“ Jadikanlah solat witir itu sebagai akhir solatmu di waktu malam.” (Muttafaq 'alaih).

Dari Ali r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Wahai ahli-ahli Al-Quran! Bersolat witirlah kamu, kerana sesungguhnya Allah itu witir dan menyukai orang-orang yang solat witir. (HR Abu Daud)

Juga riwayat dari Jabir ra bahwasannya Nabi saw bersabda: “Barang siapa yang merasa tidak akan sanggup bangun pada akhir malam, baiklah ia berwitir pada permulaan malam, tetapi barang siapa yang merasa sanggup bangun pada akhir malam, baiklah berwitir pada akhir malam itu, sebab solat pada akhir malam itu dihadiri (disaksikan oleh Malaikat) dan itulah yang lebih utama”. (Diriwayatkan oleh Ahmad, Muslim, Tirmidzi, dan Ibnu Majah)

Dari Abu Hurairah ra., katanya: "Kekasihku -yakni Nabi Muhammad SAW telah memberikan wasiat padaku untuk melakukan puasa sebanyak tiga hari dalam setiap bulan, juga dua rakaat sunnah Dhuha dan supaya saya bersembahyang witir dulu sebelum saya tidur." (Muttafaq 'alaih)

Melakukan solat witir sebelum tidur itu hanyalah disunnahkan bagi seseorang yang tidak mempercayai dirinya akan dapat bangun pada akhir malam.  Tetapi sekiranya dapat mempercayai dirinya, maka pada akhir malam adalah lebih utama lagi. 

Solat Witir biasa dikerjakan sebagai solat penutup solat Terawih di bulan Ramadhan. Jika di luar bulan Ramadhan boleh mendirikan setelah selesai solat baadiyah atau solat malam lainnya sebelum tidur. Solat witir sebagaimana hadis Nabi SAW lebih afdal dilakukan selepas kita melakukan solat malam samada solat tahajjud, solat hajat, solat taubat dsb ketika kita bangun di akhir malam, yakni dalam tempoh tengah malam sehingga sebelum masuk waktu Subuh. 

Jika terbangun lambat di mana tidak sempat mendirikan tahajjud kerana sudah hampir masuknya waktu Subuh, maka segera lah kita berwitir 1 rakaat.

Dari Aisyah ra., bahawasanya Nabi SAW melakukan solatnya di waktu malam, sedang ia - yakni Aisyah yaitu isterinya - melintang antara kedua tangannya - yakni di mukanya.  Maka jikalau tinggal mengerjakan witir, beliau SAW membangunkannya, lalu Aisyah pun berwitirlah. (Riwayat Muslim)

Dalam riwayat Muslim lainnya disebutkan:
Maka jikalau tinggal mengerjakan witir, lalu beliau SAW bersabda: "Bangunlah dan berwitirlah, hai Aisyah."

Dari Abu Said al-Khudri ra bahawasanya Nabi SAW bersabda: "Berwitirlah engkau semua sebelum engkau semua berpagi-pagi - yakni sebelum terbitnya fajar shadik." (Riwayat Muslim)

Dari Ibnu Umar ra bahawasanya Nabi SAW bersabda: "Dahuluilah solat  Subuh itu dengan witir - maksudnya; Bangunlah sebelum waktunya solat Subuh lalu berwitirlah dulu."
Diriwayatkan oleh Imam-imam Abu Dawud dan Termidzi, dan Termidzi mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih.

Dari Aisyah ra., katanya: "Dari seluruh malam itu Rasulullah SAW sungguh-sungguh telah melakukan witir - yakni waktu berwitir beliau SAW tidak tertentu waktunya, yaitu di permulaan malam, di pertengahan malam, di akhir malam dan berakhirlah waktu witir beliau SAW itu sampai waktu sahur - hampir menyingsingnya fajar shadik." (Muttafaq 'alaih)

Hitungan raka'at adalah ganjil (contoh: 1 @ 3rakaat @ 5, 7, 9,11). Jika tiga raka'at, dapat dilakukan 3 rakaat satu salam atau dilakukan 2 rakaat salam diikuti dengan satu rakaat salam. Bagi solat witir 3 rakaat satu salam, hendaklah tidak duduk di tahiyyat awal sebaliknya terus buat tahiyyat akhir dan salam. Berdasarkan hadis Rasulullah SAW, daripada Saidatina Aisyah ra: "Baginda SAW tidak duduk sama sekali semasa mengerjakannya melainkan pada rakaat yang terakhir." (HR Muslim)

Berkata Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah: Tidak harus menjadikan solat witir seperti solat Maghrib. Maksudnya solat witir mestilah berbeza dengan solat maghrib, walaupun sama dari segi bilangan rakaatnya.

Hadis Rasulullah SAW ada menyebut:
"Janganlah kamu mengerjakan solat witir 3 rakaat seperti solat maghrib."(HR al-Hakim)

Cara Solat Witir 1 rakaat:
1. Berniat untuk melaksanakan solat sunat Witir, yang maksudnya:
"Saya berniat solat witir satu raka'at kerana Allah Ta'ala"

2.Tata cara solat witir sama seperti solat sunat lainnya, membaca Al-fatihah dan surah-surah lainnya. Namun yang disarankan ustaz, bilamana kita buat solat witir 1 rakaat bacalah surah Qulhuwallah, surah al-Falaq di-ikuti dengan surah an-Nas selepas selesai dibaca surah al-Fatihah.
Wallahu a'lam.


Jom istiqamah Solat Witir.

Resepi Kek Karet

Alhamdulillah sempena hari Jumaat yang mulia nak kongsi resepi kek karet yang sering kami buat bila sesekali ada makan2 atau jamuan kecil kat rumah. Semalam buat sebiji kek karet yang besar khusus untuk jamuan en suami dengan rakan-rakan di-ofisnya hari ini.

Jadi ni nak kongsilah kat sini resepi dan cara nak buat kek karet yang sangat sedap dan lazat ini.

