Jangan Sakitkan Hati Orang

Bismillahirrahmanirrahim

Terngiang-ngiang kata-kata tuan imam yang berpesan semasa sesi kuliah Maghrib: "Tuan-tuan, kalau kita rasa perbuatan kita itu baik untuk akhirat kita... buatlah..."

Selagi masih hidup di atas dunia, kita buatlah perkara-perkara yang mana boleh membantu diri kita di hari akhirat nanti.
Kata ustaz, antara sifat orang yang nak jauhkan diri dari neraka Allah ialah sentiasa:
  • bermanis muka
  • tidak mengumpat-ngumpat
  • bila bercakap dengan orang, orang tak sakit hati.  
Perkataannya tidak sakitkan hati orang.  Jangan kiranya kita bila bercakap sikit, asyik nak pancung orang saja.  Lidah kena jaga. Pelihara lidah. Lidah boleh bawa kita ke Syurga dan lidah juga boleh membawa kita ke neraka. Lidah begitu berperanan untuk nak dapatkan dosa paling banyak, lidah juga berperanan bagi mendapatkan pahala paling banyak.

Kata ustaz, bergaullah dengan orang-orang yang baik, yang lemah-lembut, senang bicara dan tidak mudah marah.  Bila kita bercampur dengan masyarakat, jangan jadi orang yang buruk perangai.  Bila orang puji kita, senyumlah. Bila orang marah pun, kita senyumlah.  Biar sentiasa cool gitu... Biar sentiasa senang bicara, orang nak minta tolong kita pun rasa mudah, orang tak rasa kita ni jenis susah nak tolong.

Wallahu a'lam.

..............................
Allah Ta'ala berfirman:
"Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang mu'min, lelaki atau perempuan, tanpa adanya sesuatu yang mereka lakukan, maka orang-orang yang menyakiti itu menanggung kebohongan dan dosa yang nyata."  (al-Ahzab: 58)

Allah Ta'ala berfirman pula:
"Celaka - atau neraka wail - bagi setiap orang yang suka mengumpat serta menista."   (al-Hujurat: 1)

Dari Abu Hurairah ra bahawasanya Nabi SAW bersabda: "Cukuplah seseorang itu memperoleh kejelekan apabila ia menghinakan saudaranya sesama Muslim."   (HR Muslim)

Dari Abdullah bin 'Amr bin al-'Ash radhiallahu 'anhuma, katanya: "Rasulullah SAW bersabda:
"Seorang Muslim itu ialah orang yang kaum Muslimin lain-lain selamat dari gangguan lisan dan tangannya - yakni selamat dari kekejaman perkataan dan perbuatannya.  Seorang muhajir - yang meninggalkan - ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah."  (Muttafaq 'alaih)

Dari Anas r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Bermudah-mudahlah dengan orang ramai, dan jangan menyusah-nyusahkan mereka. Berilah berita-berita gembira dan jangan datangkan rasa benci. (HR Bukhari)

Dari Abdullah bin 'Amr bin al-'Ash radhiallahu 'anhuma pula, katanya: "Rasulullah SAW bersabda:
Barangsiapa yang suka jikalau dijauhkan dari neraka dan dimasukkan dalam syurga, maka hendaklah ia di datangi oleh kematiannya dan di waktu itu ia dalam keadaan beriman kepada Allah dan hari akhir - yakni hari kiamat, juga hendaklah ia mendatangkan sesuatu kepada seluruh manusia yang sekiranya ia sendiri suka kalau sesuatu tadi didatangkan pada dirinya sendiri - yakni berbuat sesuatu kepada orang lain yang ia suka kalau hal itu diperlakukan pula atas dirinya sendiri."  (HR Muslim)

Dari Aishah r.ha meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya orang yang sangat dibenci oleh Allah ialah orang yang suka bertengkar. (HR Muslim)

Dari Abdullah Ibn Mas'ud r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati. (HR Tirmizi)

Dari Ibnu Mas'ud ra., katanya: "Rasulullah SAW bersabda: "Bukannya seorang mu'min yang suka mencemarkan nama orang, atau yang suka melaknat dan bukan pula yang berbuat kekejian serta yang kotor mulutnya."
Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan.

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW telah ditanya bahawa amalan yang manakah dengannya ramai manusia akan memasuki syurga? Sabda Baginda SAW: Takwa (takutkan Allah SWT) dan akhlak yang mulia. Dan Baginda SAW ditanya: Amalan apakah yang dengannya ramai manusia akan ke neraka? Lidah dan kemaluan (yang disalah guna). (HR Tirmizi

Dari Anas bin Malik r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Selama mana seseorang hamba itu tidak menjaga lidahnya, dia tidak dapat mencapai hakikat iman. (HR Tabrani)


.............................

Tazkirah 15 Ramadhan - Amalkan Sunnah

Bismillahirrahmanirrahim

Ustaz mengajak kita semua untuk menggandakan  amalan bagi mendapatkan takwa.  Bulan Ramadhan menyajikan banyak ruang dan peluang untuk kita berusaha meraih pahala InsyaAllah.  Di bulan Ramadahan ada terawih, ada tadarrus dan yang pasti masjid penuh sesak.

Tapi kenapa bila Ramadhan pergi, kita pun macam ikut pergi. Bukan pergi mati kata ustaz, tapi pergi tinggalkan semua amalan yang dah rajin dibuat di sepanjang Ramadhan.  Semua amalan dah jadi perlahan malah ada yang terhenti, mengaji terhenti, solat sunat terhenti, semua ibadah bagaikan hanya pulun dibuat time Ramadhan sahaja.  Bila Ramadhan pergi, dah tak nampak batang-hidung di masjid. Hanya beriya-iya datang ke masjid di bulan Ramadhan sahaja.

