Cinta seorang Hamba Allah

Baru-baru ini hati terkesan lepas baca kisah tentang seorang wanita warga emas yang telah mengamalkan sesuatu setiap hari. Rutin hariannya setiap pagi selepas selesai urusannya ialah pergi ke masjid. Bila sampai di masjid, beliau segera mengambil wudhuk lalu menunaikan solat di ruang solat. Selesai solat, wanita tersebut cepat2 menuju ke ruang laman masjid.

Tanpa berlengah, beliau meneruskan rutin hariannya yang dari sejak lama, membersihkan daun-daun kayu yang luruh di kawasan masjid setiap hari. Daun-daun kering yang banyak berselerak itu dikutipnya satu-persatu. Terbongkok-bongkok beliau sehingga menimbulkan rasa belas di hati ahli qariah lain. Disebab rasa kasihan melihat keadaan perempuan tua itu, maka pihak ajk masjid mengambil langkah membersihkan dulu ruang laman pagi-pagi sebelum perempuan tua itu sampai.


Dipendekkan cerita, maka bilamana perempuan tua itu keluar ke laman selepas solat, maka terkejutlah beliau bila melihat ruang laman telah bersih, tiada lagi daun-daun kering untuk beliau kutip. Tanpa diduga, maka menangislah beliau semahu-mahunya sehingga menarik perhatian serta meninbulkan tanda-tanya ahli qariah lain. Ramai-ramai mereka datang mendekati perempuan tua itu, lalu bertanya sambil cuba meredakan tangis beliau. Perempuan itu lalu bertanya balik tentang siapa yang telah membersihkan daun-daun kering itu semua, mengapa tidak membiarkan saja beliau yang membuat tugas sukarela itu.

Ajk masjid menjawab, mereka bertindak membersihkan laman kerana kasihan melihat keadaan beliau yang terbongkok-bongkok mengutip daun-daun itu sehingga tiada satu daun pun yang tinggal.

Perempuan tua lalu memohon agar dibenarkan beliau meneruskan kerja beliau itu kerana katanya,.... dia ingin daun-daun itu nanti menjadi saksi terhadap selawat ke atas Nabi s.a.w yang diucap atas setiap helai daun yang dikutipnya. Subhanallah....

Begitu hebat jiwa seorang hamba Allah yang ingin merebut mencari pahala dan mengharap cinta Allah dan Rasulnya.

Semoga bermanafaat, selamat beramal.

Ustaz Azhar Idrus di Masjid Al-Azim, Pandan Indah

Kali ini format kuliah ustaz lain dari biasa. Kalau biasanya ustaz bagi kuliah sejam kemudian sambung sesi Q n A selama sejam, tapi kali ini berbeza bilamana di Masjil Al-Azim, Pandan Indah ustaz digandingkan dalam program Forum Perdana bersama-sama dengan Dato Ustaz Ismail Kamus.

Antara poin yang dapat dikutip dari pemahaman isi forum bertajuk Indahnya Hidup Bersyariat itu termasuklah:

  • Hidup kita ini hakikatnya mesti berlandaskan syariat. Manusia dalam bahasa arabnya disebut Insan. Sebagai insan, hidup kita ini rupanya mesti ikut peraturan. Peraturan yang dimaksudkan ialah hidup beragama yang garis panduannya telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul.
  • Ramai yang mengaku Islam tapi tak ikut agama. Ada yang beramal tapi tak ada ilmu. Buat, tapi tanpa ilmu. Ramai yang suka beribadah tapi bila ada pengajian kitab tak ramai yang hadir. Hati tak rasa nak mengaji. Tak rasa ada keperluan untuk mengadap tok guru.
  • Maka kena sucikan jiwa masing-masing. Elakkan rasa diri begitu hebat, Biar rasa diri lemah berbanding orang lain, biar rasa orang lain itu lebih banyak ilmunya, amalnya. Bila diri rasa kurang ilmu, akan timbul perasaan untuk nak ikut jadi berilmu.
  • Mengajilah bila tak tahu. Bila dah belajar, kena laksanakan ilmu. Ilmu dapat bersihkan jiwa, dapat bersihkan hati. Banyakkan bersedekah dan derma kerana derma itu lah sebenarnya duit kita. Yang kita beli kereta mahal2 tu, semuanya waris yang dapat. Maka semasa masih di dunia, banyakkan menderma sebagai bekalan diri sendiri untuk di bawa ke akhirat nanti.
  • Kubur gelap, banyak soalan mungkar dan nakir, keadaan dalam kubur amat menakutkan. Maka semasa masih di dunia, cuba kosongkan jiwa kita daripada sifat-sifat mazmumah. Isikan jiwa kita dengan sifat2 mahmudah. Bila mati, kita tak tahu ke mana kita samada ke Syurga atau Neraka. Kita tak tahu samada dosa kita Allah ampun atau tidak. Kita juga tak tahu samada Allah redha kita ataupun tidak.
  • Maka sebaik-baiknya, kurangkanlah masa tidur kita semasa hidup di dunia. Kurangkan tidur supaya nanti kita dapat tidur lena di dalam kubur. Tidur itu merupakan mati yang sementara sedangkan mati itu pula ialah tidur selama-lama. Bangunlah untuk solat malam. jangan kita banyak tidur. Mulakan latihan solat malam dari usia muda lagi. Bila dah biasa InsyaAllah jadi mudah sebagai rutin harian. Jika dah tua baru nak mula, memanglah masih belum terlambat tapi sebab tak biasa maka agak payah nak lekat sebagai rutin.
  • Ingatlah hakikat bahawa berapa ramai orang yang sakit tapi tetap tak mati-mati. Sebaliknya berapa ramai orang yang sihat tapi tanpa disangka tiba-tiba mati. Ajal tidak mengenal usia. Maka, berubahlah kita sebab masa dah tak ada. Tambah ilmu sebab ilmu InsyaAllah dapat tingkatkan amal kita. Kena usaha cari ilmu sebab sesungguhnya tak sama orang yang berilmu dengan orang yang tak berilmu.
  • Fitrah manusia hanya ingin yang baik... sebolehnya hanya nak sihat, nak kaya. Kalau tanya, tentu saja tidak ada yang nak sakit, nak hidup susah... rata-rata orang nak bahagia saja. Tapi lumrah kehidupan di dunia, semua ada lawannya. Ada sakit ada sihat, ada kaya ada miskin, ada duka ada bahagia, ada tenang ada huruhara, ada suka ada gembira. Berbeza dengan hidup di Syurga yang segala-galanya...hanya ada sihat tak ada yang sakit, hanya ada suka tak ada yang duka, semua kaya tak ada yang miskin. Yang berlawanannya ada di Neraka iaitu semua di sana hanya yang duka tiada yang bahagia... nauzubillah.
  • Untuk capai bahagia, mesti usaha hidup dalam syariat. Diri kita mempunyai roh. Bila makan makanan ruhani, yang keluar dari kita nanti InsyaAllah kehidupan yang bersyariat. Tingkatkan amal soleh, perbanyakkan zikir, lebihkan usaha baca quran serta belajar Hadis Nabi s.a.w dari kitab Muslim,Bukhari dsb di samping tahu hukum hakam agama.