Bahan yang diperlukan;
Gula dimesin  1  1/2 cawan
Telor 5 biji
Garam 1/2 sudu kecil
Minyak jagung  1  1/2 cawan

Okeh.. mula2 sekali kita panaskan oven beserta loyang yang dah disapu margerin pada suhu 180' C. Kemudian satukan kesemua bahan lalu di pukul selama lebihkurang 5minit.

Setelah itu, masukkan pula bahan-bahan lain:
Tepung 2 cawan
Baking powder 2sudu kecil
Baking soda 1 sudu kecil
Serbuk kulit kayu manis 2sudu kecil
Kacang walnut 1 cawan
(dicincang kasar lalu gaul dalam tepung di atas supaya semasa bakar kacang tak turun ke dasar loyang)
Karet @lobak merah diparut halus atau boleh dimesin dengan food processor. Saya guna 3batang karet yang sederhana besar. Kalau karet kecil boleh la pakai 5batang. Jangan terlebih karet nanti kek jadi cam lembab sangat.

Okeh gaul sebati kesemuanya. Lapik loyang dengan kertas A4 yang dah disapu margerin. Lepas tu dah boleh bakar kek karet selama 40minit - sejam.

Tunggu kek betul2 sejuk baru topping kan ia dengan:
Seketul @ 1bar cream cheese Philadephia 250g dipukul dengan setemgah ketul/bar buttercup dan setengah cawan gula halus. Pukul hingga krim jadi puteh melepak gitu..:-)

Selamat buat kek karet..baik untuk kesihatan kerana karet terkandung banyak khasiat.


Sama2 kita membaca Surah al-Kahfi hari ini dan banyak2 kita berselawat ke atas Nabi SAW. 
Dari Abdullah bin Mas’ud r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Orang yang paling hampir kepadaku pada hari Kiamat kelak ialah orang yang paling banyak berselawat kepadaku. 
(HR Tirmizi)

Assalamualaikum wrth.

Kisah Qarun

Bismillahirrahmanirahim.

Alhamdulillah, kali ini saya telah meminjam 14 biji buku dari perpustakaan awam yang terdekat. Bezanya, kali ini kesemua buku yang saya pinjam adalah buku cerita kanak2 yang terbaru di pasaran. Dek tertarik hati dengan ilustrusi lukisan yang cantik, font tulisan pun besar-besar , saya pun dengan excited-nya terus decide nak pinjam.

Spek mata kena tambah power agaknya, tu sebab bila pakai jadi sakit kepala. Jadi sementara spek tiptop, elok lah baca buku-buku bertulisan besar ni..hehehe

Saya dah habis baca satu buku, khabarnya en suami pun sama, baru habis baca satu buku..ehe he. Kisah pertama yang saya baca ialah perihal Qarun. Agak ringkas penceritaannya, namun jalan cerita amat menarik hati. Amat disyorkan untuk sama2 membaca buku-buku seumpama ini(tidak terhad untuk bacaan anak-anak sahaja) kerana banyak kisah-kisah yang diceritakan dalam al-quran boleh kita baca secara sepintas lalu dalam buku-buku ini. Walaupun ia agak ringkas tapi ia menghimpun seluruh jalan cerita. Ada banyak kisah-kisah yang kita tidak tahu atau belum tahu, maka alhamdulillah bila baca akan jadi tahu. Setelah itu boleh la terus merujuk ayat-ayat dalam surah yang menceritakan tentang kisah-kisah tersebut. Ayat dalam surah tertentu ada ditulis untuk memudahkan kita terus merujuk dalam Al-quran Terjemahan, Alhamdulillah.


Jom kita baca kisah Qarun yang saya jumpa agak panjang sikit ni. Moga kisah Qarun dapat sama-sama dijadikan sempadan dalam diri masing-masing.

Kisah Qarun dalam al-Qur’an dijelaskan dalam surat al-Qasas. Qarun, menurut Ibnu Ishak, adalah bapa saudara Nabi Musa as. Sementara menurut A’masy dan lainnya, dan pendapat ini pendapat masyhur, Qarun adalah sepupu Nabi Musa as. Ayah nabi Musa yang bernama Imran adalah abang dari ayah Qarun yang bernama Yashhar. Baik Nabi Musa maupun Qarun adalah keturunan Nabi Ya’kub, karena keduanya merupakan cucu dari Laway dan Laway adalah putra Nabi Ya’kub, saudara Nabi Yusuf as, hanya berlainan ibu.

Qarun merupakan keturunan Bani Israil. Hanya, semasa hidupnya banyak memeras dan hidup dari keringat Bani Israil. Karena itu, tidak heran apabila sebahagian besar Bani Israil sendiri membencinya.

Pada awalnya Qarun adalah seorang yang sangat shaleh, baik, pengikut Nabi Musa, hanya sangat miskin. Suatu hari ia datang menghadap Nabi Musa, agar ia didoakan menjadi orang kaya, supaya nanti dia akan jadi lebih rajin dalam ibadahnya, dan dapat pula membantu saudara-saudaranya Bani Israil. Nabi Musa lalu mendoakannya, dan dengan izin Allah, Qarun menjadi sangat kaya raya. Ia bukan hanya berjaya dalam beternak, akan tetapi juga diangkat menjadi salah seorang menteri pada saat itu.

Cita-citanya untuk menjadi orang kaya kini sudah tercapai. Namun, sayang, kekayaannya telah menjadikannya lupa dan durhaka. Niat awal agar lebih khusyuk dalam ibadah dan membantu sesama kaumnya, menjadi sebaliknya. Qorun yang tadinya miskin tapi baik dan shaleh, kini menjadi Qarun yang kaya raya akan tetapi sombong dan durhaka kepada Allah.

Qarun termasuk orang yang diberi kekayaan tapi dia seorang yang durhaka. Ia lupa bahawa yang telah membuatkannya kaya, hakikatnya adalah Allah.

