Kasih akan Allah


Bismillahirrahmanirrahim.

Menangislah kepada Allah. Kata ustaz, jika kita tak boleh menangis tiap-tiap malam pun, menangis seminggu sekali pun jadilah.  Mengadu pada Allah. Minta ampun pada Allah. Sedar diri ada dosa, InsyaAllah akan mampu menangis, akan bertaubat pada Allah. Kasihkan Allah.  Buktikan kasih kita pada Allah.  Banyakkan sebut nama Allah.

Di antara sifat hamba, hati sentiasa redha.  Hati sentiasa suka terhadap apa-apa jua yang dari Allah.  Dapat baik atau buruk, hati redha.  Contoh: Datang masjid, keluar-keluar masjid,,, seliper hilang... ucap Alhamdulillah... Tapi realitinya sukar bagi kita, kalau jadi macam tu, mulut mungkin akan terus kata.. "sape la yang ambik seliper aku ni, kalau dapat orang ni, memang nak kena la..." Kehendak kita, kalau keluar-keluar masjid seliper tetap ada menanti.. baru hati akan lega... terus kata, "Alhamdulillah.. seliper aku tak hilang, tak sia-sia baca-baca sikit tadi..." Ish ish

Banyakkan syukur. Jangan kita bila sihat saja baru nak ucap alhamdulillah. Sepatutnya bila sakit.. "terimakasih ya Allah." Sebab dengan sakit itu akan buat kita lebih ingat Allah. Dah sakit...banyak lah ingat Allah. Banyak zikir, banyak doa, sering bukak quran, baca.  Maka apatah lagi semasa sihat.. "terimakasih ya Allah.." Dengan sihat yang ada, moga bertambah-tambah amal, sering ke masjid,sering ke majlis ilmu, banyak buat solat sunat. Namun yang sering berlaku, bila sihat kita... rajin ucap Alhamdulillah. Sebaliknya bila sakit, datang buruk sangka kata ada orang buat.. "Ini mesti ada orang yang dengki kat aku nih!" Ish ish.. padahal Allah nak uji. Ingatlah bahawa dunia ini merupakan medan ujian buat kita.

Jaga hubungan dengan Allah. Ustaz bagi contoh: Orang lain jam 7.30pagi dah mula meniaga, sedangkan Abdur Rahman bin Auf r.a mula meniaga jam 10.30pagi. Tapi barang jualan Abdur Rahman bin Auf r.a yang habis dulu. Sebab apa? Sebab sebelum keluar meniaga, Abdur Rahman bin Auf r.a minta dulu dengan Allah, selesaikan terlebih dulu urusannya dengan Allah.. contoh, solat Israk, Dhuha dsb.. Wallahu'alam.

Hidup kita biar memada. Masa berjalan-kaki tak ada transport, mintak basikal. Pikir kalau dapat basikal, mudah lah nanti pergi masjid..dapat naik basikal. Dah dapat basikal, pikir nak motor pulak dah. Lepas dah dapat motor nak kereta pulak.. Alasannya, kalau ada kereta nak pergi masjid pun senang, bila hujan tak basah...  Dah dapat kereta kancil, nak kereta yang besar pulak. Ertinya... rasa puas itu di-angkat, rasa tak pernah cukup.  
Maka, biar apapun kita ada, bersyukurlah... Banyakkanlah rasa syukur...biar ada sifat memada, rasa cukup dan memadai dengan apa yang ada.  

Kasihlah kita pada Allah Taala.  Milikilah rasa kasih itu. Kenangkan betapa, begitu banyaknya nikmat Allah pada kita. Nikmat Allah tak putus.  Dicukupkan keperluan kita, ada anak isteri, ada macam-macam. Allah dah beri kehidupan buat kita namun kita yang tak boleh balas balik sebagaimana yang sepatutnya.  Allah suruh ibadah, kita tak buat. Kita tak buktikan tanda syukur kita atas segala nikmat yang diterima.

Kasih akan Allah itu merupakan semulia-mulia tingkat dan setinggi-tingginya. Kasih kepada Allah Taala ialah apabila hati seseorang hamba merasa cenderung kepada Allah, merasa adanya hubungan yang rapat dengan Allah, bertuhan hanya kepada Allah Taala.