Kata ustaz, penting untuk kita masing-masing bermuhasabah diri.  Dengan amalan kita yang tidak istiqamah, berbuat taat hanya di musim2 tertentu sahaja, adakah layak kita ini nak masuk Syurga Allah. Ustaz bagi contoh sahabat ra di zaman Rasulullah SAW iaitu Bilal bin Rabah, seorang  yang berkulit hitam namun awal-awal lagi telah dilabelkan sebagai ahli Syurga.. Subhanallah..

Hadis Rasulullah SAW menyebut:
Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w berkata kepada Bilal:
"Hai Bilal, beritahukanlah kepada saya dengan suatu amalan yang paling engkau harapkan pahalanya serta yang engkau amalkan dalam Islam, kerana sesungguhya saya mendengar suara derap kedua terumpahmu di hadapanku di dalam syurga." Bilal menjawab: Saya tidak melakukan sesuatu amalan yang lebih saya harapkan di sisiku daripada kalau saya habis bersuci sesuatu sucian dalam waktu malam ataupun siang, melainkan saya tentu bersembahyang dengan sucianku itu, sebagaimana yang ditentukan untukku - yakni setiap habis berwudhu' lalu melakukan shalat sunnah wudhu'." (Muttafaq 'alaih)

Renung-renungkan amalan ketaataan yang dilakukan oleh para sahabat ra, yang begitu bersungguh-sungguh dalam mencari keredhaan Allah.  Kita hari ini, amatlah jauh jika nak banding dengan amalan orang yang terdahulu.  Tapi kita jangan putus asa, cubalah semampunya buat apa yang termampu.  Contoh: banyakkan berselawat ke atas Nabi SAW, amalkan... bukan payah pun sebenarnya.  Masa yang kita habiskan duduk depan TV sebenarnya lagi lama, tapi nak habiskan masa 10 minit sahaja untuk ucap selawatke atas Nabi SAW rasa panjang benar masa. Ingatlah bahawa, untuk nak masuk Syurga Allah, antaranya ialah melalui syafaat Nabi SAW yang jika kita ingin mendapatkannya mestilah melalui cara-caranya, bukan senang-senang begitu saja seseorang itu mampu beroleh syafaat Nabi SAW.

Hendaklah kita sentiasa menghidupkan dan mengamalkan sunnah Rasulullah SAW.  Setelah itu sampai-sampaikan pula ia kepada manusia lain.  Sunnah itu dalam istilah bahasa bermaksud jalan. Dalam istilah hadis pula ianya; samada perkataan atau perbuatan Nabi SAW.

Di antara yang termasuk dalam sunnah Nabi SAW ialah:
  • Majlis ilmu. Agama berteraskan ilmu.  Di dunia ialah tempat mencari ilmu.  Tanpa uzur syarie, maka tertanggunglah dosa kalau kita tak hadir di majlis ilmu kerana menuntut ilmu itu wajib. Ustaz bagi contoh majlis tazkirah yang berlangsung di antara solat terawih 8 rakaat, ada hambaAllah yang selepas selesai solat 4 rakaat terus cabut balik.  Rumah dekat, jadi bila agak-agak dah habis tazkirah, datang balik untuk sambung solat terawih lagi 4 rakaat. Semoga kita tidak termasuk dalam golongan orang yang berperangai sedemikian.
  • Berjemaah solat fardhu 5 waktu.  Amalkan sunnah, Nabi SAW tidak pernah tinggal solat berjemaah untuk solat fardhu 5 waktu.  Pahala solat seorang diri ialah 1 berbanding berjemaah sebanyak 27.  Jadi kenapa tak nak berjemaah? Mungkin sebab tak nampak pahala, kita rasa tak besar nilai pahala 27 yang Allah kurniakan.  Dek tak nampak, maka ianya dirasakan kecil walhal hakikatnya ia sangatlah besar bagi kita seorang hambaAllah.  Cuba kalau nilai 27 itu dijadikan benda, rasanya kata ustaz, tentu berebut orang datang nak berjemaah.
Antara fakta menarik yang dikongsi ustaz ialah:
-Kurma yang menjadi sunnah Rasulullah SAW mempunyai kehebatan yang sesuai untuk semua peringkat umur.  Dikatakan ada 1450 jenis kurma kesemuanya,wallahu'alam. Amalkan memakan kurma bukan setakat di bulan Ramadhan.  Jangan pula bila habis Ramadhan, dah tak jumpa kurma sebab kurma selalu makan waktu berbuka puasa.
-Kambing itu juga makanan sunnah.  Sesungguhnya pada kambing itu ada barokah.  Dikatakan susu terbaik di mukabumi ada 3 iaitu: susu ibu, susu kambing dan susu ikan paus.
Bangsa paling bijak dikatakan yahudi.  Mereka lah pengamal susu kambing sejak dulu namun mereka perkenalkan/iklankan pada umat Islam yang sebaliknya iaitu susu lembu. Jadi awas dengan agenda mereka. Susu kambing baik untuk minda.  "Bertukarlah dari susu lembu kepada susu kambing", kata ustaz.

Dari Ibnu Abbas r.a berkata, Rasulullah saw bersabda : Barangsiapa berpegang teguh pada sunnahku ketika rusaknya umatku maka baginya pahala 100 orang mati syahid. (HR Baihaqi)

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa berpegang dengan sunnah-sunnahku ketika dizaman rosaknya ummatku baginya adalah ganjaran syahid (di jalan Allah). (HR Tabrani)

Apakah kecintaan kita pada Rasulullah SAW sudah mencapai tahap yang selayaknya bagi kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW? Mari sama-sama muhasabah diri.

Wallahu'alam.