Qarun kini sudah menjadi orang yang sangat kaya raya. Dek begitu kaya, kunci-kunci gudang kekayaannya tidak mampu dipikul oleh manusia, tapi terpaksa dibawa oleh 60 ekor unta (al-Qasas ayat 76).

Qarun pernah mempamerkan kekayaan; ia keluar dengan pakaian yang sangat mewah, di dampingi oleh 600 orang pelayan; 300 laki-laki dan 300 lagi pelayan perempuan. Bukan hanya itu, ia juga dikawal oleh 4000 pengawal dan diiringi oleh 4000 binatang ternak yang sehat, ditambah dengan 60 ekor unta yang membawa kunci-kunci kekayaannya.

Orang-orang yang melihat saat itu, ramai yang terkesima dan kagum. Bahkan, sebahagian mereka ada yang mengatakan: “Sungguh sangat ingin sekali seandainya dapat jadi seperti Qarun” (al-Qasas: 79).

Sayang sekali, dia sombong dan dia sangat durhaka. Allah marah, maka seluruh kekayaannya lenyap ditelan bumi. Bagaimana kisahnya?

Suatu hari Nabi Musa as diperintahkan oleh Allah untuk mengerjakan Zakat. Nabi Musa as lalu mengutus salah seorang pengikutnya untuk mengambil zakat dari Qarun. Qarun langsung marah, dan tidak mau memberikan sedikitpun dari kekayaannya. Karena, menurutnya kekayaannya itu adalah hasil kerja keras dan usaha sendiri, tidak ada kaitan dengan siapapun juga tidak ada kaitan dengan Allah maupun dewa. Qarun mengatakan:” “Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu, karena ilmu yang ada padaku bukan dari Allah” (QS. al-Qasas: 78).

Tidak cukup dengan itu Qarun juga mengupah seorang wanita agar mengaku telah berbuat serong dengan Nabi Musa as. Ketika seluruh Bani Israil telah berkumpul, Qarun berkata: “Wahai Bani Israil, ketahuilah, Musa yang kalian anggap sebagai Nabi dan orang baik itu, sebenarnya tidak demikian. Bahkan, dia telah menghamili wanita ini”, sambil nunjuk kepada wanita dimaksud. “Hari ini, kita akan menyaksikan bersama pengakuan sendiri langsung dari wanita tadi”.

Nabi Musa as, merasa sedih. Beliau langsung solat dan berdoa kepada Allah, agar Allah menampakkan kebenaran sesungguhnya. Selesai Nabi Musa berdoa, wanita itu berkata: “Musa tidak berbuat apa-apa dengan saya, dia orang baik, saya diupah oleh Qarun untuk mengatakan bahwa saya dihamili oleh Musa”. Mendengar itu, Nabi Musa as, segera sujud sebagai bentuk rasa syukurnya kepada Allah. Kisah ini menjadi sebab turun dari surat al-Ahzab ayat 69.

Tidak berhenti di sana, Qarun juga mencabar Nabi Musa as untuk berdoa bersama. Siapa doanya yang dikabulkan, dialah yang benar dan harus diikuti. Qarun lalu berdoa: “Wahai dewa penguasa jagat raya, matikan Musa saat ini juga”. Namun, Nabi Musa tidak meninggal, beliau tetap hidup dan berdiri tegak.

Kini giliran Nabi Musa as. pula berdoa pada Allah. Nabi Musa as lalu berkata: “Wahai bumi telanlah si Qarun dan seluruh kekayaannya saat ini juga!”.

Tidak lama kemudian, bumi bergoncang, dan seketika bumi terbelah, sehingga tubuh Qarun dan seluruh kekayaannya habis ditelan bumi. Allah berfirman: “Maka Kami benamkanlah Qarun beserta rumahnya ke dalam bumi. Maka tidak ada baginya suatu golonganpun yang menolongnya terhadap azab Allah. Dan tiadalah ia termasuk orang-orang (yang dapat) membela (dirinya)” (QS. al-Qasas: 81).

Tempat di mana Qarun dan seluruh kekayaannya dibenamkan oleh Allah ke dalam bumi ini, berada di sebuah tempat yang kini dikenal dengan sebutan Danau Qarun (Bahirah Qarun).Tidak ada satupun kekayaan Qarun yang tersisa. Danau Qarun ini mengingatkan, sekaligus menjadi saksi dan pelajaran bagi ummat sepanjang zaman, bahawa siapapun yang bongkak, sombong dan kikir, nasibnya akan menjadi seperti Qarun.. hancur, binasa.

Wallahu a'lam.
...........................

Rujukan terjemahan al-Quran 
Surah al-Qasas ayat 76 - 82

[76]Sesungguhnya Qarun adalah ia dari kaum Nabi Musa, kemudian ia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka; dan Kami telah mengurniakannya dari berbagai jenis kekayaan yang anak-anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa. (Ia berlaku sombong) ketika kaumnya berkata kepadanya: “Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah. (seperti lagakmu itu).

[77]“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan “.


[78]Qarun menjawab (dengan sombongnya): “Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku”. (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah ia mengetahui dan pandai memahami, bahawa Allah telah membinasakan sebelumnya, dari umat-umat yang telah lalu, orang-orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan ? Dan (ingatlah) orang-orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya).

[79]Kemudian Qarun keluar kepada kaumnya dengan memakai perhiasannya. (Pada saat itu) berkatalah orang-orang yang semata-mata inginkan kesenangan kehidupan dunia: “Alangkah baiknya kalau kita ada kekayaan seperti yang didapati oleh Qarun! Sesungguhnya dia adalah seorang yang bernasib baik”.


[80]Dan berkata pula orang-orang yang diberi ilmu (di antara mereka): “Janganlah kamu berkata demikian, pahala dari Allah lebih baik bagi orang yang beriman dan beramal soleh; dan tidak akan dapat menerima (pahala yang demikian) itu melainkan orang-orang yang sabar”.