Firman Allah:
Surah al-Baqarah ayat 165:
yang bermaksud:
"...orang-orang yang beriman itu lebih cinta kepada Allah." 

Surah al-Maidah ayat 54; 
yang bermaksud:
"...maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Allah." 

Dari Anas ra dari Nabi SAW., sabdanya:
"Ada tiga perkara, barangsiapa yang tiga perkara itu ada di dalam diri seseorang, maka orang itu dapat merasakan manisnya keimanan iaitu: jikalau Allah dan RasulNya lebih dicintai olehnya daripada yang selain keduanya, jikalau sesorang itu mencintai orang lain dan tidak ada sebab kecintaannya itu melainkan kerana Allah, dan jikalau seseorang itu membenci untuk kembali kepada kekafiran setelah diselamatkan oleh Allah dari kekafiran itu, sebagaimana bencinya kalau dilemparkan ke dalam api neraka." (Muttafaq 'alaih)

Zahirkan terimakasih kita pada Allah, contoh: Bila dapat nikmat solat berjemaah.. ucap "Alhamdulillah terimakasih ya Allah", Dapat nikmat duduk dalam majlis ilmu... "terimakasih ya Allah."  Dapat baca quran..."terimakasih ya Allah..." Wajiblah kita kasih pada Allah.  Cukup besar nikmat Allah. Kurnia Allah tidak terkira buat kita.  Balik rumah, isteri masak. Sakit kepala, isteri tolong picit. Kita nak tidur sekali pun, besar nikmat Allah bila kita boleh membalik-balikkan badan ke kiri kanan.  Cuba bayangkan jika kita hanya dapat tidur terlentang saja, tentu payah nak lena.  Allah beri nikmat kita dapat tidur dengan lena... Alhamdulillah.

Kasihkan Allah biar lebih.  Nafsu biar duduk tempat ke dua. Contoh: Kalau ada kuliah Zohor, masuk dengar dulu, setelah itu baru makan tengahari. Kasih Allah, tumpukan Allah, dahulukan Allah, mengaji dulu baru makan. Maka ilmu dapat, makan pun dapat. Bila kasih pada Allah, kita akan mengerjakan sesuatu yang lebih mendahulukan Allah dalam semua perkara.

Wallahu'alam.

-----------

*kebelakangan ini sering sampai lambat ke masjid.  Jadi sampai-sampai dah terlepas lebih separuh perjalanan majlis ilmu.. ouhhh. 
Moga-moga dirahmati Allah.  Biarpun sedikit moga diberkati. Mesti doa, mintak pada Allah.  Usaha mesti berterusan. Kata-kata ustaz di penghujung bicara tersemat di hati: "Buat baik, tak rugi, Allah akan balas baik.. InsyaAllah."

Bangunlah Solat Malam

Bismillahirrahmanirrahim.
   
"Jika kita terjaga di tengah malam tak kira pukul 3 ke pukul 4 ke, cuba rasakan kita terjaga itu sebab Allah yang kejutkan kita..." Subhanallah... terngiang-ngiang sampai hari ini ucapan ustaz dalam kuliah maghrib dulu semalam.

"Setiap yang berpahala banyak, memerlukan pengorbanan", kata ustaz dalam kuliah malam tadi pula. Memang payah untuk kita bangun malah kalau dapat bangun sekalipun di tengah malam contoh untuk ke bilik air, hati jadi begitu berat untuk solat malam. Selepas selesai urusan di bilik air, terus masuk bilik sambung tidur.  Hati tak rasa ringan untuk lakukan ibadah. Hati tak kuat untuk langsung ambil wudhuk lalu solat walau hanya 2 rakaat.  

"Kalau kita tak menyesal pada waktu ini, bila kita akan menyesal...tuan-tuan?"
Berdebar rasa hati mendengar kata-kata ini.  Termenung seketika mengenang kedudukan diri...