Tazkirah 13 Ramadhan - Tanda-tanda Bahagia

Bismillahirrahmanirrahim

Sampai2 di masjid, tengok2 majlis tazkirah sedang berlangsung. Dah nak habis dah pun... Rupa-rupanya malam tu, tazkirah diaorang buat sebelum Isyak sebab khabarnya ustaz penceramah ada urusan di tempat lain selepas Isyak. Dalam banyak saf itu, nampak ada satu ruang kosong di sebelah ustazah.  Duduk2, terus usha ustazah tentang apa isi tazkirah malam tu. Ustazah kata, ianya pasal 'Tanda-tanda Bahagia'.  Wah, bestnya tajuk.  Dah saya miss satu majlis ilmu.. huuu

Ustazah kongsi point yang dapat... tq  :)

Tanda-tanda bahagia bagi seseorang ialah:

  • kurang bercakap 
  • banyak bersyukur
  • mempunyai isteri yang solehah
  • mengadu hanya pada Allah

Menyebut tentang tanda-tanda bahagia ini, saya dulu pernah terbaca satu riwayat...
Dari Ibnu Abbas r.a, ada 7 petanda kebahagiaan dunia, iaitu:

  1. qalbun syakirun - hati yang selalu bersyukur
  2. al- azwaju shalihah - pasangan hidup yang soleh
  3. al auladun abrar -  anak yang soleh
  4. al biatu sholihah - linkungan yang kondusif untuk iman kita
  5. al malul halal - harta yang halal
  6. tafakur fi dien - semangat untuk memahami agama
  7. umur yang barakah - ertinya umur yang semakin tua semakin soleh, yang setiap detiknya di-isi dengan amal ibadah...ameen


Wallahu'alam.

Tazkirah 12 Ramadhan - Perkara yang buat hati jadi keras

Bismillahirrahmanirrahim

Malam itu tazkirah kat masjid mengisahkan tentang satu riwayat yang membariskan 10 perkara yang boleh membuat hati jadi keras.

10 perkara tersebut ialah:
  1. di kala berdoa, berdoa hanya untuk diri dia saja.  Maka tika berdoa sebaiknya janganlah berdoa hanya untuk diri kita saja... doa lah sama untuk orang lain, untuk ibu-bapa dan muslimin muslimat yang lain.
  2. seorang yang tahu membaca quran tetapi tidak membaca kalam Allah sebanyak 100 ayat setiap hari
  3. seorang lelaki yang masuk masjid namun tak solat sunat 2 rakaat sebelum keluar
  4. seseorang yang melalui kubur tapi tak beri salam dan tak mendoakan ahli kubur.  Jadi kata ustaz, bila lalu kat kubur, bagilah salam pada ahli kubur kemudian bacalah sekurang-kurangnya 3 Qul.
  5. seorang lelaki yang masuk dalam satu negeri pada hari jumaat kemudian keluar tanpa  bersembahyang jumaat di sana.
  6. ada orang alim datang ke tempatnya tapi dia tak pergi menuntut ilmu dengan beliau walau satu huruf.
  7. dua orang duduk bersembang tapi masing-masing tak tanya nama
  8. orang ajak kita pergi kenduri, kita kata InsyaAllah tapi tengok-tengok kita tak pergi
  9. orang muda yang habiskan masa muda dia tanpa menuntut ilmu.  Jangan biarkan anak-anak kita tak belajar agama, tak belajar adab dsb
  10. dia kenyang sedangkan jiran lapar..sikit pun tak bagi makanan kat jiran. Jadi hulur-hulurkanlah sama makanan kat jiran.. 
Wallahu'alam.

Qiamulail dan Kuliah Subuh 11 Ramadhan


Bismillahirrahmanirrahim

Buatlah suatu bekalan yang kita nak bawak balik ke sana.  Benda yang kita nak bawa itu merupakan yang sebaik-baiknya iaitu takwa.  Bila kita mati, bekalan yang kita nak bawa ialah takwa.  Mati tetap berlaku, walau kita lari ke mana sekalipun, pasti mati akan bertemu jua dengan kita.

Kata ustaz, kena faham hakikat bahawa 'aku hidup atas dunia ini bukan saja-saja'..Kita ada anak isteri, ada kereta, ada rumah tapi ingat bahawa kita ada Allah. Rezeki yang kita dapat hari ni, kadang kita guna tak sampai 15 peratus saja.  Barang yang kita tak guna, hakikatnya bukan rezeki kita. Harta yang kita simpan itu bukan hak kita sebaliknya yang kita dermakan di jalan Allah sahaja, itu yang menjadi bekalan kita.

Kena faham hidup di akhirat nanti lebih hebat dari hidup di dunia.  Pahala adalah sesuatu yang kita kena cari. Syarat nak jadi jutawan di dunia kena banyak duit, sebaliknya syarat nak jadi jutawan di akhirat ialah kena banyak pahala.  Bersungguh-sungguh cari pahala, bersungguh-sungguh menghindari dosa. Kena perbanyakkan rasa gerun pada Allah. Takutlah kita kepada Allah.

Pesan ustaz, bila saudara Islam kita meniaga, kenalah kita tolong.  Itu fardhu kifayah.  Kalau kita tak tolong dia, siapa lagi nak tolong.  Walau orang Islam berniaga di hujung kampung sekalipun, jauh sikit perjalanan, kalau kena pergi berjalan kaki, kita akan pergi berjalan kaki.  Berbeza keadaannya, jika beli gula dari orang Islam dengan beli dari orang bukan Islam.  Dengan orang Islam kita akan dapat pahala, InsyaAllah.  Lainlah jika tiada pilihan, dalam keadaan terpaksa, darurat dan sebagainya.

Kemelut hidup kita sekarang ini sangat dasyat.  Berbagai pengaruh melanda. Namun, jika kita nak hidup atas dunia tanpa ada masalah itu perkara mustahil. Di sinilah pentingnya asas iman yang teguh. Berlandaskan iman, semua masalah mampu diharung InsyaAllah.  Hati perlu sentiasa ingat Allah. Selagi masih bernyawa, tetapkan hati dengan iman. Banyakkan amal soleh sebab bila dah mati... selawat dah tak boleh, baca quran dah tak boleh, sedekah pun dah tak boleh dah.  Apa yang kita miliki semua akan hancur binasa.