[81]Lalu Kami timbuskan dia bersama-sama dengan rumahnya di dalam tanah, maka tidaklah ia mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya dari azab Allah” dan ia pula tidak dapat menolong dirinya sendiri.

[82]Dan orang-orang yang pada masa dahulu bercita-cita mendapat kekayaan seperti Qarun – mulai sedar sambil berkata: “Wah! Sesungguhnya Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah juga yang menyempitkannya kalau tidak kerana Allah memberi pertolongan kepada kita tentulah kita akan dibinasakan dengan tertimbus di dalam tanah (seperti Qarun). Aduhai! Sesungguhnya orang-orang yang kufurkan nikmat Allah itu tidak akan berjaya!”

......................................


Tutup Aurat Dengan Sempurna

Bismillahirrahmanirrahim

Selalu diberi peringatan di majlis ilmu, "Tutuplah aurat dengan sempurna." 

Biar timbul perasaan dalam diri kita, takut Allah marah. Menutup aurat dengan sempurna adalah perintah Allah. Maka, kita ikut lah perintah Allah. Niat dalam hati kita, kita tutup aurat sebab itu merupakan perintah Allah. 

Bila keluar sidai kain di luar rumah, keluar siram pokok di laman, kita usahalah tutup aurat dengan sempurna. Kita buat bukan sebab takut orang nampak, tapi kita buat kerana itu perintah Allah. Jangan pula kita hanya bila nak sembahyang baru tutup aurat dengan sempurna, yang nampak hanya raut wajah, kedua tapak tangan namun bila selesai sembahyang kita singsing lengan baju bila nak keluar pergi angkat kain.  Kita memang tengok macam tak ada orang di luar, tapi sebaik-baiknya tutup je lah aurat tu dengan sempurna, kita tak rugi apa-apa pun. 

Bahagian kaki sering dipandang ringan oleh sebahagian dari kita bilamana kita dah tutup dengan sempurna di bahagian atas namun kaki pula terabai, lupa pula nak sarung stoking. Cuba bayangkan ketika mana kita tak pakai stoking semasa keluar ke mana-mana,sudah berapa ramai orang lelaki di luar sana yang secara sengaja atau tak sengaja telah terpandang akan aurat kita... Ohh, moga-moga Allah ampunkan kita...aamiin

Ustaz dalam satu kuliah maghrib baru-baru ini ada berpesan agar kita cubalah elak dari terbeli pakaian yang berhias lebih-lebih.  Contoh: Dah elok dah beli jubah, tapi yang silapnya pergi beli jubah yang penuh berkerawang perhiasan batu-batu permata di hujung lengan baju dan seluruh bahagian depan jubah. Mengerlip2 nampak batu permata berwarna-warni menghiasi jubah.  Tanya diri kita, kita nak pakai pakaian itu atas niat apa sebenarnya. Adakah masih lurus niat kita untuk menutup aurat kerana Allah atau ada niat sampingan iaitu nak mempamerkan jubah kita yang cantik yang tentunya akan menarik perhatian orang yang memandang.  

Juga di-ingatkan agar kita tak beli/buat jubah dari jenis kain yang jarang, nipis je hingga tembus mata orang yang melihat. Ada yang sengaja pakai inner(baju lain kat dalam) tapi malangnya baju yang kat dalam tu boleh nampak dari luar ikut bentuk badan sedangkan baju yang kat luar pun berbayang-bayang nipis. Jadi kena perbetulkan balik nawaitu. Kita pakai pakaian niat tutup aurat kerana Allah. Warna pilihan pula elaklah pilih warna yang menjolok mata dan janganlah pula pakaian itu sengaja dipilih ikut bentuk badan. Carilah yang longgar hingga orang tak boleh nak scan bagaimana bentuk badan kita. Kejadian seseorang wanita adalah istimewa, jadi kena usaha tutup dari dapat dilihat oleh orang yang bukan suami dan bukan mahram kita. Kalau pakai pakaian tujuan untuk mencari kemasyhuran atau ingin popular, jelas telah lari jauh dari niat asal kita iaitu memakai pakaian untuk tutup aurat kerana Allah.

Jom kita tutup aurat dengan sempurna. Dalam Islam, aurat bagi wanita adalah seluruh tubuhnya, kecuali kedua telapak tangan dan muka (Surah an-Nuur 31 dan Surah al-Ahzab 59), sedangkan untuk lelaki adalah bahagian pusat(perut) ke bawah hingga lutut.

Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan(menghentakkan) kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.(Qur'an Surah An-Nuur:31)
Hai Nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: "Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka". Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, karena itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha pengampun lagi Maha penyayang.(Qur'an Surah Al-Ahzab:59)

Menurut ulamak Sheikh Muhammad Nashiruddin Al-Albany, kriteria jilbab yang benar harus menutup seluruh badan kecuali wajah dan dua telapak tangan, jilbab bukan merupakan perhiasan, tidak tipis, tidak ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh, tidak disembur perfume, tidak menyerupai pakaian kaum lelaki atau tidak menyerupai pakaian wanita-wanita kafir dan bukan merupakan pakaian untuk mencari nama atau kemasyhuran.

Doa agar Allah sentiasa tetapkan iman kita. Berpakaian mengikut syariat agar beroleh redha Allah dalam setiap urusan kita. Sesungguhnya tiada daya dan kekuatan kita melainkan hanya dengan bantuan Allah...


Wallahu a'lam.

Jangan Bertangguh Lagi

Bismillahirrahmanirrahim.

Ingat tak dulu saya pernah tulis pasal seorang makcik dalam entry ini.
Makcik tersebut sebenarnya telah kembali ke rahmatullah beberapa bulan lalu. Hari kematiannya sangat baik sekali di mana beliau telah ditakdirkan meninggalkan dunia ini pada hari yang mulia iaitu hari Jumaat, pulak tu di bulan yang mulia iaitu di bulan Ramadhan dan tarikhnya pula jatuh pada hari Nuzul Quran.  Satu pengakhiran yang baik bagi seorang insan yang tentu saja setiap dari kita turut mengimpikan agar mendapat kurnia yang besar sebegitu. Amalan apakah agaknya yang arwah makcik istiqamah buat di sepanjang hidupnya?  Sudah tentu pasti arwah ada melakukan suatu amalan ketaatan yang istiqamah sehinggakan beliau telah berjaya mendapat kesudahan yang baik di penghujung usia... Subhanallah.