Antara katil dan sejadah, mana lebih selesa buat kita di tengah malam? Tentulah hati lebih dekat kepada katil, namun kata ustaz, jangan lah kita terlalu gemar pada tidur. Tidur yang terlampau banyak boleh menyebabkan hati menjadi buta, sukar untuk terima nasihat, jadi malas baca quran hingga sukar bagi kita untuk mendapat hidayah dari Allah... nauzubillah...

Firman Allah dalam Surah Al-Israa'  ayat 79;
yang bermaksud:
"Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah 'sembahyang tahajjud' padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji."

dan  dalam Surah Sajadah ayat 16;
yang bermaksud:
"Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaan-Nya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredhaan-Nya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka."

dan dalam Surah Muzzammil ayat 20;
"Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) mengetahui bahawasanya engkau bangun (sembahyang Tahajjud) selama kurang dari dua pertiga malam dan selama seperduanya, dan selama sepertiganya, ...."

Ayat-ayat itu kata ustaz, sudah cukup untuk menggalakkan kita agar berusaha bangun solat 2 rakaat di tengah malam. Orang yang bangun malam akan nampak pada wajahnya cahaya. Cahaya itu akan memandu mereka ke jalan yang benar InsyaAllah.  

Dari Aisyah radhiallahu'anha, katanya: "Nabi SAW itu berdiri untuk bersembahyang malam, sehingga pecah-pecah kedua tapak kakinya.  Saya berkata kepadanya: "Mengapa Tuan mengerjakan sedemikian ini, ya Rasulullah, padahal sudah di-ampunkan untuk Tuan dosa-dosa Tuan yang dahulu dan yang kemudian?" Beliau SAW lalu bersabda: "Tidakkah saya ini seorang hamba yang banyak bersyukur." ((Muttafaq 'alaih) 

Hendaklah kita membiasakan diri bangun malam kerana bangun solat malam itu dapat mendekatkan diri kita kepada Allah Taala. Dengan istiqamah bangun malam juga InsyaAllah dapat menjauhkan diri kita dari dosa dan menyingkirkan penyakit dari tubuh..ameen.

Kita khuatir akan terkena penyakit banyak lupa, maka untuk elakkan diri dari menjadi nyanyuk di usia tua, bangunlah solat malam. Dikatakan ubat mata yang paling mujarab ialah banyak melihat al-quran, banyak membaca al-quran. Manakala ubat untuk mencerdaskan otak ialah dengan banyak mengingati Allah, banyak melakukan amal soleh kepada Allah Taala  termasuk dengan mendirikan solat malam, zikir dan membaca quran.  

Seorang mukmin itu akan menjadi mulia bila dia sanggup bangun di tengah malam. Ustaz sebutkan satu riwayat yang mengatakan bahawa:
1) Siapa yang bangun malam dan membaca 10 ayat dari al-quran, maka dia tidak akan ditulis sebagai orang yang lalai.
2) Siapa yang bangun dan membaca dengan kadar 100 ayat maka mereka akan ditulis sebagai hamba yang taat pada Allah.
3) Siapa yang bangun malam yang baca 1000 ayat akan ditulis sebagai orang yang mempunyai bekal akhirat.

Ustaz membacakan lagi hadis Nabi SAW yang berkaitan dengan bangun malam ini iaitu:

Dari Jabir ra katanya: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Pada malam hari, ada satu saat (yang berkat) yang jika seseorang Muslim menepati saat itu dan berdoa kepada Allah meminta keberkatan dunia dan akhirat, nescaya Allah kabulkan doanya. Saat itu wujud pada setiap malam.” (Riwayat Muslim)

Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Tuhan kita, Maha Suci dan Maha Mulia KedudukanNya, pada setiap malam turun ke langit dunia yang paling rendah sekali di sepertiga akhir malam lalu menyeru: Adakah terdapat sesiapa yang berdoa kepadaKu nescaya Aku kabulkan? Adakah sesiapa yang meminta kepadaKu nescaya aku perkenankan? Adakah terdapat sesiapa yang memohon ampun dariku nescaya Aku ampunkan?" (HR Muslim)

Nabi SAW juga ada menyebut bahawa "...seutama-utama solat sesudah solat fardhu ialah solat di waktu malam." 