Maka lakukan persediaan sebelum mati.  Perbanyakkan bekal menuju akhirat. Disebut bahawa sebaik-baik sedekah ialah melalui harta wakaf. Jika kita ada tanah contohnya, wakafkanlah ia untuk jalan Allah.. contoh untuk pembinaan masjid, surau, maahad tahfiz dsb.  Begitu juga jika ada rumah yang tak di-diami, eloklah jika mewakafkannya untuk dijadikan asrama anak-anak yatim dsb. InsyaAllah pahala akan sentiasa mengalir masuk dalam akaun kita.

Firman Allah Ta'ala dalam Surah al-Baqarah ayat 197, yang bermaksud:
"...Dan berbekallah, kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal ialah taqwa."

Wallahu'alam.

Tazkirah 11 Ramadhan - Beramal dengan Ayat Seribu Dinar

Bismillahirrahmanirrahim

Firman Allah dalam Surah al-Baqarah 183
yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

Begitu pentingnya Takwa. Oleh itu kena usaha, kena bersusah payah cari ilmu, cari semangat/spiritual untuk memantapkan ketakwaan kita kepada Allah Ta'ala.

Bagaimana cara nak dapatkannya?
Kata ustaz, tidak ada short-cut untuk mendapatkannya.  Bila sebut Islam, pada hakikatnya kita alhamdulillah telah sekurang-kurangnya 9 kali dalam sehari semalam mengucap syahadah. Rupa-rupa Allah letak syahadah kita dalam tahiyat.. Subhanallah.  Bermaksud, bila sebut syahadah, ia bukan hanya tertumpu pada orang yang baru masuk Islam sahaja. Alhamdulillah dengan ucapan syahadah kita setiap hari di dalam solat, secara tak langsung kita sentiasa memperbaharui syahadah kita melalui 9 tahiyat kita dalam solat 5 waktu. Maksudnya kita setiap hari sering memperbaharui serta memperelokkan lagi iman kita. Itu baru dalam solat fardhu. Jika sering tambah buat solat sunat, InsyaAllah lagi kerap dan sentiasalah kita memperbaharui syahadah.. alhamdulillah.

Allah dah susun cantik jalan untuk kita sebagai seorang Islam.  Selepas mengucap dua kalimah syahadah, kita wajib dirikan solat, tunaikan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan kemudian Allah wajibkan supaya menunaikan haji jika mampu.  Allah siap-siap buat buku panduan untuk manusia ikut iaitu al-Quran.  Kata ustaz, kita beli handfon pun ada buku panduan, ada charger lepas tu pulak kena cas handfon itu selama 8jam sebelum mula guna. Maknanya ada peraturan. Begitulah ibaratnya al-Quran yang menjadi petunjuk untuk sekelian manusia.  Ia merupakan petunjuk untuk orang beriman agar mudah-mudahan menjadi orang bertakwa... ameen

Ustaz ingatkan agar sering-sering kita beramal dengan ayat seribu dinar.  Selalu bila sebut ayat seribu dinar, ada yang menggelarkannya sebagai 'ayat restoren' sebab kebanyakan pengusaha kedai makan suka menggantungkan bingkai yang tertulis ayat tersebut di restoren masing-masing.  Ayat Seribu Dinar yang disebut dapat mengundang rezeki itu merupakan ayat dari Surah at-Talaq ayat 2 -3 iaitu:
yang bermaksud:
....dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.  Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya.  Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

Tegas ustaz, sekiranya kita bertawakkal kepada Allah dalam setiap urusan kita, maka InsyaAllah Allah akan bagi rezeki buat kita dari rezeki yang tidak disangka-sangka... InsyaAllah.
Maka bersempena dengan kedatangan Ramadhan, bertindaklah dengan lebih bersungguh-sungguh untuk menyahut tawaran yang Allah tawarkan.  Allah menawarkan berbagai ganjaran pahala buat kita dengan jalan kita banyak melakukan amal soleh di bulan Ramadhan.  Jangan disia-siakan peluang untuk meraih redha Allah kerana di penghujung Ramadhan, kita mengharapkan yang sebenar-benar takwa.  Moga mampu menjadi orang yang bertakwa.  Dengan takwa InsyaAllah dapat menyelesaikan semua permasalahan.

Perbetulkan niat kita sebagai seorang hamba, buat yang Allah suruh, tinggalkan yang Allah larang serta mintalah pengampunan dari Allah Ta'ala. Kekadang kita ini terlajak mengata orang, kadang buat muka dekat orang.  Maka usaha membaiki diri.  Disebut bahawa orang yang mulia ialah orang yang mendahului nak beri salam.  Jadi ambik lah peluang, jadilah orang mulia.  Biar kita yang memulakan memberi salam. Allah bagi peluang melalui bermacam cara untuk kita mendapatkan pahala.  Jangan nanti bila keluar dari Ramadhan, kita tak dapat pengampunan Allah. Jika tak dapat pengampunan, jadilah kita sebenar-benar orang yang rugi.

Kata ustaz, berlaku krisis keimanan dalam diri bilamana:  Kita bila sebut Syifa'(penyembuh), kita kata, 'ubat mana nak makan?'  Sesungguhnya, bila kita solat dengan penuh keimanan pada Allah, itu adalah Syifa'.   Kesimpulannya, untuk dapat sampai pada tahap iman yang tinggi adalah dengan... "maiy yattakillah" iaitu 'bila kita bertakwa kepada Allah".