Antara perkara yang kita tidak pasti tentangnya ialah bagaimana kesudahan kita.  Baru-baru ini saya telah dikhabarkan oleh seorang makcik (beliau dulu merupakan babysitter kepada anak-anak saya semasa kecil) perihal ibunya yang tinggal seorang diri yang telah ditemui meninggal dunia di dalam biik air. Dikatakan ibunya pernah berkata pada salah-seorang cucunya, "mana la tau besok2 opah nanti meninggal dalam bilik air..." Malam tadi pula saya diberitahu oleh en suami tentang seorang anak buah kawannya yang telah meninggal dunia selepas selesai berlumba dalam acara lumba basikal. Dan hari ini pula, kami mendapat khabar ada seorang jiran di kawasan perumahan ini yang baru meninggal ketika sedang memandu kereta. Beliau waktu itu dikatakan dalam perjalanan balik dari satu majlis kenduri.. Innalillahi wainna ilaihirajiun...

Sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah buat arwah, semoga roh mereka Allah cucuri rahmat dan Allah tempatkan bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh... ameen

Moga sentiasa ada cita-cita dalam diri kita agar dapat mati dalam husnul-khotimah. Sering mintak pada Allah agar Allah anugerahkan kita pengakhiran yang baik. Doa agar Allah lindung dari pengakhiran yang tak baik. Sentiasa kita memperbanyak mengingat mati. Marilah segerakan berbuat amal taat dan jangan kita tangguhkan lagi ke masa yang lain. Suka bertangguh untuk beramal akan memberi bahaya yang besar kerana sesungguhnya setiap manusia itu terdedah kepada berbagai bencana dan pekerjaan yang tidak ada akhirnya. Nak cari masa yang betul2 lapang memang susah kerana begitu sibuknya kita. 

Jadi jangan kita bertangguh lagi, kena pandai2 membahagi masa 24jam yang Allah kurnia, peruntukkan masa untuk ibadah kerana hanya amal yang akan dibawa pergi sebagai bekal ketika mati. Banyakkan berbuat perkara kebaikan semasa hayat masih dikandung badan. Bila waktu telah berakhir sudah tiada lagi amalan yang dapat dibuat. Yang ditunggu hanyalah balasan.  Kita hanya baru berada di alam yang ke tiga iaitu alam dunia selepas alam roh dan alam rahim. Duduk dalam dunia hanya sebentar. Dunia hanyalah tempat persinggahan sementara. Masih jauh lagi perjalanan yang harus ditempuh selepas mati iaitu berada di alam kubur/barzarkh, kemudian alam masyhar, kemudian alam mizan/timbangan amal dan yang akhirnya samada Syurga atau Neraka. Itu sebab bekal kena banyak dan bekal itu hanya dapat dicari ketika kita masih di alam dunia.

Hadis Rasulullah SAW berbunyi:
"Anggaplah dirimu di dunia ini sebagai seorang musafir ataupun sebagai pengembara." 

Hadis ini menganjurkan kita supaya sentiasa mengingatkan mati dan mengurangkan cinta terhadap dunia yang fana ini.

Ibnu Umar r.a pernah berkata:
"Jika anda masih hidup di waktu pagi, jangan tunggu hingga ke petang.  Dan jika anda masih hidup di waktu petang, jangan tunggu hingga ke pagi. Sediakan dirimu di masa hidup untuk bekalan waktu mati, dan di masa sihat untuk bekalan waktu sakit."

Wallahu a'lam. 

Tiramisu

Alhamdulillah. Buat tiramiSu yang best.. 

ini bukan tuan blog, ini anak tuan punye blog...heheh tumpang sekaki..

hari tu kan kite teringin nak makan tiramisu and my friends even said tiramisu lah desert paling senang nak buat. tambah-tambah pulak kite kan cuti so rajin lah sikit nak masuk dapur, kalau tak tolong mama,kite tolong diri sendiri untuk perut.haha.ok, so let me share lah cara-cara nak buat tiramisu yang paaaling sonang ni.ehe.he

firstly, sediakan bahan-bahan seperti yang tertera di kaca skrin anda:
.........................
Sponge cake (beli je kat tesco ke carefour ke, tapi saya buat sendiri sponge cake ni)
...........................
200g cream cheese (kite guna brand philadephia, best!)
1 cawan whipping cream
Gula setengah cawan (mesin tau biar gebu sbb kita taknak lah rasa butir2 gula time makan nanti)
1 sudu esen vanila
.......................
1 sudu besar nescaffe
1 mug air panas
.......................

ok, cara nak buat sponge cake kalau nak buat sendiri, kite boleh ikut resipi chef wan yang tersohor iaitu:
6 biji telur
170g gula halus
135 tepung gandum serbaguna (tepung yang boleh buat semua benda termasuk cekodok), diayak 
35g tepung jagung, diayak
2 sudu besar mentega, dicairkan

panaskan oven 180'C. Alas loyang/ acuan kek tu dengan kertas A4 disapu mentega / kertas minyak. Kemudian, pukul telur dan gula sehingga kembang. Kaup balikkan tepung and tepung jagung diikuti dengan mentega cair. Bakar selama 30 minit. done 1st step of making tiramisu. hehe

so while waiting for the sponge bob untuk siap bakor, we can work on the cream lah. macam mana? haha ni sonang je.