Walahu'alam.

Surah Yasin Ayat 33


 Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah hari ini Jumaat, 2 Syaaban.
Malam tadi ustaz sambung kupasan tafsir Surah Yasin ayat 33.
 

[33]
Dan dalil yang terang untuk mereka (memahami kekuasaan dan kemurahan kami), ialah bumi yang mati; kami hidupkan dia serta kami keluarkan daripadanya biji-bijian, maka daripada biji-bijian itu mereka makan.

Dalam ayat ini Allah guna perkataan tanda iaitu dalil yang merujuk kepada sesuatu yang pelik Allah nak cerita. Allah nak tunjuk satu peristiwa di mana bumi yang mati dan kering kontang, Allah boleh hidupkan semula.

Dalam surah az-Zalzalah Allah berfirman dalam ayat 1 dan 2; yang bermaksud,
[1] Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya,[2] Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya,

Maka, sebagaimana Allah boleh suburkan semula tanah yang sudah mati dan kering kontang, begitu lah juga halnya dengan manusia yang sudah mati, Allah berkuasa menghidupkannya semula.

Analoginya bila angin bertiup, kita dapat merasa adanya angin walaupun tak nampak angin itu. Kita mencari angin itupun dah terbukti adanya angin. Begitu lah firman Allah melalui dalil-dalilNya. Maka ambik pengajaran dari apa yang berlaku. Lihat bagaimana biji benih yang kering kontang boleh menumbuhkan anak pokok. Allah hidupkan tanah yang telah mati lalu Allah keluarkan dari biji-bijian itu hasil yang menjadi sumber makanan manusia.

Dikatakan, manusia yang berada dalam keadaan kering kontang (contoh dalam situasi ketiadaan/kekurangan air misalnya) apabila membaca ayat ini (Surah Yasin ayat 33), InsyaAllah dia akan merasa tenang.

Tetapi wajib yakin dan percaya bahawa kalau Allah tak izinkan, tak akan tumbuh pokok walaupun manusia telah menanam biji benih pada tanah yang subur, cukup baja, cukup air dan cukup cahaya matahari. Semua perkara bergantung dan berlaku dengan izin Allah.

Jika manusia memperhatikan dan meneliti dengan penuh makna, maka mereka dapat mengambil hikmah dan pengajaran bahawa Allah Maha Berkuasa menghidupkan kembali manusia dan akan menghisab segala amalan yang mereka kerjakan selama berada di atas mukabumi serta akan memberi pembalasan yang setimpal ke atas mereka.

Wallahu'alam.

Bekunya Airmata dek Keras Hati

"Kenapa ada jerawat tu?", satu pertanyaan yang saja-saja pada anak saya.

"Ha tu la Ma... 20hb je tumbuh jerawat...he he..."

"Oh kira jerawat temujanji la yea...", saja-saja mengusik lagi.

"He he.. betol3x..."

Anakku, jangan disebabkan tiba rutin kita yang sebulan sekali itu, kita terus tak buat apa-apa untuk mengingati Allah.

Malam tadi kat surau, ustaz pesan... masa kita tak boleh sembahyang , apabila masuk waktu solat walau tak boleh sembahyang sekalipun, bacalah zikir yang jadi amalan. Istiqamah dengan amalan zikir yang kita sering buat. Zikir mendatangkan karamah InsyaAllah. Karamah amalan lebih besar dari karamah usaha kerana ianya istiqamah, tetap dan berterusan. Orang yang amalkan zikir boleh kalahkan jin. Amalan zikir amat membantu kita. Begitu juga dengan amalan bersedekah dan menderma di jalan Allah. Orang yang menderma di jalan Allah maka Allah gandakan pahala. Itu semua bekalan kita masa nak mati. Dalam kubur tunggu balasan, ibarat tunggu pencen InsyaAllah.

Ustaz juga sebut tentang keras hati. Hati yang keras tak rasa hiba, contoh: bila dengar dan lihat kekejaman yang berlaku pada saudara-saudara kita di luar sana. Tak timbul sedih, tak mengalir air mata takkala mengenangkan kesulitan yang sedang mereka hadapi.