Pesan ustaz, jangan kita tertipu. Jangan kita ikut telunjuk syaitan yang dah train kita sebelum Ramadhan.  Kita tahu syaitan dah dibelenggu, tapi pada dasarnya dia dah train kita berbulan-bulan sebelum tibanya Ramadhan.  Maka, usaha semampu mungkin untuk tetapkan iman.  Jangan biarkan hidup kita terus-terusan dibayanginya.

Wallahu'alam.

Tazkirah 10 Ramadhan - Sibukkan diri dengan ibadah

Bismillahirrahmanirrahim

Bersyukur ke hadrat Allah yang telah memberhentikan kita dalam r & r Ramadhan, bulan yang mulia. Ada puluhan ribu k/m lagi yang harus kita tempuhi untuk kita sampai ke r & r Ramadhan yang akan datang, dengan izin Allah.  Maka marilah kita bangkit melakukan dengan bersungguh-sungguh dua perkara iaitu:

(1) Taubat.
Dalam surah at-Tahrim ayat 8, Allah ada berfirman yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepad Allah dengan Taubat Nasuha, mudah-mudahanTuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai...." 

Selama 11 bulan yang lalu kita sering duduk dalam maksiat. Dengan tibanya bulan Ramadhan, inilah peluang Allah berikan sekali lagi buat kita agar kita bertaubat yang sungguh-sungguh terhadap perbuatan dosa-dosa kita yang lalu.  Telinga yang selama ini mendengar umpatan dan cacian, telinga yang selama ini sentiasa terbuai dengan muzik, moga-moga dapat dipulihkan berkat tibanya Ramadhan.  Alhamdulillah berjaya kita kali ini menjadi tetamu Allah.  Moga dapat memanafaatkan seluruh kesempatan yang diberi untuk kita cuba membaik-pulih diri agar nanti dapat keluar dari Ramadhan dengan kekuatan yang kukuh.

Dunia makin hampir pada kematian, apa persiapan kita?  Apa kita nak tunjuk pada Allah? Apa yang kita nak bawa?  Semasa masih ada peluang, berubahlah kita agar bertambah iman.  Diri tak boleh berubah sebab tiada kekuatan iman.  Ayuh, kita bangkit bermunajat pada Allah.  Banyakkan taubat.  Orang yang benar-benar taubat pada Allah, dia akan tinggal dosa dan tak akan buat lagi.  Bersungguh-sungguh gandakan amal bagi memantapkan iman dengan melakukan banyak amal soleh di bulan ini contoh: terawih jangan tingga, begitu juga dengan tadarrus al-quran.  Jika tak dapat taddarus, mengajilah sendiri di rumah, asal sentiasa bertilawatul-quran.

(2) Memelihara kewajipan solat 5 waktu berjemaah.
Solat  berjemaah adalah satu kewajipan yang perlu dititik-beratkan.  Jangan kita hanya datang memenuhkan masjid ketika bulan Ramadhan sahaja sebab teruja untuk datang menunaikan solat terawih.  Yang utama ialah solat fardhu.  Doa agar dapat penuh masjid untuk solat fardhu berjemaah.  Jika masjid sentiasa penuh untuk solat fardhu, maka Islam pasti menang.
Dari Abu Said al-Khudri ra dari Nabi SAW., sabdanya: "Jikalau engkau semua melihat seseorang membiasakan pulang pergi  - ke masjid, maka saksikanlah ia dengan keimanan - yakni bahawa orang itu benar-benar orang yang beriman.  Allah Azzawajalla berfirman: "Hanyasanya yang meramaikan masjid-masjidnya Allah ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhir."* sampai ke akhir ayat.
Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan.

Sempena Ramadhan yang mulia, marilah kita menitik-beratkan dua perkara iaitu:
** jangan sakitkan hati manusia
** sibukkan diri kita dengan ibadah

Hadis Nabi SAW ada menyebut: Dari Abu Hurairah r.a, sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda : “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata baik atau diam..”

Wallahu'alam.

Tazkirah 9 Ramadhan - Adakah puasa kita dapat membentuk akhlak kita?

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, semoga kehadiran kita ke rumah Allah dapat dikira sebagai amal soleh yang ada nilaian di sisi Allah... ameen
Alhamdulillah telah selamat menjalani ibadah puasa selama 8 hari, di mana esok merupakan hari ke 9 kita berpuasa.  Semoga kita dapat terus berusaha menjaga tertib ketika mana berpuasa seperti memelihara lidah supaya tidak berdusta, mencaci orang, mencampuri urusan orang lain, mengekang mata dan telinga daripada mendengar atau melihat sesuatu yang tidak halal.  Seterusnya hendaklah menahan perut dari menelan makanan yang haram, atau yang syubhah.  Wajib berusaha mencari yang halal sebagai makanan berbuka puasa kita.  Hendaklah kita mengambil berat terhadap makanan berbuka kita dengan memperhatikan apa bendanya yang kita berbuka, di mana kita berbuka dan juga dari siapa makanan tersebut.

Orang yang berpuasa harus memelihara semua anggotanya dari berbuat dosa.  Dengan demikian InsyaAllah barulah sempurna dan bersih puasanya.  Betapa banyak orang yang berpuasa, berpenat lelah disebabka lapar dan dahaga, kemudian dia membiarkan anggota badannya terjerumus ke dalam maksiat.  Maka dari sebab itu, rosaklah puasanya dan sia-sia lah penat-lelahnya, sepertimana sabda Rasulullah SAW:
"Betapa banyak orang yang berpuasa, tiada mendapat sesuatu dari puasanya selain lapar dan dahaga."