Maka pesan ustaz....didiklah diri kita dengan amalan bangun malam. Bangunlah solat malam walau hanya untuk 2 rakaat.  Perlu mujahadah kerana sesungguhnya setiap yang menjanjikan pahala banyak itu amat memerlukan pengorbanan kita. Korban rasa malas, korban rasa penat, korban waktu tidur... tanamkan azam untuk dapat bangun solat malam agar mudah-mudahan rumah serta kehidupan kita akan sentiasa diberkati Allah Taala... InsyaAllah.

Wallahu'alam.

Puding Jagung Santan

Kita masih berada di petang Jumaat, alhamdulillah..

Nak kongsi resepi Puding Jagung yang sedap dan amatlah cepat tempoh masa nak menyediakannya. Kueh ini sering saya terjah buat sebab tak ambik banyak masa, sekejap je dah siap... contoh time kita tengah sebok, anak pulak nak balik asrama.. masa tak banyak tinggal.  Jadi terus campur-campur je semua bahan, kacau-kacau atas dapur sampai likat, kemudian tuang dalam loyang. Hah dah tu, tunggu sekejap, biar kueh tu pejal sikit, then dah boleh dipotong-potong masuk tupperware.

Puding Jagung ni orang panggil Puding Kastard pun iya jugak.  Ada kawan saya panggil Puding Kastard Jagung.  Mana-mana la ya.. Saya suka versi yang pakai santan, lama dulu pernah buat pakai susu cair, boleh tahan juga la sedapnya tapi rasa macam lagi sedap pakai santan. Rasa pure macam orang dulu-dulu buat, yang sering saya makan time kecik-kecik dulu. Lagi pun kalau pakai santan ni, tempoh fresh kuehnya lama sikit bertahan lebih-lebih lagi bila lama duduk kat luar peti ais. 

Resepi dan cara buat Puding Jagung:  
Bahan yang perlu ada:
1 cawan kastard
¾ cawan gula(lebih sedikit dari ½ cawan) 
1 tin jagung manis dalam tin (Ayam brand)
2 cawan santan (jika guna santan KARA, hanya 1 kotak kecil santan KARA + satu kotak air) 
2 cawan air
Secubit dua garam

Caranya mudah sahaja: Hanya campurkan kesemua bahan dalam satu periuk.  Masak dengan api yang sederhana, sambil terus dikacau-kacau dengan senduk kayu sehingga campuran menjadi likat dan berkilat.  Biarkan masak lama sikit, InsyaAllah kueh akan lebih tahan lama. Dah sempurna masak, tuangkan ia ke dalam loyang.  Tunggu sejuk sedikit baru sambung sejukkan dalam petiais.  Sedap dimakan sejuk-sejuk, nyaman rasa tekak.. he he

Jom buat Puding Jagung versi santan yang enak ini.. Esok cuti.. Selamat berhujung minggu..As-Salam.

Orang Yang Soleh

Bismillahirrahmanirrahim
Moga Allah Taala memberi taufiq dan hidayahNya yang berterusan buat kita sehinggalah tiba waktu kita bertemu denganNya. Hari ini sudah 5 Muharram, tahun baru Hijrah 1435.  Semoga dengan keberadaan kita di dalam bulan ini, dapat menyuburkan lagi keimanan kita serta meningkatkan lagi taqwa kita kepada Allah Taala... ameen

Dikatakan...
Seseorang itu tidak akan mampu melihat kebersihan dirinya sendiri melainkan dengan adanya cermin yang bersih, cermin yang dapat memperlihatkan jasmaninya secara jelas.  Jika cermin bersih, tak kotor, barulah dapat tengok wajah kita yang sebenarnya.. nampak berseri.  Namun jika cermin kotor, wajah kita akan ikut nampak tak bersih.
Itu perumpamaannya...

Maka, semoga kita dalam kehidupan seharian, mampu untuk mempunyai saudara Mukmin yang ikhlas, yang berakhlak teguh dan yang mempunyai iman yang mantap.  Kita memerlukan seorang teman atau sahabat yang mukmin, yang ikhlas, yang jujur.  Kerana apa? Supaya teman kita itu dapat memberi nasihat yang benar buat kita.  Sahabat ra iaitu Umar al-Khattab sebagai contoh telah membuka pintu seluas-luasnya untuk menerima nasihat.

