Pandanglah Dengan Mata Hati

Pandanglah segala sesuatu dengan mata hati. Di sana ada hikmah dan pengajaran. Pandang ciptaan Allah dan fikir akan kebesaran Allah. Pandang langit nampak Allah. Pandang lautan nampak Allah. Pandang bukit bukau dan hutan belantara nampak kehebatan Allah. Pandang anggota diri, di sana ada kehalusan dan kesempurnaan ciptaan Allah yang Maha Pencipta.

Di dalam hadis riwayat Ahmad dan al-Darimi, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Bertanyalah diri anda. Kebaikan itu ialah sesuatu yang hati anda berasa tenang kepadanya, manakala dosa pula ialah sesuatu amalan yang hati anda berasa bersalah dan teragak-agak padanya. Terimalah pandangan ini, walaupun orang ramai memberikan pandangan yang lain pada anda".

Akal diberi ruang yang begitu luas untuk meninjau dan memerhatikan alam buana yang kaya dengan objek, dari plenet-plenet di alam langit hinggalah ke bumi dan diri sendiri. Di dalam Surah Yunus ayat 101 Allah berfirman yang bermaksud: " Katakanlah wahai Muhammad! Perhati dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi".

Dalam Surah al-Zariat ayat 20 dan 21 Allah berfirman yang bermaksud: Dan pada bumi ada tanda-tanda kebesaran Allah bagi orang-orang yang yakin, dan juga pada diri kamu sendiri. Maka kenapa kamu tidak melihat serta memikir tanda-tanda kebesaran itu".

Islam itu ialah penyerahan diri secara total kepada Allah. Sembahlah Sang Pencipta, bukan menyembah yang dicipta. Baik di pandangan mata hati maka insyaAllah eloklah pandangan di mata kasar.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...