Sesungguhnya:

  • bekunya air mata itu disebabkan keras hati.
  • Kerasnya hati kita itu kerana disebabkan banyak dosa.
  • Banyak dosa pula sebab panjang angan-angan.
  • Panjang angan-angan itu sebab lupa bahawasa-nya kita akan mati.
  • Lupa nak mati itu sebab terlalu cinta pada dunia.
  • cinta dunia itu pula punca segala kejahatan. ...nauzubillah.
Dari Anas r.a, katanya: Nabi SAW menggariskan beberapa garis, lalu Baginda bersabda: Ini adalah angan-angan manusia sedang ini adalah ajalnya. Kemudian di waktu orang itu sedang dalam keadaan sedemikian yakni angan-angannya masih tetap panjang dan membumbung tinggi, tiba-tiba datanglah garis yang terpendek yakni garis yang memotongnya iaitu kematian. (HR Bukhari)

Moga Allah jauhi kita dari terlalu cinta dunia. Boleh cintakan apa yang kita miliki di dunia ini tapi mestilah menggunakan apa yang Allah bagi itu untuk menuju redha Allah. Ada kereta besar, jangan setiap hari hanya setakat panaskan enjin saja. Gunakanlah kereta besar tu untuk membuat kita dapat sampai ke masjid. Sekurang-kurangnya kita lepas menjawab bab kereta takkala akan dihisab di akhirat nanti. Lagi banyak kekayaan yang kita miliki lagi banyak soalan yang akan ditanya. Maka biar jelas sumber dan perlaksanaan apa jua barang yang kita ada. Biar semua menjurus pada mencari keredhaan Allah.

Perjalananan hidup di dunia hanya sebentar. Allah jadikan dunia untuk kita menyembah Allah. Allah memberi dunia untuk kita beribadah kepadaNya. Maka jangan sombong sangat semasa hidup di dunia. Apa yang ada milik Allah semua. Jangan bila buat ibadah sikit pun dah rasa banyak, dah rasa hebat. Bila kaya dari orang lain pun, rasa hebat. Semua perkara datang dari Allah. Ibadah kita, kekayaan... semua kurniaan Allah. Semua hak Allah. Pakai apa saja, itu hak Allah.

Hidup bersederhana agar dapat tenang dalam beribadah. Jangan biarkan perkara dunia melengahkan kita dari mengingati Allah. Jangan biarkan dunia menghalang kita untuk pergi ke rumah Allah. Cintai rumah Allah. Kukuhkan hubungan kita dengan Allah. Sering2 buat solat Tahajjud dalam usaha mendekatkan diri dengan Allah.

Istimewanya kita sebagai makhluk Allah yang tak sama antara satu sama lain. Walau begitu ramai manusia di muka bumi ini, masih tetap dapat membezakan antara satu sama lain. Berbeza dengan produk keluaran manusia contohnya kereta: Kalau Myvi tu semua sama je Myvi, kalau Kancil, semua rupa Kancil je... tak ada beza, nombor plet je lain.

Maka bersyukurlah. Perbanyakkan mengucap syukur pada Allah yang menjadikan kita makhluk istimewa. Segala puji itu adalah untuk Allah. Sebagaimana disebut di awal surah Fatihah, "Alhamdulillahirabbil'alamin... Segala puji bagi Allah Tuhan sekelian alam". Puji Allah pada diriNya, puji Allah pada makhluk, puji makhluk pada Allah dan puji makhluk pada makhluk, kesemuanya kembali kepada Allah (*boleh tengok empat jenis pujian di SINI)

Sentiasa bertaubat untuk menyucikan diri dan mohon keampunan Allah. Taubat dapat membersihkan hati sebagai persiapan untuk kita mengadap Allah. Pesan ustaz, wawasan kita jangan untuk hari ini. Wawasan kita biar sampai ke kubur, sampai ke akhirat sana. Perjalanan yang sebentar ini biar ada matlamatnya. Jadikan perjalanan kita di dunia terpenuhi dengan perkara-perkara mengingati Allah. Amalan kita hari ini menentukan tempat kita di penghujung perjalanan. Di akhirat nanti, kaki tangan yang bercakap sedangkan mulut terkunci. Anggota badan menjadi saksi terhadap iman dan amal kita.

Di waktu nazak menunggu detik kematian, eloklah anak lelaki duduk dekat dengan kepala ibu atau ayahnya. Ajarkan mengucap bukan suruh mengucap. Jangan duk suruh "Mengucap mak, mengucap..." Sebaliknya ajarkan mengucap "La ilahaillallahMuhammadarrasulullah" Anak2 yang perempuan pula titiskanlah air di mulut ibu dan ayah, usap2 dan picit perlahan2 kaki dan tangan ibu ayah. Jangan dibiarkan berseorangan ibu dan ayah di saat-saat sakaratul-maut.

Ustaz sarankan agar semasa cuti sekolah, sebaiknya ziarah kubur ada dalam agenda. Ziarah kubur dapat melembutkan hati yang keras. Bila ziarah kubur bukan sekadar pergi baca fatihah dan yasin kemudian balik. Biar tinggalkan kesan dalam hati. Ziarah kubur bertujuan untuk nak jadi zuhud dengan dunia dan untuk timbulkan rasa keinsafan dalam diri.

Martabat orang yang zuhud:
  • takut dengan azab Allah di akhirat nanti,
  • takut amalan tidak diterima Allah,
  • bimbang dosa tidak di-ampun; dan
  • takut menghadapi hari pengadilan di padang masyhar.

Sama-sama kita tingkatkan amal soleh. Hari ini dah 1 Syaaban. Persiapkan diri kita menuju Ramadhan. Berusaha lembutkan hati agar tidak terus keras sehingga tidak mampu menangis. Moga Allah lorongkan kebaikan buat kita semua menuju redhaNya... aminn

Nama Yang Baik

Alhamdulillah kita dah sampai di penghujung Rejab dan jika ada umur kita akan melalui pula bulan Syaaban, InsyaAllah.