Puasa sepatutnya dapat membentuk akhlak dan peribadi kita.  Bukan sahaja akhlak pada Allah malah akhlak terhadap sesama manusia.  Bila berlapar, kita boleh membentuk diri kita.  Akhlak Rasulullah SAW merupakan yang paling baik untuk kita contohi.  Rasulullah SAW menunjukkan kaedah berinteraksi yang baik dengan sesama manusia.  Ada riwayat yang menceritakan tentang bagaimana Rasulullah SAW telah menyuapkan makanan pada seorang Yahudi buta yang sering mencaci Rasulullah SAW.  Betapa akhlak Rasulullah SAW yang baik, telah membuatkan yahudi tersebut akhirnya telah memeluk Islam.

Ramadhan sepatutnya dapat melahirkan akhlak yang mulia di kalangan kita.  Jangan kiranya kita berpuasa namun kita pahala puasa kita terpadam hanya kerana disebabkan mulut kita menyakiti hati orang.  Berlaku di zaman Rasulullah SAW seperti diriwayatkan oleh Ahmad dan Hakim, dimana para sahabat r.a mengadu kepada baginda: “seorang wanita berpuasa di siang hari dan bersolat di tengah malam, tetapi sering menyakiti hati jirannya”.  Rasulullah SAW menjawab: “bahawa tiada kebaikan padanya, sesungguhnya dia akan masuk neraka."

Muhasabah diri kita.  Semak, adakah puasa kita dapat membentuk akhlak kita.  Semasa hendak berbuka, biar ada perasaan dalam hati tentang 2 perkara iaitu: Takut dan Harap.  Kena ada rasa takut dan bimbang Allah tak terima puasa kita.  Setelah itu kita haruslah menaruh harap agar Allah terima puasa kita... ameen

Usaha agar puasa kita dapat berhasil sebagaimana puasa orang-orang soleh. Jangan kita puasa.. puasa.. tapi tercela.. nauzubillah.  Usaha untuk jadi golongan yang berpuasa yang dekat dengan Allah... ameen
Wallahu'alam.

Doa Selepas Solat

Bismillahirrahmanirrahim

Doa Selepas Solat (cara 1)



Maksudnya:
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.

Selawat dan salam atas semulia-mulia para nabi dan rasul, junjungan kami Muhammad dan atas keluarga dan sahabat Baginda seluruhnya.

Ya Allah, wahai Tuhan kami, hidupkan kami dengan iman, matikan kami dalam iman, serta masukkan kami ke dalam syurga bersama-sama iman.
Ya Allah, ya Tuhan kami, ampunilah segala dosa kesalahan kami dan dosa-dosa kesalahan kedua ibu bapa kami, serta kesihanilah kedua ibu bapa kami sebagaimana mereka berdua mengasihani kami semasa masih kecil.

Ya Allah, akhirilah umur kami dengan kesudahan yang baik dan janganlah kiranya Engkau akhirkan umur kami dengan kesudahan yang tidak baik.
Ya Allah, ya Tuhan kami, janganlah kiranya Engkau pesongkan iman kami sesudah Engkau kurniakan kepada kami petunjuk. Anugerahilah kami rahmat kerana sesungguhnya Engkau Maha Pengurnia.
Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia ini dan juga di akhirat, dan peliharalah kami daripada azab neraka.
Semoga Allah mencucuri rahmat dan sejahtera ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan ke atas seluruh keluarga dan sahabat-sahabat baginda. Dan segala puji itu tertentu bagi Allah, Tuhan pentadbir seluruh alam.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


Doa Selepas Solat (cara kedua)

Maksudnya:
Dengan nama Allah, yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.
Selawat dan salam atas semulia-mulia para nabi dan rasul, junjungan kami Muhammad dan atas keluarga dan sahabat Baginda seluruhnya.