Nasihat yang ikhlas adalah penting untuk menjadikan kita semakin taat pada Allah. Jika teman kita seorang yang tidak ikhlas, kita tidak akan menerima nasihat atau teguran bilamana kita tidak benar dalam tindakan, malahan teman tersebut sebaliknya di hadapan kita hanya cenderung memberi pujian semata-mata.  Kalau sahabat yang berdamping dengan kita bukan seorang yang jujur, akan menyebabkan kita menjadi malas untuk tingkatkan ibadah sebab kita dah rasa baik, dah rasa sempurna.

Ustaz ulang mengingatkan bahawa seorang mukmin itu perlukan seorang sahabat yang jujur, yang dapat memberi nasihat.  Seorang teman yang InsyaAllah mampu menunjukkan kepada kita di mana akhlak kita yang belum baik, yang perlu diperbaiki...contoh: "Aku tengok kau ni selalu ulang-alik ke masjid...alhamdulillah... cuma aku rasa kau ni 'sabar' je yang belum ada lagi..." Sahabat yang jujur akan berani menegur kita jika jelas kita ini nampak agak sukar mengawal diri bila marah, agak kurang sabar, tak boleh ada silap sikit...cepat marah.  

Nabi SAW ada bersabda, yang bermaksud:
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Seorang yang kuat itu bukanlah orang yang dapat membalas(pukulan lawannya) tetapi seorang yang kuat itu ialah dia yang dapat mengawal diri dan perasaannya dengan baik ketika marah. 
(HR Bukhari)


Dari Abu Hurairah ra bahawasanya ada seorang lelaki yang berkata kepada Nabi SAW: "Berikanlah wasiat padaku!" Nabi SAW menjawab: "Janganlah engkau marah." Orang itu mengulang-ulangi lagi permintaan wasiatnya sampai beberapa kali, tetapi beliau SAW  tetap menjawab: 
"Janganlah engkau marah."  
(Riwayat Muslim)

Kalau ada orang yang menyakiti kita,  kita gunalah cara ilmiah atau berilmu untuk nak balas balik.  Mesti bagi respon yang diredhai Allah.. bukan sekadar ikut kata hati dan pemikiran kita.  Hendaklah sentiasa cuba mengawal perasaan kita dengan sebaik-baiknya.  Apa yang berlaku di hadapan kita, itulah akhlak kita. Kita akan mampu mendidik anak jika kita cuba untuk turut berada dalam kedudukan mereka. Fahami masalah mereka. Jangan mendidik anak hanya dengan cara ikut pemikiran kita.  Muhasabah diri, kita pun ada helah sebagaimana anak kita yang sesekali agak liat atau tak berapa nak dengar kata. Misalnya, kita jika time free atau masa takde hal baru kita akan ke masjid solat berjemaah dan luangkan masa duduk mendengar dalam majlis ilmu tapi bila ada lawan bola contoh Kelantan vs Pahang macam baru-baru ini 'terpaksalah' cuti pegi ke masjid sebab nak tengok bola.. ish-ish.

Mesti ada teknik dalam mendidik anak. Kata ustaz, setiap maqam manusia itu ada teknik atau kaedah bila bercakap. Ada orang yang serius dalam menyampaikan, ada yang dalam gaya santai dan bersahaja. Semua ada cara dan pendekatan masing-masing dalam usaha mendekatkan seseorang pada Allah Taala.  Nak didik orang agar dekat dengan Allah, banyak kaedahnya. Ustaz bagi contoh:  Ustaz Azhar Idrus yang begitu dikenali ramai, mempunyai kaedah yang agak luarbiasa dalam nak menarik orang ramai datang ke masjid. Cara beliau yang 'santai namun ilmu sampai itu' ternyata mendatangkan kesan yang mendalam khususnya pada jiwa anak-anak muda sehingga beliau mampu memberi kesedaran untuk mereka datang mendengar ceramah agama. Bukan semua orang mampu buat sebagaimana kemampuan Ustaz Azhar Idrus. Jelas bahawa, beliau yang punya cara dan karisma yang tersendiri dalam menyampaikan ilmu mampu menarik hati ramai orang untuk lebih dekat dengan agama.. Subhanallah