Allahummabariklana fi Rajaba wa Syaabana wabaligna Ramadhan.
"Ya Allah berkatilah kami di bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan... aminnn"


Semalam berpeluang sekali lagi ikut kuliah yang disampaikan oleh seorang ustaz yang masih muda belia. Nampak macam sebaya anak-anak saya, masih muda orangnya tapi ilmu beliau.. masyaAllah. Sesuai dengan jiwa yang masih segar, maka penyampaian kuliah juga segar. Sungguh mencerna minda, alhamdulillah. Perkataan seperti metodologi dan manhaj penulisan diguna-pakai sebagai rencah kalimat, isu-isu semasa dijadikan contoh dalam kupasan perkara yang berkaitan. Alhamdulillah, semakin ramai ustaz pelapis yang tampil dalam usaha dakwah memberi pencerahan kepada masyarakat. Berpesan-pesan dan mengajak kepada kebaikan serta mengajak menjauhi keburukan.


Antara yang menarik untuk dikongsi, ialah berkenaan dengan nama. Bagilah nama yang indah buat anak-anak kita. Teringat semasa ikut mendengar tentang isu Gaza baru-baru ini, ustaz yang baru pulang dari sana menceritakan satu kisah menarik. Sepasang suami-isteri yang sudah berusia telah kehilangan 3 orang anak-anaknya yang dewasa.. Kesemuanya syahid dalam menentang kezaliman zionis laknatullah. Tetapi dengan izin Allah, setelah kehilangan ketiga-tiganya, mereka telah dikurniakan lagi dengan 3 orang anak yang lain. Memang suatu keajaiban kerana mereka pasangan yang telah melewati tahap usia yang kalau dikira logik tentunya tidak mungkin lagi mempunyai anak-anak kecil. Tapi kuasa Allah mengatasi segalanya. Anak-anak itu lalu diberi nama abang-abang mereka yang telah syahid..Subhanallah. Para syuhada' memang menjadi kebanggaan penduduk palestin. Bagi mengenang mereka yang syahid, maka ramailah yang menamakan bayi-bayi yang baru lahir dengan nama para syuhada'....Subhanallah.

Berbalik soal nama dalam kuliah malam tadi, ustaz memberi pesanan agar elok dielakkan meletakkan nama-nama yang tidak jelas maksudnya kepada anak2 yang baru lahir. Contoh nama Masyitoh misalnya. Seperti yang kita ketahui, nama Masyitoh dikatakan suatu nama yang baik sempena nama seseorang yang beriman iaitu pengasuh kepada anak Firaun. Tetapi kata ustaz, Masyitoh sebenarnya bermakna tukang sisir rambut bukan nama sebenar orang yang menjadi pengasuh anak firaun itu. Seseorang yang jadi tukang sisir rambut ialah masyitoh. Jadi kita tentu tidak mahu nama anak kita bermaksud tukang sisir rambut. Maka jika ada yang berkira-kira untuk buboh nama anaknya Masyitoh, kata ustaz eloklah fikir banyak kali, elok dicari nama lain yang lebih sesuai dan lebih baik maksudnya.

Dan satu lagi jika ingin buboh nama isteri Rasulullah s.a.w iaitu Aisyah ra dengan nama Humaira iaitu gelaran Rasulullah s.a.w kepada Aishah, maka kata ustaz, eloklah mengambil nama Aisyah itu sendiri dan bukannya humaira kerana humaira adalah gelaran Rasulullah s.a.w buat Aishah yang bermaksud 'yang puteh kemerah-merahan'. Jadi katalah anak kita yang kulit tak berapa puteh diletakkan dengan nama humaira, jelas tidak sesuai.. kata ustaz. Wallahu'alam.

Contoh nama2 yang baik lainnya termasuklah nama puteri2 Rasulullah s.a.w, cucu Rasulullah s.a.w, para sahabat ra yang memperjuangkan Islam di zaman Rasulullah saw serta tokoh-tokoh ilmuan Islam.


Selepas kuliah berakhir, sebelum bangun untuk solat Isyak, ustaz mengingatkan tentang Qunut Nazilah yang akan dibaca di dalam solat bagi memohon pertolongan Allah terhadap keganasan yang sedang berlaku di Syria sekarang ini. Sama-sama kita berdoa agar Allah memberi perlindungan dan bantuan kepada rakyat Syria yang sedang dizalimi... Ya Allah bantulah umat Islam di sana... amin ya rabbal 'alamin..


Tadah Kitab

"Tuan-tuan yang dirahmati Allah"

Para penceramah sering mengucapkan ucapan ini semasa sampaikan kuliah. Setiap kali mendengar, saya cepat2 mengucapkan 'aminn....aminnn..' secara perlahan. Suka rasanya jika ucapan ini kerap di-ulang sebut oleh para tok guru yang sedang memberi peringatan.