Ya Allah, ya Tuhan kami! Terimalah solat dan doa kami. Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar dan Maha Mengetahui. Berilah keampunan kepada kami, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Ya Allah, jadikanlah agama kami agama Nabi Muhammad. Keislaman kami, Islam yang sebenar-benarnya. Keimanan kami, iman yang sempurna. Solat kami, solat yang khusyuk. Amal kami, amal yang soleh. Niat kami, niat yang ikhlas. Jadikanlah dosa-dosa kami, dosa-dosa yang terampun. Jadikanlah hidup dan kehidupan kami, hidup dan kehidupan para ulama. Mati kami dengan mati syahid. Ya Allah, masukkanlah kami ke dalam syurga bersama dengan para Nabi. Ya Tuhan kami, kurniakanlah kami kebaikan di dunia dan di akhirat. Jauhkanlah kami daripada seksaan neraka. Semoga Allah mencurahkan kesejahteraan ke atas sebaik-baik makhluknya, junjungan kami Nabi Muhammad, keluarga dan sahabatnya. Maha suci Tuhan yang Maha Mulia daripada sebarang kekurangan. Salam sejahtera ke atas para Rasul dan segala puji hanya bagi Allah, Tuhan sekalian alam.

~~~~~~~~~~~~~~~~~


Setelah selesai bacaan wirid selepas solat, berdoalah kita ke hadrat Allah. Pohonlah mengikut keperluan diri atau berdoa sebagaimana doa di atas.

Dari Abu Umamah ra., katanya: "Rasulullah SAW ditanya: "Manakah doa yang lebih pasti untuk didengar itu - selanjutnya lalu dikabulkan? Beliau SAW menjawab: "Yaitu di tengah malam yang terakhir dan sehabis solat-solat yang diwajibkan."
Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan.

Dari Aisyah radhiallahu'anha, katanya: "Rasulullah SAW itu suka doa-doa yang menghimpun - yakni yang mengandung segala macam kepentingan dan keperluan - dan beliau SAW meninggalkan yang selain itu."
Diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud dengan isnad shahih.

Allah Ta'ala berfirman:
yang bermaksud:
Berdoalah engkau semua kepada Tuhanmu dengan hati dan rahsia - yakni dengan permohonan yang timbul dari jiwa, sesungguhnya Allah itu tidak menyukai orang yang melanggar batas."  (al-A'raf:55)

Allah Ta'ala juga berfirman:
"Apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu - hai Muhammad - tentang Aku, maka katakanlah bahawa sesungguhnya Aku ini dekat.  Aku dapat mengabulkan permohonan orang yang berdoa padaKu jikalau ia telah memohonkan itu padaKu." sampai habisnya ayat.   (al-Baqarah:186)

Hendaklah berdoa dengan sungguh-sungguh, berazam kuat dalam permohonan itu, membesarkan kemahuan, memohon berkali-kali di samping hati menyakini dirinya bahawa doa akan dikabulkan Allah.  Hendaklah hatinya hadir ketika berdoa kepada Allah, hendaklah bimbang kalau-kalau Allah tak terima doa itu disebabkan lalai dan cuai dalam mendirikan hak Allah, di samping itu hendaklah mengharapkan sepenuh harapan agar doanya itu terkabul, dan segala cita-citanya tercapai disebabkan sifat Pemurah dan benar janji Allah Ta'ala itu.

Ada riwayat menyebut:
"Bahawasanya tiada seorang yang memohon pada Allah Ta'ala, melainkan dikabulkanNya, sama ada Dia menyegerakan pemberian apa yang dipohon, ataupun Dia menolak daripadanya sesuatu bencana yang lebih besar dari apa yang dipohonnya itu, ataupun Dia menyimpan untuknya sehingga boleh diserahkanNya di Hari Akhirat kelak sesuatu yang lebih utama dan lebih sempurna dari apa yang dipohonnya di dunia dahulu."

Lantaran itu, wajarlah bagi setiap hamba untuk selalu berdoa kepada Allah, sentiasa memohon kepadaNya ketika senang atau susah, kaya atau miskin.  Jangan sekali-kali ia merasakan terlalu lambat datangnya pengabulan doa itu, ataupun ia sampai berputus-asa, kerana dalam hal ini mungkin ada rahsianya, atau ada baiknya yang kita tidak tahu sebab terlambatnya pengabulan doa itu.  Mungkin padanya tersembunyi beberapa kebaikan dan manfaat yang kita tidak tahu, maka sebab itu adalah lebih baik kita terus berdoa dan menyerahkan perkaranya kepada Allah SWT semata-mata.

Hendaklah memperbanyakkan meminta keselamatan di dunia dan akhirat.

Dari Anas ra., katanya:"Sebahagian banyak doa Nabi SAW itu ialah: Rabbana atina fiddun-ya hasanah, wa fil-akhirati hasanah, waqina'adzabannar - Ya Tuhan kami berikanlah kebaikan pada kami di dunia dan kebaikan di akhirat dan lindungilah kami dari siksa neraka."   (Muttafaq 'alaih)
Imam Muslim dalam riwayatnya menambahkan: Katanya: Anas apabila berkehendak akan berdoa dengan sesuatu doa, maka berdoa dengan dengan doa di atas itu, Juga apabila berkehendak memohonkan sesuatu permohonan yang lain, maka dalam doanya itu dimasukkanlah doa di atas itu pula.

Dari Abdulfadhli yaitu al'Abbas bin Abdul Muthalib ra., katanya: "Saya berkata: "Ya Rasulullah, ajarkanlah pada saya sesuatu doa untuk bermohon kepada Allah Ta'ala." Beliau SAW bersabda: "Mohonlah akan keselamatan kepada Allah. Saya tetap beberapa hari berdoa seperti itu, kemudian saya mendatanginya lagi lalu berkata: "Ya Rasulullah, ajarkanlah kepada saya sesuatu doa untuk bermohon kepada Allah Ta'ala. "Beliau SAW bersabda kepada saya: "Hai 'Abbas, paman Rasulullah, mohonlah kepada Allah akan keselamatan di dunia dan akhirat."
Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis shahih.

Di-ingatkan bagi seorang yang berdoa, memulakan doanya dengan memuji Allah dan mengucap syukur terhadap segala nikmat-Nya.  Sesudah itu ia berselawat dan bersalam terhadap junjungan Nabi Muhammad SAW berserta keluarganya.  Ketika menutup doa pun dibuat serupa itu juga, serta diakhiri dengan sebutan Amin...


Wallahu'alam.

Tanda-tanda Kekuasaan Allah

                                                 Malikul Mulk مالك الملك - 
                           Pemilik Kekuasaan/ Penguasa Kerajaan (Semesta); 
                                          The Owner of All Sovereignty

Bismillahirrahmanirrahim

Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 164

yang bermaksud:
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanafaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Dia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.

