Tazkirah 2 Ramadhan

Semalam sampai, ngam2 azan berkumandang. Dalam hati ingat mesti dah takde tempat untuk kami di ruang solat Tapi alhamdulillah dalam2 penuh tu, nampak di saf ke-2 ada ruang yang boleh muat untuk 2 orang. Orangnya ramai tapi nampak macam semua orang buat tak tahu je dengan slot yang kosong tu. "Rezeki kita agaknya Ma...." , kata kak Ngah yang malam tadi ikut sama ke masjid. Ok lah kalu gitu, alhamdulilah.

Tazkirah ramadhan malam tadi digantikan secara bidan terjun oleh nazir masjid. Penceramah jemputan tak dapat datang, khabarnya beliau sekarang berada di Palestin. Oh didoakan moga beliau di sana baik-baik saja. Begitu juga dengan seluruh saudara Islam kita di Palestin, moga sentiasa dalam perlindungan Allah SWT...aminnn

Sepertimana tahun lalu, Nazir kembali mengupas tentang tahap puasa yang terbahagi kepada tiga iaitu puasa orang-orang awan, puasa khusus dan puasa khusus dalam khusus.

Puasa orang-orang awam sebagaimana yang kita tahu adalah ibarat puasa balas-dendam atau puasa kanak-kanak. Ini kerana bila tiba waktu buka puasa, kita bersungguh-sungguh makan dan minum dek sebab berpuasa di siang hari. Jadi makan betul betul sampai kekenyangan.
Kesimpulannya puasa orang awam hanya puasa yang menahan diri dari makan dan minum dan melakukan hubungan suami-isteri di siang hari... itu sahaja.

Manakala puasa di tahap puasa khusus merupakan puasa yang lebih berkualiti jika nak dibandingkan dengan puasa orang-orang awam. Puasa ini bukan berpuasa setakat menahan diri dari makan dan minum serta berhubungan suami-isteri di siang hari namun ia juga merangkumi berpuasa seluruh pancaindera iaitu mata berpuasa, telinga berpuasa, mulut berpuasa, kaki dan tangan juga berpuasa. Maksudnya jika selama ini mata selalu terpandang benda-benda maksiat maka bila berpuasa mata dah tunduk dari terus melihatnya. Telinga yang selama ini suka mendengar umpatan, fitnah, khabar angin dsb maka bila berpuasa terus berhenti dari mendengar. Mulut pula yang selama ini suka mengumpat, mengata orang, mengaibkan orang dsb maka bila berpuasa berhenti terus dari aktiviti yang tidak sihat itu. Kaki dan tangan pula ikut berpuasa dari digunakan untuk perkara-perkara maksiat.

Menyentuh puasa di tahap ke tiga iaitu puasa khusus dalam khusus, ia adalah tahap puasa yang paling tinggi bukan setakat meliputi semua yang tersebut di dalam ke dua-dua puasa di atas, namun ditambah lagi dengan berpuasa hati. Hatinya sentiasa berpuasa yang tidak ada di dalam nya perkara-perkara yang tidak baik, mungkar dan maksiat. Contoh jika sebelum masuk waktu berbuka, terlintas di hati mereka tentang apa makanan yang akan dimakan nanti sewaktu berbuka, pun itu dikira satu kesalahan. Berpuasa hati ibarat hati jadi sesuci-sucinya tanpa ada bayangan terhadap perkara yang berkaitan nafsu dan duniawi.

Jadi nazir mengajak kita sama-sama bermuhasabah, sedang di tahap mana puasa kita sekarang? Adakah masih kurang berkualiti sepertimana tahun-tahun lepas di mana kita hanya sekadar berpuasa orang-orang awam yang sentiasa memikirkan juadah yang berbagai.... dengan ayam goleknya, kerabu mangganya, ikan percik, air cincau, air tembikai dan serba macam lagi juadah berbuka. Atau dah naik taraf pada puasa khusus yang menuntut semua pancaindera untuk ikut berpuasa. Atau yang lebih baik lagi hati turut berpuasa bila mampu termasuk dalam tahap puasa paling tinggi iaitu khusus dalam khusus. Sama-sama kita tanya iman kita, di mana kedudukannya... wallahu'alam.

Sambung nazir lagi,...