Ada kata-kata yang menyebut, hendaklah kamu bersahabat dengan orang yang baik kalau kamu hendak menjadi orang yang baik, hendaklah kamu bersahabat dengan orang yang soleh kalau kamu hendak menjadi orang yang soleh, hendaklah kamu bersahabat dengan orang yang taat jika kamu ingin menjadi orang yang taat dan hendaklah kamu bersahabat dengan orang yang sering tingkatkan amalannya jika kamu ingin sentiasa tingkatkan amalan kamu.

Kesimpulannya, berdampinglah dengan orang yang lebih banyak taatnya daripada kamu.   Contoh: Dia sering puasa Isnin Khamis, jadi  kita yang jarang berpuasa ini akan rasa bersemangat untuk ikut macam dia. Dan jika kita ingin mengajak orang agar ikut taat sama macam kita, hendaklah kita mempersiapkan diri dengan ilmu dan sentiasa mengamalkan ilmu. Analoginya; kita usaha mendalami ilmu fotografi kalau yang nak datang mendengarnya fotografer. Itu contoh.

Kata ustaz, lumrahnya kita pandai menipu bila berada di khalayak ramai. Kita tak sama bila di hadapan orang dengan kita yang semasa di rumah.  Kita mungkin nampak baik di depan makhluk.  Contoh: Kita tolong orang untuk dapat pujian. Maka bila kita bersahabat dengan orang yang suka memuji berlebih-lebihan, tentunya kita akan jadi begitu teruja dengan pujian sehingga membuatkan kita lupa akan dosa-dosa dan keaiban kita yang lampau.  Kita mencari pujian dan ketinggian dalam berbuat kebajikan sampai lupa pada akhirat, hingga lalai untuk istighfar dan mohon ampun pada Allah, hingga terlupa akan takut dan cinta kita kepada Allah.

Diceritakan perihal seorang tuan sheikh yang merupakan tenaga pengajar di sebuah pondok pengajian al-quran.  Ada seorang hambaAllah telah datang ke pondok tersebut untuk memberi khidmat. Beliau menawarkan diri untuk tolong menyusun selipar anak-anak murid tuan sheikh yang datang belajar. Namun dia telah diberitahu oleh tuan sheikh bahawa telah ada seseorang yang lain untuk tugas tersebut. Dek timbul perasaan ingin tahu siapa yang bertugas menyusun selipar-seliper itu setiap hari, maka diapun menunggu untuk melihat orangnya.  Dia bagaimanapun agak terperanjat kerana orang yang keluar menyusun selipar anak-anak murid di tangga pondok rupa-rupanya tuan sheikh sendiri.

Begitulah contoh tawadhuk orang yang soleh.  Orang yang alim tidak semestinya soleh. Moga-moga  kita termasuk dalam golongan orang-orang yang soleh. Bila kita tak mampu mendidik diri untuk jadi orang yang soleh, maka kita pada hakikatnya telah menjadi orang yang gagal dalam mendidik anak kita menjadi anak yang soleh. Maka islah-kan diri, agar mudah-mudahan kita menjadi orang yang baik, mendengar kata dan berakhlak tinggi. 

Orang yang berakhlak mampu melahirkan anak-anak murid yang berakhlak. Orang yang berakhlak mampu melahirkan anak-anak yang berakhlak. Kawal diri dari mempamerkan akhlak yang buruk di depan anak-anak; contoh bila ada kereta yang dengan begitu laju memotong kereta kita, kita terus kata, "Bodoh! Tu mesti pompuan!" Jadi perkataan dan akhlak itu, anak-anak kita dengar dan lihat. Bila insiden seumpamanya berlaku lagi, anak-anak akan mudah untuk kata, "Bodoh kan orang tu bapak! Tentu pompuan yang bawak keta tu!" 
Hah, tu dia... siapa dalam hal ini patut disalahkan... 