Alhamdulillah semalam (27 Rejab), telah berjaya mengikuti pengajian kitab secara marathon di masjid kami. Pengajian bermula selepas Subuh, berhenti rehat selama sejam lebih untuk rehat dan rawat(solat israk, sarapan, solat dhuha dan rehat) kemudian sambung lagi pengajian, r n r lagi (makan dan rehat) - time ni saya minum je sebab masih kenyang makan sarapan, sambung belajar, r n r lagi(makan tengahari, solat Zohor dan rehat), sambung belajar lalu akhirnya selamat khatam kitab bila pengajian tamat tepat jam 3.30 petang.... Alhamdulillah

Ada beberapa orang murid ustaz dari kawasan lain ikut hadir. Dari tak kenal jadi kenal.. ukhwah sesama saudara Islam terjalin.. alhamdulillah. Sepanjang pengajian, semua fokus menadah kitab yang dibeli sehari sebelum tu. Kitab terjemahan hasil tulisan Al Allamah Sheikh Daud ibn Abdullah Al Fatoni itu dirasakan begitu lengkap penceritaannya tentang Israk Mikraj. Tambah teruja hati bilamana ianya diperjelaskan lagi dengan sempurna oleh ustaz sepanjang pengajian bersanad itu. Alhamdulillah terdetik rasa terharu kerana merasakan ini kali pertama saya duduk paling lama belajar tentang Israk Mikraj. Sebelum ini hanya berpeluang hadir dengar tentang Israk Mikraj selama kurang lebih sejam atau dua jam dalam mana-mana kuliah atau forum.

Begitu besar rupanya kelebihan jika kita duduk mengaji dengan menadah kitab. Contoh untuk Israk Mijraj ini, jika sebelum ini hanya tahu sedikit sebanyak gambaran perjalanan Rasulullah saw yang dimikrajkan, InsyaAllah bila duduk tadah kitab akan memberi lebih kefahaman perihal hikmah dari rentetan peristiwa (Perjalanan Rasulullah s.a.w dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa naik ke Sidratul Muntaha).
Subhanallah.



**********
Berazam untuk sentiasa menjaga solat. Termenung jauh bila mendengar tentang bagaimana usaha Rasulullah s.a.w yang berulang-alik naik dan turun dari Sidratul-Muntaha untuk meminta dikurangkan jumlah solat yang sebenarnya diwajibkan. Kita semua asalnya diperintahkan untuk solat 50 sembahyang pada tiap-tiap sehari semalam. Tapi dengan bantuan nasihat oleh Nabi Musa as, Rasulullah s.a.w telah kembali bertemu Allah Taala untuk minta dikurangkan bilangan tersebut. Rasulullah s.a.w telah berulang alik antara Nabi Musa as dan Tuhannya, pohon dikurangkan lima kemudian lima kemudian lima sehinggalah tinggal lima sembahyang pada sehari semalam.

Firman Allah: "Telah Kujadikan lima sembahyang itu pahala lima puluh sembahyang, gandanya tiap-tiap satu, sepuluh. Tiada menukar perkataan yang pada Aku dan tiada menghilangkan suratanKu lagi. Dan barangsiapa mencita-cita akan berbuat kebajikan, maka tiada dikerjakannya nescaya disuratkan baginya sesuatu kebajikan, maka jika ia mengerjakan dia nescaya disuratkan baginya sepuluh kebajikan. Dan barangsiapa cita dengan berbuat kejahatan, maka tiada dikerjakannya akan dia, maka tiada disuratkan baginya suatu kejahatan, dan jika dikerjakannya akan dia disuratkan suatu kejahatan jua."