Ada 3 perkara yang menjadi sebab mengapa puasa kita jadi tak berkualiti:
  1. Kita masuk ke dalam bulan Ramadhan tanpa ada persediaan. Takde latihan awal sebelum bersedia untuk menghadapi Ramadhan. Yang bersedia, sekurang-kurangnya telah berlatih berpuasa di bulan Rejab dan Syaaban sebelum berhadapan dengan perintah Allah untuk Puasa Wajib di sepanjang 30 hari bulan Ramadhan. Kalau dah ada latih-tubi sebelum ini, maka ujian yang final ini InsyaAllah akan terserlah hebat keberhasilannya.
  2. Apabila kita menjadikan puasa kita hanya sebagai mengikut adat dan ikut-ikutan sahaja. Kita hanya menganggap kita kena berpuasa di bulan Ramadhan sebab dari kecik lagi kena berpuasa, mak ayah kita berpuasa dan semua orang berpuasa. Jadi kita tak dapat tidak kena ikut berpuasa. Bila begini, itu sebab mengapa ramai yang berpuasa tapi malangnya tetap tidak solat. Puasa ikut puasa tapi masa orang solat Maghrib dia tidak ikut solat. Puasa tetap puasa tapi tetap tidak menutup aurat... nauzubillah..
  3. Tidak ada contoh terbaik untuk kita jadikan ikutan... untuk kita lihat atau ikut sebagai contoh yang baik dalam hal2 melakukan ibadah. Itu sebab mengapa ada anak2 yang tak nak dengar nasihat ibu/ayah sebab mereka lihat ayah dan ibu sendiri pun tak buat apa yang mereka nasihatkan. Ayah suruh banyakkan mengaji quran, tapi ayah sendiri jarang nampak mengaji. Ibu pesan jangan pakai baju ketat2 tapi ibu sendiri kekadang pakai pakaian yang kurang melambangkan seorang muslimah.
Contoh yang terbaik adalah Rasulullah SAW. Kembali kita menjadikan Rasulullah SAW sebagai idola dan contoh dalam semua aspek kehidupan. Ikut mencontohi orang-orang alim yang berwibawa agar kita dapat tingkatkan kualiti ibadah puasa kita. Puasa ini, ganjarannya Allah sembunyikan, tidak disebut apa ganjarannya secara khusus sepertimana tersebut dalam hadis qudsi yang berbunyi:

“Ia meninggalkan makan,minum, dan kesenangan syahwatnya demi Aku. Puasa adalah untuk-Ku, dan Aku sendirilah yang akan membalasnya. Kebaikan itu dibalas dengan sepuluh kali lipat.
(HR Bukhari)


Semoga ibadah kita diterima Allah... aminn


6 comments:

Kunang-Kunang said...

Assalamualaikum Nur,

Puasalah dengan ikhlas supaya mendapat redha Allah bukan hanya kerana ingin mendapat balasan2 yang dijanjikan.

sal said...

Syahdu di bulan puasa ini..
sebagai Pusat training.. meningkatkan keimanan dan ketakwaan ..
berpuasa dengan ertikata sebenarnya..

moga dari masa ke semasa..akan berlaku peningkatan diri menjadi hamba yg lebih baik..ameen

Cikli said...

puasa dan terawah. nikmat yang agung

nur said...

Wsalam kak hanim,
IKHLASkan hati, InsyaAllah akan ada nilaiannya di sisi Allah.

nur said...

sal...
InsyaAllah sal, usaha dan doa agar kita dapat improve dari semasa ke semasa...aminn
..berita gembira untuk orang-orang yang berpuasa telah dikhabarkan oleh Rasulullah SAW dalam hadis baginda:

“Syurga itu mempunyai sebuah pintu yang dinamakan Ar Rayyan yang tidak memasuki pintu itu selain daripada orang-orang yang berpuasa. Dan dijanjikan dengan menjumpai Allah Taala pada balasan puasanya.”
(Bukhari & Muslim)

nur said...

Cikli...
Alhamdulillah syukur dengan anugerah Ramadhan buat kita..jangan kita sia-siakan nikmat dapat berpuasa dan berterawih..

“Orang yang berpuasa itu mempunyai dua kegembiraan, kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika bertemu dengan Tuhannya (nanti).” (Bukhari & Muslim)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...