campurkan semua cream cheese, whipping cream, gula and esen vanila and kacau hingga gebu.gebu means kalau angkat guna sudu then dia tak jatuh. lepas siap then put aside, and susun gelas-gelas cantik atas meja dan besedia untuk test your culinary skill..oh ya, kalau boleh buat lah dalam gelas yang transparent so that we can see the layers, baru lah marvellous nampak.hehe.. 

kemudian, kacau nescaffe dalam mug yang berisi air panas.jangan sesekali letak gula okeh.kita memang nak dia pahit then later on we'll know the geez of it.hahaha

ok, everythng's done! lets work on the real tiramisu! yeah!
firstly, potong sponge cake setebal 2/3inci and susun dlm tapak gelas. then, guna sudu curahkan nescaffe atas sponge cake. ok for this step, actually the purpose is kita nak basahkan je so jangan kasi lencun la ok. ok, next step, cover the cake dengan cream yang kita putar tadi setebal 1.5 inch, saya buat guna sudu dats why macam comot sikit nampak, so untuk hasil yang lebih cun you can use piping bag or gunting bucu plastik je. lepas cover the whole thing, biar tak nampak dah sponge cake from the top, then kite tabur lah pulak coco powder sehingga melitupi cream tu pulak. kalau takda coco powder ust use nescaffe/milo pon bolehhh..next, letak balik sponge cake yang lain susun, curah nescaffe, cream n tabur coco bla bla bla so ulang all these steps sampai takat tinggi mana yang u ols nak. then lastly, susun lah dalam peti korang (dekat tempat bawah noh)

DONE! ready to eat! bi hana' wasshifa', tiramisu lazeez jiddan ( bon appetite, tiramisu sedapp sangat)

Kueh Seri Muka

Alhamdulillah baru lepas try seri muka yang buat petang tadi. Ouwh tersangat sedap! Untuk makluman, dalam minggu ni saja dah dua kali kukus seri muka...hehe

Kueh seri muka antara kueh tempatan yang menjadi kesukaan saya. Faveret saya ni. Jadi boleh kata kerap la jugak buat Seri Muka. Kalau teringat nak makan kueh ni, boleh pula dan dan tu cari pulut, terus kukus pulut dan segera siapkan bahan² lain yang perlu.

Ok lah, tanpa membuang banyak masa, meh kita pakat tengok resepi mudah tentang bagaimana cara nak buat kueh seri muka yang sangat sedap ini..;)
..macam ni..

Bahan yang perlu ada untuk buat lapisan bawah:

  • beras pulut 1 ½  cawan
  • santan sederhana pekat(paras tenggelam pulut)
  • ¾ sudu kecil garam
  • sehelai daun pandan(disimpul)


Caranya:
Panaskan air dalam kukusan. Kukus pulut + daun pandan dengan santan bergaram selama 15 - 20minit.
Paras santan agak² tenggelam pulut. Setelah masak, alihkan pulut dalam loyang lain (yang bersih dan disapu minyak masak), kemudian tekan² lah pulut biar agak² padat tak berterabur. Kukus balik selama 5 minit. Angkat dan ketepikan sebentar.


Cara buat lapisan atas kueh seri muka:
Bahan yang diperlukan:

  • ¾ cawan tepung gandum serbaguna
  • 1 sudu besar tepung ubi kayu (tepung jagung/tepung beras pun boleh) 
  • ¾ cawan gula pasir (kurangkan sesudu besar)
  • ½ cawan air daun pandan(5helai daun pandan)
  • (tambah ceriakan kaler dengan beberapa titik pewarna hijau Star Brand
  • 2 cawan santan(santan mesti pekat tak boleh cair-cair)
  • 2 biji telor gred B
  • secubit dua garam
**info: jika tiada santan segar, saya gunakan 1kotak kecil santan Kara.. alhamdulillah cukup untuk di-ambil sikit untuk bahagian pulut, selebihnya untuk lapisan atas.


Kesemua bahan dicampurkan dalam satu mangkuk, adun biar sampai hancur gula. Tapis dengan penapis santan untuk dapatkan adunan yang licin tanpa ada tepung yang berbintil. Tahap kecairan, adunan hanya terlekat nipis di jari. Panaskan sekejap sampai naik wap, tutup api.  Sebelum dituang atas lapisan pulut, taburkan sikit tepung gandum atas pulut. Tabur serata. Kemudian tuang lah lapisan hijau atas pulut lalu dikukus selama 20 - 25 minit.

Selamat mengukus kueh seri muka. Elok kukus pagi/tengahari, petang baru dipotong.. Kueh dah pejal gitew😁


Sekian wassalam🌸



Allah Tahu Walaupun Orang Tak Tahu

Bismillahirrahmanirrahim.

Firman Allah dalam surah al-Ghafir ayat 19:


yang bermaksud:
Allah mengetahui pengkhianatan (penyelewengan dan ketiadaan jujur) pandangan mata seseorang, serta mengetahui akan apa yang tersembunyi di dalam hati.