Maka turunlah Rasulullah s.a.w hingga sampai kepada Nabi Musa as, maka mengkhabarkan dia dengan dikurangkan lima-lima tinggal lima. Maka berkata baginya, "Kembalilah olehmu, ya Muhammad! Kepada Tuhan kamu. Maka pohonkan ringan", maka sabdanya Nabi s.a.w, "Sungguhnya telah aku pergi datang kepada Tuhanku beberapa kali hingga malulah aku akan Tuhanku, dan tetapi kuserahkan perkerjaanku ini bagiNya."

~~~~~~~~~
Maka kata ustaz, sama-sama kita pertahankan iman kita dengan sekurang-kurangnya 5x dalam ibadah kita bersolat fardhu lima waktu. Jagalah solat. Sesungguhnya tempat paling hampir manusia dengan Allah ialah ketika sujud... Subhanallah.

Dari Abu Hurairah r.a. bahwasanya Rasulullah s.a.w bersabda:
"Sedekat-dekat seseorang hamba itu dari Tuhannya ialah dalam keadaan ia bersujud, maka dari itu perbanyakkanlah berdoa - ketika bersujud itu."
(Riwayat Muslim)


Mengaminkan Doa

Bismillahirrahmanirrahim

Selesai mengaminkan doa oleh tuan imam, saya terlihat ustazah yang duduk di sebelah lekas-lekas menyapu air mata yang mengalir di pipi. Doa yang ramai2 kami aminkan tadi ternyata telah menyentuh hati ustazah. Suatu kelebihan buat beliau yang tahu dan faham bahasa Arab. Maka bila tahu, dapat menghayati maksud doa yang dipohon ke hadrat Allah Ta'ala.
Saya tadi hanya faham dua tiga ungkapan doa...
termasuklah maksud:
  • beberapa doa al mathurat yang ustaz selitkan (petikan ayat-ayat awal dari surah al-Baqarah),
  • Allahumma ajirna minannar
yang bermaksud: Ya Allah, lindungilah aku dari api neraka
  • doa penutup iaitu Rabbana atina fiddunna hasanah wafil'akhiratihasanah waqina azabannar...





yang bermaksud:
Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka".
(Surah Al-Baqarah 201)
  • dan; selawat ke atas Nabi s.a.w

Alhamdulillah ingat sikit2 maksud yang mana hafal tuh. Rasanya nak kena belajar balik bahasa Arab lepas ni walaupun sebelum ini dah banyak kali fail... gagal untuk faham apa yang ustaz duk cerita. Last sekali hari tu sempat hadir di beberapa sesi kelas bahasa Arab di surau. Tapi bila dah tak berapa nak faham tu, terus tak pegi-pegi selepas tu... huhu..
Beruntunglah bagi yang tahu dan faham bahasa Arab... Subhanallah.. Bahasa Arab bahasa al-Quran, bahasa di Syurga....

Belajar Agama

Bismillahirrahmanirrahim

Hari ini sudah 24 Rejab. Terbaca ungkapan... Kita di dunia ini ibarat orang yang sedang bepergian ke suatu tempat dalam kadar waktu yang terbatas. Di perjalanan itu kita memperjuangkan nasib untuk hari depan, hari yang kekal iaitu akhirat. Dalam perjuangan itu, ada di antara kita yang memerdekakan diri sendiri yakni melakukan semua amal baik dan perintah-perintah Allah, sehingga diri kita merdeka nanti di Syurga... aminn

Tetapi ada pula yang merosak dirinya sendiri kerana melakukan larangan-larangan Allah hingga rosaklah akhirnya nanti di
dalam neraka, amat pedih siksa yang ditemuinya... nauzubillah..

Firman Allah dalam Surah az-Zalzalah ayat 7- 8
[7] Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!
[8]
Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

Rukun Islam yang lima merangkumi seluruh aspek kehidupan. Apa saja yang kita buat tak lari dari lima rukun Islam. Kata ustaz semasa Kuliah Maghrib, hendaklah kita pelajari agama dengan sungguh-sungguh. Orang yang belajar adalah orang yang memikul beban. Selepas tadah kitab kena balik belajar semula. Amalkan apa yang belajar. Jadilah orang yang memahami al-Quran. Umpama nak berjaya dalam SPM misalnya, nak kena rajin menghafal, kena sentiasa mengadap buku duduk mengulangkaji pelajaran. Masa tidur pun tak boleh sama dengan orang lain yang tak ambik SPM. Maknanya kena bermujahadah, mesti menjalani segenap kesusahan atau bebanan dalam jalan/usaha untuk mendapatkan ilmu.

Orang yang hidupkan agama ialah bilamana seluruh kehidupannya mengikut agama. Ruang lingkup agamanya tidak sempit. Agama baginya bukan hanya sekadar di dalam masjid. Terbentuknya agama adalah dari Islam, Iman dan Ihsan. Maka... agar agama menjadi sempurna, mesti ada ketiga-tiga yang tersebut.

Hadis Nabi s.a.w yang menerangkan tentang Islam, Iman dan Ehsan:
Daripada Saidina Umar r.a beliau berkata, ketika kami sedang duduk di sisi Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang memakai pakaian yang sangat putih, berambut sangat hitam, yang tidak ternampak pada dirinya kesan-kesan tanda musafir dan tidak seorangpun di kalangan kami yang mengenalinya.

Lalu dia duduk menghampiri Nabi SAW lalu disandarkan kedua-dua lututnya ke lutut Baginda dan meletakkan dua tapak tangannya atas dua paha Baginda seraya berkata:

Wahai Muhammad! Terangkankepadaku tentang lslam.
Lalu Rasulullah SAW bersabda: lslam itu bahawa engkau naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu utusan Allah, mendirikan sembahyang, (dan bahawa) engkau mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan haji ke BaitulLah (Mekah) sekiranya engkau berkuasa mengerjakannya.

Lelaki tersebut berkata: Benarlah engkau.
Maka kamipun merasa hairan kepadanya, dia yang bertanya dia pula yang membenarkannya. Dia bertanya: Terangkan kepadaku tentang lman.
Baginda bersabda: (lman itu ialah) bahawa engkau percaya kepada Allah, para MalaikatNya, kitab-kitabNya, para RasulNya, hari Qiamat dan bahawa engkau percaya kepada Qadar baik dan buruk. Lelaki itu berkata: Benarlah engkau.

Dia berkata lagi:
Terangkanlah kepadaku tentang Ehsan.
Baginda bersabda: Ehsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihatmu.

Lelaki itu bertanya lagi: Terangkan kepadaku tentang Qiamat. Baginda bersabda:
Orang yang ditanya tentang Qiamat tidaklah lebih mengetahui daripada orang yang bertanya.
Lelaki itu berkata: Maka terangkanlah kepadaku tentang tanda-tandanya. Baginda bersabda: (Antara tanda- tandanya ialah) apabila seorang hamba perempuan melahirkan tuannya dan apabila engkau melihat orang-orang miskin yang berkaki ayam, tidak berpakaian dan papa kedana yang hanya menjadi pengembala kambing berlumba-lumba membina bangunan (iaitu bertukar menjadi kaya raya).
Kemudian lelaki itu berlalu, lalu aku terdiam sebentar.

Kemudian Baginda bertanya: Wahai 'Umar! Adakah engkau tahu siapa lelaki yang bertanya itu?
Aku berkata: Allah dan RasulNya lebih mengetahui.
Baginda bersabda: Sesungguhnya dia adalah Malaikat Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajar kamu tentang agama kamu.

~~~~~~~~~
Sungguh-sungguhlah kita belajar agama. Baru2 ini saya sempat berbual-bual dengan isteri seorang penceramah yang dijemput ke tempat kami. Bila timbul kisah anak-anak, terkeluar cerita tentang anak perempuan bongsunya (yang sebelum ini sedang tunggu keputusan SPM) telah menyatakan hasrat untuk belajar di sekolah tahfiz. Kemahuan itu datang dari diri anaknya sendiri, bukan cadangan dari beliau suami-isteri. Subhanallah, sejuk hati mendengar. Moga makin bertambah jiwa remaja yang terpaut hati untuk menghafal kalam Allah... aminn

Anak Soleh

Bismillahirrahmanirrahim

Sambungan dari SINI

Sebagaimana yang disebut, SOLEH merupakan amalan mendekatkan diri kepada Allah. Kata ustaz, harapan untuk mendapatkan anak yang soleh mestilah beriringan dengan usaha kita menjadikan diri sendiri banyak berbuat amal soleh. Sudah menjadi fitrah, hati sentiasa ingin pada kebaikan. Contoh: walau diri sendiri tak begitu baik, hati tetap nak anaknya jadi baik. Tak mahu anak ikut jadi tak baik. Tetapi jangan menyerah begitu saja, ikhtiar ubah diri sendiri agar jadi lebih baik. Anak2 yang baik InsyaAllah anugerah buat ibubapa yang baik.