Pesan ustaz, ikutlah kita akan sunnah Nabi SAW. 
Firman Allah dalam Surah al-Ahzab ayat 21
yang bermaksud:
Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).

Serta ikutlah orang-orang yang dekat dengan Nabi SAW khususnya para ulamak tasawuf.  Mereka adalah orang-orang yang soleh, yang wajahnya kita merasa suka bila kita pandang, wajahnya sahaja sudah cukup dapat mendorong kita melakukan amalan ketaatan kepada Allah Taala. InsyaAllah akan beroleh hasil yang besar manafaatnya jika kita bersahabat dengan orang-orang yang baik dan soleh, berdampingan dengan orang yang soleh serta hadir di dalam majlis-majlisnya.

Wallahu'alam.

Pasang Niat

Bismillahirrahmanirrahim

Dalam kuliah Maghrib yang lalu, ustaz ada berpesan supaya kita sentiasa pasang niat.  Sebelum melelapkan mata, niatkan sebanyak mungkin apa-apa yang hendak dibuat bermula selepas kita tidur itu sehinggalah pada keesokan harinya.  Contoh: "...malam ini aku akan bangun bertahajjud keranaMu ya Allah, terlebih dulu aku akan membersihkan gigi serta membersihkan diri keranaMu ya Allah.  Aku akan mengambil wudhuk sesempurna mungkin.  Kemudian aku akan solat tahajjud 2 rakaat, solat taubat 2 rakaat dan solat witir 1 rakaat.  Aku akan bangun awal sebelum fajar untuk menunggu masuknya waktu, aku akan menjawab azan, aku akan solat sunat fajar, aku akan berbaring sebentar mengadap kiblat sebelum solat fardhu Subuh.."...dan lain-lain niat lagi.

Begitu juga semasa kita hendak ke masjid, kita niat bukan sahaja pergi masjid  untuk solat berjemaah, tapi pelbagaikan niat,contoh biar ada 10 niat takkala kita ke rumah Allah: "....dalam perjalanan ke masjid nanti aku akan baca doa menuju ke masjid, aku akan doa masuk ke masjid, aku akan solat tahiyatul masjid 2 rakaat, aku akan niat iktikaf di masjid, aku akan solat kobliyah Maghrib 2 rakaat, aku akan solat berjemaah Maghrib, aku akan cuba khusyuk sebaik mungkin, aku akan bersalam dengan para jemaah, aku akan solat ba'diyah selepas Maghrib 2 rakaat, aku akan duduk dalam majlis ilmu, aku akan dengar tazkirah dengan tekun, aku akan elakkan diri dari berbual semasa mendengar kuliah, aku akan masukkan sedekah bila tabung masjid lalu.." dsb....

Kata ustaz, dengan niat itu saja pun InsyaAllah kita sudah beroleh pahala, apalagi jika betul-betul dikerjakan apa yang telah diniatkan.  Maka perbanyakkan berniat untuk melakukan amalan ketaatan kepada Allah, jua apa-apa sahaja perkara yang baik.  Allah dah sebut akan bagi pahala jika ada niat baik dalam diri kita, maka teramatlah rugi jika kita tidak mengambil peluang terhadap tawaran yang Allah janjikan... Subhanallah.
Sesungguhnya setiap perbuatan itu dinilai melalui niat dan setiap manusia mendapat balasan akan apa yang dia niatkan.

Ketahuilah bahawa semua perbuatan yang dibolehkan seperti tidur, makan, bekerja dan sebagainya boleh ditukar menjadi cara taat dan dekat pada Allah.  Seseorang boleh memperolehi banyak kebaikan dengan perbuatan ini, jika mereka mempunyai niat berada dekat dengan Allah apabila melakukannya. Contoh: Kita masuk tidur awal dengan niat dapat bangun untuk Qiyamulail atau dapat bangun awal sebelum Solat Subuh, maka InsyaAllah tidur kita itu telah menjadi satu ibadah.  Ini adalah benar bagi semua perbuatan yang dibolehkan.

Wallahu'alam.


Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...