Alhamdulillah, sama-sama kita panjatkan syukur dengan rahmat-Nya, Allah menghimpunkan kita dalam majlis yang mulia, majlis yang sebahagiannya dihadiri oleh makhluk Allah yang mulia iaitu malaikat, duduk bersama untuk mendengar dan mendapatkan rahmat Allah Taala.  Tugas malaikat, bila mereka ini bertemu dengan majlis ilmu, maka diberitahu kepada malaikat-malaikat lain.. "datanglah ke majlis ilmu tersebut."  Ini antara kerja malaikat. Itulah yang menjadi rutin atau tugasan malaikat yang mencari majlis yang diberkati oleh Allah sebagaimana majlis ilmu yang ada di masjid2/surau. Allah tak taklik malaikat untuk belajar ilmu sebaliknya kita makhluk yang bernama manusia ini yang Allah taklikkan untuk belajar ilmu.  Maka alangkan ruginya kita (yang ditaklik oleh Allah untuk mencari ilmu bagi menghilangkan sifat kejahilan yang sekian lama ada dalam diri kita sejak dari waktu kelahiran lagi), jika hanya membiarkan sahaja majlis ilmu berlangsung tanpa kita menghadirinya.  Maka itu merupakan satu kerugian yang amat besar bagi kita.
~~~~~~~~~~~~ 

Ustaz kali ini menerangkan penjelasan dari kitab tasawuf berkenaan firman Allah dalam Surah al-Ghafir ayat 19 yang mengatakan: "Mengetahui oleh Allah Taala akan khianat segala mata iaitu mencari oleh mata itu akan memandang kepada yang diharamkan dan mengetahui oleh Allah akan hati yang menyembunyikan cita-cita dari mengerjakan kejahatan dan cita-cita mengerjakan kebaikan."

Allah mengetahui sifat khianat oleh mata iaitu mata yang mencari untuk memandang pada perkara yang diharamkan oleh Allah Taala. Mata itu, nak pandang betul-betul macam orang yang tak mengaji, rasa malu.  Nak pandang macam orang2 di jalanan, rasa malu sebab kupiah ada atas kepala.  Jadi pandang hujung mata saja.  Jeling-jeling je.  Tidak pandang betul2 sebab rasa ada maruah diri, rasa ada sedikit kefahaman agama.  Kalau tiada rasa malu tentunya akan tengok betul-betul pada wajah seseorang perempuan itu, akan pandang betul2 pada tempat-tempat tertentu yang ada pada seseorang perempuan itu.  Tapi di sebabkan adanya sedikit rasa malu tak pandang terus, hanya mencuri2 pandang gitu.  Jadi rasa orang lain tak tahu, memang orang tak nampak pun mata kita jeling tapi sesungguhnya Allah tahu.

Maka hendaklah kita merenungkan serta mencontohi satu akhlak Rasulullah SAW di antara kemuliaan akhlak2 baginda SAW yang lain iaitu: Tak pernah mata Nabi SAW terpaku pada orang, hatta pada lelaki sekalipun Rasulullah SAW tak tenung.  Ini kerana, Rasulullah SAW mempunyai sifat malu yang tinggi. Nabi SAW tak renung seseorang dengan renungan yang lama atau (dalam bahasa hari ini)renungan tajam, apatah lagi pada seorang perempuan. 

Allah tahu walaupun orang lain tak tahu mata kita curi memandang perkara yang haram. Dan Allah juga tahu apa yang disembunyikan di dalam hati terhadap cita-cita untuk mengerjakan kejahatan mahupun cita-cita untuk mengerjakan kebajikan.  Bila dah tahu Allah mengetahui, bagi orang yang mempunyai matahati, yang matahatinya hidup, matahatinya ada connection dengan Allah Taala, maka akan terasa ada hubungan dengan Allah Taala.  Bukan setakat rasa ada hubungan dengan Allah di waktu solat saja, di luar solat pun tetap merasakan ada hubungan itu.  Ilmu Tasawuf  hendak membawa kita untuk merasakan Allah sedang memerhatikan kita.  Setiap gerak-geri kita Allah tahu. Maka jika ada lintasan untuk buat sesuatu yang tidak baik, orang yang matahatinya hidup akan segera sedar bahawa itu sudah menjadi satu kesalahan.

Cuba bayangkan jika Allah selak hati kita, nampak bagaimana sebenarnya hati kita yang tidak ikhlas,  hati yang ujub, yang sering mengharapkan kemasyhuran, yang mengharapkan nama disebut2 bilamana buat kebaikan dsb. Bila orang tahu jika begitu sebenarnya hati kita, sudah tentulah semua orang tak mahu jadikan kita sebagai kawan.  Begitu juga jika ustaz yang mengajar di depan, yang di mata orang ramai ustaz itu nampak sebagai seorang yang ikhlas dalam menyampaikan ilmu, namun jika orang tahu jika sebenarnya beliau bukan orang yang ikhlas, yang datang mengajar hanya kerana Ringgit Malaysia maka sudah tentu lah tidak ada orang yang mahu datang mendengar kuliahnya.  Cuba kita bayangkan jika Allah buka, maka akan terserlahlah segala yang tersembunyi dalam hati seseorang itu...nauzubillah.

Allah tahu walaupun orang tak tahu.  Maka sudah sepatutnya lah kita merasa malu pada Allah Taala. Sepatutnya kita sudah tidak duduk saja dah tanpa tiada ketaatan yang kita lakukan kepada Allah.  Malu lah kita pada Allah kalau masih sanggup duduk rehat-rehat tak buat apa, sedangkan udara Allah kita sedut keluar masuk keluar masuk sepanjang masa. Sesungguhnya Allah tak bagi percuma semua itu pada kita, setiap nikmat akan ditanya balik..contoh: Usia kamu 70 tahun yang Aku bagi, kemana kamu telah habiskan? Kalau lah jawapannya, aku hanya habiskan dengan duduk2 di kedai kopi, maka alamatnya tak ada apalah kita... tunggulah saja balasannya.

Allah Maha Mengetahui, sifat Allah dapat melihat, tembus tiada sempadan. Kita sembunyilah macammana sekalipun kejahatan dalam diri, Allah dapat melihat.  Segala yang tersembunyi. Allah tahu. Jangan sampai diri kita nak buat maksiat, tak ada rasa apa, tak takut apa.. sedangkan Allah sedang melihat.  Letaklah cita-cita dalam diri kita untuk sentiasa lakukan kebaikan... ameen.