Ibadah kita mesti bersandar pada ilmu. Ada orang yang beribadah tapi tak ada ilmu. Maka ibadahnya tiada penghayatan, tidak timbul khusyuk sebab hati tidak merasa diri sedang diperhatikan Allah. Jadi tuntut ilmu untuk membuahkan amal soleh. Jika hati pada Allah, keluar mencari rezeki pun dikira ibadah kerana niat mencari rezeki untuk memberi makan dan perlindungan pada keluarga. Bila niat kerja kerana Allah, maka akan lahirlah keberkatan dalam rezeki. Pembentukan anak yang soleh berkait-rapat dengan sumber rezeki yang berkat.

Setiapkali keluar mencari rezeki, jangan ditinggalkan buat 3 perkara iaitu:
  • selalu baca kitab Allah - peruntukkan masa kita untuk baca Quran, mesti cari waktu untuk itu.
  • dirikan sembahyang - masuk waktu terus solat, solatlah secara berjemaah
  • bersedekah samada secara sembunyi/terang.

Rezeki InsyaAllah akan menjadi berkat bilamana kita berpagi-pagi memulakan sesuatu pekerjaan itu. (Pernah disebut hadis Nabi s.a.w yang berkaitan berpagi-pagi dalam bepergian ini di SINI).

Kata ustaz lagi, jangan bangun pagi pun dah pukul 11, pergi sambung pulak bukak internet tengok bola yang tak sempat/tak larat tengok malam tadi. Lepas tu pergi sambung pula main game bola/baca paper. Masa habis begitu saja. Bila matahari dah meninggi baru tiba2 teringat Quran belum baca. Masa tu lah baru nak buka baca kitab Allah. Maka di situ jelas di mana tahap kecenderungan kita untuk beramal soleh. Prioriti kehidupan terumbang-ambing, tidak jelas tujuan dan matlamat hidup.

Harus letakkan dunia di tangan kita, bukan di hati. Bila dunia di tangan, kita tidak akan lupa pada Allah, tak akan langgar syariat agama, tak akan buat benda yang lara dan sia-sia apalagi perkara yang mungkar.

Ustaz bagi contoh seorang penjual Nasi Lemak yang mula meniaga selepas Solat Subuh. Suatu kelebihan buatnya bilamana jam baru pukul 8 pagi, dia dah berkemas2 untuk pulang. Gerai orang lain ada yang baru nak bukak, tapi dia dah selesai berniaga untuk hari itu. Anak2nya pula semua bersekolah Tahfiz dan semua alhamdulillah taat pada ibubapa... Subhanallah.

Teringat contoh yang seorang ustaz lain ceritakan... ada seorang pelajar yang dapat keputusan straight A dalam SPM telah ditanya tentang apa rahsianya.. Jawab beliau, dia bangun belajar pukul 2 pagi setiap malam. Sebelum mula mentelaah pelajaran, dia mulakan dulu dengan solat Tahajjud 2 rakaat, kemudian baru mula belajar. Itulah rutinnya setiap malam, istiqamah mohon bantuan Allah terlebih dulu sebelum mula bukak buku... Subhanallah.

Sesungguhnya hati boleh di-didik dan di-asuh. Berusahalah kita untuk istiqamah berbuat amal, maka InsyaAllah rutin untuk beramal akan sebati dalam diri kita dengan izin Allah. Kuatkan hati untuk istiqamah, mohon pada Allah untuk bantu kita dalam usaha itu sebab tiada daya dan kekuatan kita melainkan hanya dengan bantuan Allah.... aminn

Moga direzekikan Allah anak yang soleh...aminn


Wallahu a'lam.

Semua Ada Asbab

Malam tadi anak2 ikut ke masjid. Ada majlis tahlil dan ceramah perdana. Alhamdulillah nampak ramai kenalan hadir sama. Rakan2 anaknda zaman sekolah menengah pun ramai yang hadir. Jadi dapat bayangkan rasa gembira anak2 bila dapat jumpa kawan2 lama yang dah lama tak jumpa.

Lepas sesi soal-jawab dengan ustaz, kami ramai2 bangun untuk solat Isyak berjemaah. Sebelum tu telah diperingatkan oleh pengerusi majlis agar lepas solat nanti jangan terus balik, semua dijemput menjamu selera terlebih dulu. Ada lembu seekor telah ditumbangkan untuk tujuan jamuan malam tu.

Teringat dah masak sup dan goreng ayam kat rumah. Kalau makan kat masjid, tentu dah takdenya nak makan kat rumah lagi. Tapi alhamdulillah dalam duk teringat2 banyak makanan kat rumah tu... masuk2 kereta je en suami tanya, "..ada apa2 untuk kita sahur esok?" Oh, baru teringat esoknya Isnin. Alhamdulillah, nasi seperiuk dan lauk2 tu alhamdulillah selamat jadi makanan bersahur kami sekeluarga jam 5.10 pagi tadi.

