Hati Terpaut Pada Masjid

Bismillahirrahmanirrahim

"Tuan-tuan... Usia kita tinggal berapa hari lagi berbaki, moga-moga kita semua jadi ahli masjid", kata ustaz dalam kuliah maghrib malam tadi.

Teringat kata-kata seorang ustaz sebelum ini... "Sifat mukmin, orang yang hatinya tergantung pada masjid yakni hati sanubarinya sentiasa berpaut kepada masjid ... akan rasa bangga dapat nikmat  ibadah... dapat solat berjemaah, dapat duduk dalam majlis ilmu.. rasa nikmat.. bersyukur.. sering ucap Alhamdulillah terimakasih ya Allah." .. tazkirah malam tu di SINI

Sesungguhnya tidak ada tempat yang lebih baik selain dari masjid. Kita jadi mulia dengan Islam. Sesiapa saja baik laki-laki atau perempuan boleh mendapat kemuliaan (i) melalui kalimah yang baik samada menyampaikan atau mendengar perkataan yang baik dan  (ii)melalui amal soleh. 

Surah az-Zumar ayat 18 yang bermaksud:
"Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum agama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna."

Maksudnya mereka ini orang yang suka mendengar perkataan yang baik-baik, yang bermotivasi, yang menginsafkan diri.  Kemudian disusuli pula dengan amal yang baik.  Mereka itu yang mendapat petunjuk daripada Allah. Petunjuk yang tidak memerlukan modal. Mereka ini tetap datang ke masjid untuk solat berjemaah walau hujan lebat, tetap datang mengaji walaupun dalam keadaan cuaca berjerebu.  Bila mengaji, kalau tak tahu akan jadi tahu dan kalau dah tahu sekalipun InsyaAllah akan bertambah lagi tahu dia akan agama.

Dari Abdullah Ibn Mas’ud r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yang diberi kebaikan oleh Allah SWT ke atas seorang hambaNya maka akan diberi faham dalam agama dan mengilhamkan didalam hatinya perkara-perkara yang benar. 

(HR Bazzar, Tabrani)

Jangan biarkan diri terus jahil terhadap mendengar seruan Allah. Alhamdulillah, bersyukurlah jika kita ada minat dan kemahuan untuk belajar sebab ada orang yang sudah 14 tahun hidup di depan masjid namun kaki tetap tak dapat melangkah datang ke masjid. Hidayah memang milik Allah. Namun kena ada usaha ke arah kebaikan maka InsyaAllah hidayah akan datang buat kita. Percaya dan yakin dengan keluasan rahmat Allah.

Dunia adalah medan ujian. Jika tak tahu tentang dosa pahala, tak tahu yang mana benar yang mana salah, maka mudah benar untuk kita jatuh tersungkur. Sedangkan dalam masa yang sama program maksiat makin bercambah. Semua itu tidak lain akan mengurangi nilai diri kita. Oleh kerana itu, kena ada usaha yang berterusan agar ada ilmu dalam diri supaya nanti tahap iman yang sentiasa turun naik mampu diselia.. InsyaAllah.

Surah al-Fat-h ayat 9 yang bermaksud:
"(Kami mengutusmu wahai Muhammad) supaya engkau dan umatmu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, dan supaya kamu kuatkan agama-Nya serta memuliakan-Nya, dan supaya kamu beribadat kepada-Nya pada waktu pagi dan petang."

Surah adz-Dzariyat ayat 50
"(Katakanlah wahai Muhammad kepada mereka): "Maka segeralah kamu kembali kepada Allah (dengan bertaubat dan taat), sesungguhnya aku diutuskan Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran yang nyata."

Biar terdetik dalam hati kita untuk menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai role-model. Contohi dan ikut sunnah Rasulullah SAW. Lazimkan diri duduk di dalam majlis ilmu dan bercampur dengan jemaah, moga-moga hati sentiasa terpaut pada masjid.

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Tujuh golongan akan berada dibawah naungan rahmat Allah pada hari yang tidak ada naungan kecuali naunganNya. (Pertama): Raja yang adil. (Kedua): Pemuda yang menghabiskan masa mudanya dengan beribadat kepada Allah. (Ketiga): Seorang lelaki yang hati sanubarinya sentiasa berpaut kepada masjid. (Keempat): Dua orang yang berkasih sayang semata-mata kerana Allah. Bertemu dan berpisah kerana Allah. (Kelima): Seorang lelaki yang diajak oleh wanita bangsawan dan cantik kepadanya namun dia berkata: Aku takutkan Allah. (Keenam): Seorang lelaki yang membelanjakan hartanya secara sembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kanannya. Dan (Ketujuh): Seorang lelaki yang berzikir kepada Allah dengan bersunyi diri sehingga mengalirkan air mata. (HR Bukhari)

Dari Abu Hurairah r.a dan Abu Said Al-Khudri r.a keduanya bersaksi bahawa Nabi SAW bersabda: Tidaklah satu kelompok yang duduk mengingati Allah kecuali para malaikat menaungi mereka dengan sayap-sayapnya, dan rahmat Allah meliputi mereka, sakinah turun ke atas mereka dan Allah menyebut mereka dalam majlis para malaikat. (HR Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Orang yang sentiasa berulang-alik ke masjid di dalam kegelapan malam mereka itulah orang yang hati sanubarinya tenggelam di dalam rahmat Allah. (HR Ibn Majah)


Sebagai penutup, ustaz membaca firman Allah dalam Surah al-Kahfi ayat 28 yang bermaksud:
Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredhaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah lakunya pula adalah melampaui kebenaran.

Di akhir majlis ilmu, semua ikut ustaz mengalunkan doa istighfar yang mengundang sedih di dalam hati...
--------------------------------
Wahai Tuhan ku tak layak ke syurga Mu
Namun tak pula aku sanggup ke neraka Mu

Ampunkan dosa ku terimalah taubat ku

Sesungguhnya Engkaulah Pengampun dosa-dosa besar

Dosa-dosaku bagaikan pepasir di pantai

Dengan rahmat Mu ampunkan daku Oh Tuhan ku

Wahai Tuhan selamatkan kami ini

Dari segala kejahatan dan kecelakaan

Kami takut kami harap kepada Mu

Suburkanlah cinta kami kepada Mu

Kamilah hamba yang mengharap belas dari Mu


---------------------------------------------------

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...