Diriwayatkan Rasulullah SAW ada bersabda: "Pandangan itu adalah suatu anak panah yang beracun daripada  panah-panah iblis.  Barangsiapa meninggalkannya lantaran takut kepada Allah, niscaya Dia akan mengurniakan baginya peribadatan yang dirasakan kemanisannya di hati."

Nabi terus kata bahawa mata itu adalah seperti anak panah yang beracun.  Nak bagitau, bahayanya mata ini bila pandang pada orang perempuan.  Ia amat berbahaya bagi diri kerana sebagaimana anak panah yang beracun boleh membawa kepada kematian, begitulah juga dengan mata yang tidak dijaga yang boleh membinasakan diri seseorang itu. Nabi SAW kata, barangsiapa yang meninggalkan dari memandang perempuan kerana takut akan Allah, maka dia akan dapat merasakan kesedapan dalam ibadah.  Itulah kuncinya.  Untuk nak capai keseronokan beribadah, hendaklah usaha meninggalkan maksiat mata iaitu melihat kecantikan perempuan yang bukan isteri kita.  Dikatakan sesungguhnya kecantikan yang ada pada orang perempuan di luar sana itu semuanya ada pada isteri masing2 di rumah.

Maka, tinggalkan maksiat mata...InsyaAllah barulah dapat kita merasakan kesedapan bangun malam, kesedapan bermunajat pada Allah Taala, kesedapan membaca al-Quran. Kata ustaz, orang yang tak pernah merasai kesedapan dalam beribadat tak tahu bagaimana rasanya dan tak dapat nak bayangkan bagaimana rasanya.  Hatta orang yang pernah merasainya juga tak dapat menceritakan dengan terperinci bagaimana saat dia melalui nikmat itu. Nak tahu bagaimana gambarannya, sentiasalah kita duduk dengan orang-orang yang pernah merasainya.  Bagi yang mendapat nikmat tersebut, Allah akan campakkan ke dalam hatinya, rasa sedap dalam beribadah. Masa solat, dirasakan ia suatu kerehatan baginya, bukan menjadi beban.  Solat jadi ketenangan buatnya.

Sebab itulah bagi Ahlillah, mereka boleh solat sampai beratus-ratus rakaat solat sunat. Sebab apa? Sebab rasa sedap.  Sedangkan kita, nak bangun solat rawatib dua rakaat pun, rasa malas.. sebab tak rasa ianya sedap.  Kerana itulah tak rajin nak buat. Sebab itulah tak rajin baca quran... sebab tak dapat cari di mana sedapnya. Yang sedap bagi kita... hanya tengok tv, baca paper, makan dsb.  Kalau tengah baca paper tu, isteri panggil 3x pun tak berapa nak dengar, betapa khusyuknya kita. Tapi kalau baca quran, tempat kat mana berhenti tadi dah tak ingat dah.

Maka pergunakan mata kita dengan sepatutnya kerana mata itulah yang akan kita persiapkan untuk kita gunakan bagi melihat sesuatu yang paling mahal sekali iaitu melihat wajah Allah di Syurga nanti. Bagaimana mata yang penuh maksiat, kita nak guna untuk melihat wajah Allah? Nikmat segala nikmat, nikmat yang paling besar sekali ialah dapat melihat Allah di dalam Syurga.  Mata inilah, mata yang sama yang akan kita gunakan untuk melihat Rasulullah SAW.  Kalau mata ini penuh dengan maksiat, bagaimana kita nak guna untuk melihat sesuatu yang mahal iaitu zat Allah juga wajah Nabi SAW....  Maka kena jaga mata, kena pelihara sungguh-sungguh, dimuliakan ia dengan sehabis mulia agar tidak dikotorkan ia dengan memandang perkara yang haram.

Untuk nak dapat lihat Nabi SAW di dalam tidur di dunia ini sekali pun, perlu melalui suatu usaha yang bersungguh-sungguh.  Orang ahlillah sentiasa sibuk duduk mencari jalan bagaimana nak bertemu dengan Nabi SAW, semasa atas dunia lagi.  Hati mereka berhimpun dengan Rasulullah SAW, cinta mereka dah berhimpun dengan Rasulullah SAW.  Sedangkan kita, tak terfikir pun untuk menuju ke arah itu.  Macammana kita nak jatuh cinta pada Nabi SAW kalau baca kisah Nabi SAW pun kita tak buat.   Nak jatuh cinta macammana?  Maka suluhlah diri kita, sejauh mana tahap kecintaan kita pada Rasulullah SAW. Sejauh mana usaha kita dalam mengenal Rasulullah SAW... Sama-samalah kita usaha untuk menyemai rasa cinta yang tinggi terhadap Nabi kita Rasulullah SAW. Moga beroleh syafaat Nabi SAW di akhirat nanti... ameen.  

Berbalik pada maksiat mata, selesaikanlah masalah pandangan mata ini. Belajar untuk hadkan pandangan mata kita untuk tak lihat apa yang diharamkan oleh Allah Taala.  Allah nak tanam tauhid dalam hati kita. Segala-gala yang ada pada kita ini datang dari Allah.  Kita nak angkut air pun datang kudrat dari Allah Taala.... bukan sebab upaya kita sendiri, bukan dengan kudrat kita... Segalanya dari limpahan Allah. Allah limpahkan kudrat-Nya pada kita.  Dek kerana kita rasa, semua sebab aku, sebab usaha aku, maka sebab itulah kita buat pelbagai tindakan dengan mengikut kehendak kita.  Kena ingat, semua Allah punya, segala yang ada pada kita adalah limpahan kurnia dari Allah Taala, maka perjalanan kita hendaklah bergerak selari dengan kehendak Allah.

Di akhir tazkirah, ustaz jelaskan antara ciri-ciri ahli tasawuf ialah dia tak tinggalkan sunnah Nabi SAW. Dia tokleh lari dari Sunnah Nabi SAW. Sunnah Nabi SAW adalah pegangannya. Orang tasawwuf berjalan ikut ilmu dan ilmu itu adalah sunnah Nabi SAW. Contoh: Guna matanya ikut sunnah, tidak guna mata untuk tengok perkara yang dilarang lihat. Maka sunnah Nabi SAW yang menceritakan sifat2 Nabi SAW, apa Nabi SAW buat, apa Nabi SAW kata, apa yang Nabi SAW tak suka... mesti dibaca dan dipelajari lalu dicontohi.  Kita ikut sunnah Nabi SAW.

Wallahu a'lam.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...