Dalam satu sesi Kuliah Maghrib, ustaz menceritakan tentang Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 164, di mana ustaz sempat mengulas sehingga point yang ketiga sahaja.  InsyaAllah akan disambung lagi pada kuliah-kuliah selepas ini.  Dan saya yang sampai agak lewat di masjid pula sempat mendengar penerangan ustaz tentang point pertama hanya sebahagiannya sahaja. Jadi tidak dapat dikongsi di sini ulasan untuk point yang pertama kerana saya tidak mendengarnya dari awal.

Tanda-tanda kekuasaan Allah sepertimana yang disebut dalam Firman Allah itu ialah:

1)Allah Ta'ala yang menjadikan langit dan bumi

2) Allah yang menggerakkan siang dan malam.
Cuba fikir, macam mana jadinya kalau Allah ubah sistem. Contoh Allah jadikan sistem pertukaran pada siang dan malam sepertimana keadaannya di kutub utara misalnya.  Bagaimana agaknya kita jika Allah jadikan malam 6 bulan, di ikuti dengan siang 6 bulan.  Bagaimana agaknya kita nak berbuka puasa.  Maka renung-renungkan, sesungguhnya kejadian siang dan malam yang kita kecapi ini adalah satu nikmat Allah yang besar buat kita.  Di jadikan malam itu pakaian, waktu untuk berehat bersama keluarga, waktu yang baik untuk bermunajat kepada Allah manakala dijadikan pula siang untuk kita dapat keluar bekerja mencari rezeki.

Surah an-Nur ayat 44:
Allah menukarkan malam dan siang silih berganti; sesungguhnya yang demikian mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang celik mata hati nya berfikir.

Imam Ghazali rahimullah telah menerangkan: Sebagai orang Islam yang beriman kepada Allah, dalam kita memenuhi hari, cuba kita penuhkan hari itu dengan melaksanakan empat perkara iaitu:

  • Menuntut Ilmu
Ada masa, cari lah ilmu.  Contoh: Ikut kuliah samada kuliah Zohor, kuliah Dhuha, kuliah Maghrib dan sebagainya.  Adakan waktu untuk menuntut ilmu.  Majlis ilmu yang hebat dikatakan ada di Selangor sekarang ini.  Ada di tempat lain, tapi tidak sehebat di Selangor.  Alhamdulillah, dengan adanya banyak majlis ilmu, mudah-mudahan umat Islam dapat banyak kesedaran tentang agama Islam yang sebenar. Alhamdulillah kita bersyukur kerana di negeri tempat kita tinggal ini merupakan yang paling aktif dengan majlis ilmu.  Maka cubalah usaha untuk dapatkan ilmu.  Cari ilmu setiap hari.

  • Buat ibadah yang sunat
Peruntukkan masa untuk menambah amalan ketaatan kepada Allah dengan memperbanyakkan buat yang sunat.  Bersungguh-sungguh dalam menyempurnakan yang fardhu, tambahi dengan yang sunat. Laksanakan semampu mungkin.

  • Cubalah membantu manusia, laksanakan kebajikan samada terhadap jiran mahupun sahabat kita.  Biar seronok dapat bantu orang.

  • Mencari rezeki yang halal.

Bila kita laksanakan perkara-perkara ini dengan sebaik-baiknya, maknanya kita bersyukur dengan nikmat pengiliran siang dan malam yang Allah kurniakan kepada kita.
Wallahu'alam.


(3) Allah Ta'ala mengizinkan kapal belayar di lautan.
Ini tanda kekuasaan Allah yang ke tiga yang Allah sebut dalam ayat 164 Surah al-Baqarah itu. Mari rujuk Surah asy-Syura ayat 32 - 33 yang ikut menceritakan tentang tanda-tanda kekuasaan Allah.

[32]Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah kapal-kapal (yang besar tinggi) seperti gunung, belayar laju merempuh lautan.
[33]Jika Ia kehendaki, Ia menghentikan tiupan angin, maka tinggallah kapal-kapal itu terapung-apung di muka lautan.  Sesungguhnya yang demikian mengandungi tanda-tanda (yang besar pengajarannya) bagi tiap-tiap seorang (mukmin) yang sentiasa bersikap sabar, lagi sentiasa bersyukur.

Semua berlaku dengan izin Allah.  Orang yang tak beriman akan kata sesuatu perkara itu mungkin berlaku secara kebetulan, co-insiden.  Sesungguhnya tiada perkara yang berlaku secara kebetulan, kerana semua kejadian itu berada di dalam perkiraan Allah.

Wallahu'alam.

**to be continued


Solat Sunat Tahiyatul Masjid



Bismillahirrahmanirrahim
Setiap kali kita memasuki masjid, sebelum kita duduk, disunatkan bagi kita mengerjakan solat sunat tahiyyatul masjid iaitu sebanyak dua rakaat.

Dari Abu Qatadah ra., katanya: "Rasulullah SAW bersabda: "Jikalau salah seorang di antara engkau itu masuk masjid, maka janganlah duduk dulu sebelum bersembahyang dua rakaat." (Muttafaq 'alaih)

Dari Jabir ra., katanya: "Saya mendatangi Nabi SAW dan ia berada di masjid, lalu beliau SAW bersabda: "Bersembahyanglah dua rakaat."  (Muttafaq 'alaih)

Sewaktu hendak masuk ke dalam masjid, bacalah doa masuk masjid:


Maksudnya:
Ya Allah! Ampunilah dosa-dosaku dan bukakanlah bagiku pintu-pintu rahmatMu.

Sesudah memasuki masjid, berdiri lurus menghadap arah Kiblat dan membaca lafaz niat:
yang maksudnya:
Sahaja aku solat sunat tahiyyatul masjid dua rakaat kerana Allah Taala.

Tunaikanlah dua rakaat solat ini dengan cara dan tertib sebagaimana solat-solat sunat yang lain. Pada rakaat pertama, bacalah surah Al-Fatihah dan diikuti surah Al-Kafirun:


Maksudnya:
Katakanlah (wahai Muhammad): "Hai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku."

Pada rakaat kedua, bacalah surah Al-Fatihah dan diikuti surah Al-Ikhlas:


Maksudnya:
Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya."

Berniatlah beriktikaf di dalam masjid sebagaimana berikut:
Sahaja aku beriktikaf di dalam masjid kerana Allah Ta'ala.

Adab-adab di masjid:
  • melangkah masuk ke dalam masjid dengan kaki kanan
  • melangkah keluar dengan kaki kiri
  • berniat iktikaf
  • menunaikan solat Tahiyatul Masjid
  • memakai pakaian yang bersesuaian dan sopan(menutup aurat)
  • jangan berbual-bual perihal keduniaan
  • menjaga kebersihan di persekitaran masjid

Sufyan Ats-Tsauri, seorang ulama hadith yang terkemuka, menyatakan bahawa antara hal yang termasuk dalam kategori sia-sia ialah: Lelaki yang masuk ke dalam masjid, kemudian dia keluar kembali dari masjid itu tanpa mendirikan solat sunat Tahiyatul Masjid.

Wallahu'alam.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...