Jangan Bertangguh Lagi

Bismillahirrahmanirrahim.

Ingat tak dulu saya pernah tulis pasal seorang makcik dalam entry ini.
Makcik tersebut sebenarnya telah kembali ke rahmatullah beberapa bulan lalu. Hari kematiannya sangat baik sekali di mana beliau telah ditakdirkan meninggalkan dunia ini pada hari yang mulia iaitu hari Jumaat, pulak tu di bulan yang mulia iaitu di bulan Ramadhan dan tarikhnya pula jatuh pada hari Nuzul Quran.  Satu pengakhiran yang baik bagi seorang insan yang tentu saja setiap dari kita turut mengimpikan agar mendapat kurnia yang besar sebegitu. Amalan apakah agaknya yang arwah makcik istiqamah buat di sepanjang hidupnya?  Sudah tentu pasti arwah ada melakukan suatu amalan ketaatan yang istiqamah sehinggakan beliau telah berjaya mendapat kesudahan yang baik di penghujung usia... Subhanallah.

Antara perkara yang kita tidak pasti tentangnya ialah bagaimana kesudahan kita.  Baru-baru ini saya telah dikhabarkan oleh seorang makcik (beliau dulu merupakan babysitter kepada anak-anak saya semasa kecil) perihal ibunya yang tinggal seorang diri yang telah ditemui meninggal dunia di dalam biik air. Dikatakan ibunya pernah berkata pada salah-seorang cucunya, "mana la tau besok2 opah nanti meninggal dalam bilik air..." Malam tadi pula saya diberitahu oleh en suami tentang seorang anak buah kawannya yang telah meninggal dunia selepas selesai berlumba dalam acara lumba basikal. Dan hari ini pula, kami mendapat khabar ada seorang jiran di kawasan perumahan ini yang baru meninggal ketika sedang memandu kereta. Beliau waktu itu dikatakan dalam perjalanan balik dari satu majlis kenduri.. Innalillahi wainna ilaihirajiun...

Sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah buat arwah, semoga roh mereka Allah cucuri rahmat dan Allah tempatkan bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh... ameen

Moga sentiasa ada cita-cita dalam diri kita agar dapat mati dalam husnul-khotimah. Sering mintak pada Allah agar Allah anugerahkan kita pengakhiran yang baik. Doa agar Allah lindung dari pengakhiran yang tak baik. Sentiasa kita memperbanyak mengingat mati. Marilah segerakan berbuat amal taat dan jangan kita tangguhkan lagi ke masa yang lain. Suka bertangguh untuk beramal akan memberi bahaya yang besar kerana sesungguhnya setiap manusia itu terdedah kepada berbagai bencana dan pekerjaan yang tidak ada akhirnya. Nak cari masa yang betul2 lapang memang susah kerana begitu sibuknya kita. 

Jadi jangan kita bertangguh lagi, kena pandai2 membahagi masa 24jam yang Allah kurnia, peruntukkan masa untuk ibadah kerana hanya amal yang akan dibawa pergi sebagai bekal ketika mati. Banyakkan berbuat perkara kebaikan semasa hayat masih dikandung badan. Bila waktu telah berakhir sudah tiada lagi amalan yang dapat dibuat. Yang ditunggu hanyalah balasan.  Kita hanya baru berada di alam yang ke tiga iaitu alam dunia selepas alam roh dan alam rahim. Duduk dalam dunia hanya sebentar. Dunia hanyalah tempat persinggahan sementara. Masih jauh lagi perjalanan yang harus ditempuh selepas mati iaitu berada di alam kubur/barzarkh, kemudian alam masyhar, kemudian alam mizan/timbangan amal dan yang akhirnya samada Syurga atau Neraka. Itu sebab bekal kena banyak dan bekal itu hanya dapat dicari ketika kita masih di alam dunia.

Hadis Rasulullah SAW berbunyi:
"Anggaplah dirimu di dunia ini sebagai seorang musafir ataupun sebagai pengembara." 

Hadis ini menganjurkan kita supaya sentiasa mengingatkan mati dan mengurangkan cinta terhadap dunia yang fana ini.

Ibnu Umar r.a pernah berkata:
"Jika anda masih hidup di waktu pagi, jangan tunggu hingga ke petang.  Dan jika anda masih hidup di waktu petang, jangan tunggu hingga ke pagi. Sediakan dirimu di masa hidup untuk bekalan waktu mati, dan di masa sihat untuk bekalan waktu sakit."

Wallahu a'lam. 

1 comment:

Anonymous said...

Satu lagi posting yg bermanfaat untuk mata hati. Yg utama ialah berlaku baik & jgn bertangguh lagi pabila terlintas nak buat baik. Yg keduanya kena istiqamah dlm amal baik. Jgn lupa doa supaya Allah berikan kita pengakhiran yg baik. Perjalanan kita sangat jauh. Dunia sekadar tempat persinggahan. Jadilah org minoriti yg ingat mati selalu. Kerana majoriti org cinta dunia takut mati & tak ingat mati pun malah tak mahu ambik sekumit pengajaran pada setiap kematian di depan mata. Seolahnya org je mati, aku lambat lagi, malah mungkin tak mati2 kot.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...