Hari ini dah 21 Rejab. Tinggal hanya berapa hari saja lagi sebelum kita melangkah masuk ke bulan Syaaban InsyaAllah. Sama2 berbuat apa yang patut. Sering teringat kata2... Seorang muslim itu tidak akan membiarkan masanya berlalu begitu saja. Nasihat untuk diri sendiri, keluarga serta sekelian sahabat... semasa badan masih sihat, mari manafaatkan setiap detik usia dengan perkara2 kebaikan. Banyak peristiwa yang berlaku di sekeling kita dapat kita ambil iktibar, jadikan pedoman untuk sentiasa bermuhasabah diri. Semua yang terjadi ada asbabnya, bukan kebetulan, bukan juga berlaku saja-saja.

Semua dalam ketentuan Allah. Ustaz semalam mengingatkan agar kita sentiasa berazam untuk (1)selalu berada dalam lingkungan orang-orang yang baik, (2)selalu merancang dan merencanakan segala sesuatu yang baik (3) selalu berbuat yang baik dan(4)selalu ingin jadi orang yang baik. Berusahalah untuk menjadi orang yang berilmu, orang yang belajar. Sifat orang alim ialah sentiasa berkongsi kebaikan. Jangan risau bila ada ujian, sebab setiapkali adanya ujian, InsyaAllah akan menggalakkan manusia berfikir. Kalau tak ada cabaran, kata ustaz... IQ kita tak berjalan... ilmu tak berkembang. Semampunya, perintah Allah kita cuba laksana, larangan Allah sama2 cuba dijauhi. Pertahankan agama. Ada tempat kita boleh bertoleransi, ada tempat
'La kum dinukum waliyadinn...'

“Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku”. (QS al-Kafirun: 6)

Selamat Beramal...
Wassalam.

Remaja Jadi Rebutan


Bismillahirrahmanirrahim

Dalam dunia yang semakin tak terkejar teknologinya kini, risau pulak dengan pengaruh hiburan yang datang dalam pelbagai warna. Tak kira versi Melayu ke, Inggeris, Korea... semua jadi kesukaan kebanyakan remaja.

Terngiang-ngiang kata2... remaja adalah suatu zaman paling bertenaga. Bertenaga zahir dan batin. Itu sebab, remaja bagaikan menjadi rebutan pulak kebelakangan ini. Dikatakan jiwa remaja mempunyai lebih daya kekuatan mental dan fizikal. Berbeza dengan orang2 dewasa dan orang-orang tua yang walaupun spiritualnya kuat, namun kurang daya dokongan fizikal. Badan dah tak berapa larat, kekuatan makin menur
un bila usia makin lanjut.

Alangkah beruntungnya jika jiwa remaja yang segar dihiasi dengan nilai-nilai yang baik, tidak tercemar oleh unsur2 sekular yang begitu cepat merebak sekarang ini. Hiburan yang bersepah bagaikan cendawan yang tumbuh di musim hujan, tidak mungkin dapat ditapis jika tidak kuat jati diri.
Renungkan bahwa seseorang itu nanti akan dikumpulkan dengan orang yang dia cintai, yang dia jadikan idola.

Dalam hadits riwayat Thobroni, dari ‘Aisyah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:
Tidaklah seseorang mencintai suatu kaum melainkan dia akan dikumpulkan bersama mereka pada hari kiamat nanti.”

Bagaimana jika yang dijadikan idola itu adalah seorang penyanyi dan orang itu pula adalah seorang non muslim(orang kafir)? Semoga dapat sama-sama dijadikan renungan. Seharusnya orang yang menjadi idola adalah para Nabi, para sahabat r.a dan para solihin, agar nanti kita akan bahagia berkumpul bersama-sama mereka... aminn

Satu riwayat dalam Shohih Bukhari, Anas r.a mengatakan,
Kami tidaklah pernah merasa gembira sebagaimana rasa gembira kami ketika mendengar sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam: Anta ma’a man ahbabta (Engkau akan bersama dengan orang yang engkau cintai).”
Anas pun mengatakan:
Kalau begitu aku mencintai Nabi s.a.w, Abu Bakar, dan Umar. Aku berharap dapat bersama dengan mereka karena kecintaanku pada mereka, walaupun aku tidak mampu beramal seperti amalan mereka.

Dari Anas bin Malik ra., meriwayatkan seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW: Bilakah akan berlaku hari Kiamat wahai Rasulullah? Baginda Rasulullah SAW menjawab: Apakah persiapan engkau untuk hari itu? Dia menjawab: Aku tidak ada persiapan untuk itu dengan banyak bersolat. dan puasa sunat atau pun bersedekah, akan tetapi aku mencintai Allah dan RasulNya.  Nabi SAW bersabda: Kamu akan berada bersama dengan orang yang kamu cintai.  (HR Bukhari)

Moga Allah memberi taufiq dan hidayahNya buat kita semua... Sebagai ibubapa, kita cuba semampunya, tidak berputus asa, tidak berputus harap dengan rahmat Allah... aminn
AllahTa’ala berfirman dalam Surah At-Tahrim ayat 6:

yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.

Ustaz Azhar di Stadium Darul Aman, Alor Setar

...suka tengok gambar ni...

Semalam sudah 15 Rejab

Sekarang kita sudah sampai di pertengahan bulan Rejab. Hari ini dah pun 16 Rejab. Pada malam 15 Rejab, kami dah miss kuliah Maghrib ustaz berkacamata. Rasa ruginya... InsyaAllah lepas ni mesti pastikan dapat hadir.

Teringat kata-kata seorang ustaz... kita nak pergi ke masjid hari ini, mana ada kereta kebal atau M16 yang menghalang macam yang berlaku di
negara2 yang umat Islamnya sedang dizalimi. Mereka tetap bermujahadah walau disekat, walau dikepong. Namun jauh berbeza dengan kita, tiada apa yang menghalang untuk dapat sampai ke masjid, tapi masih juga kita tak pergi.

Kata ustaz lagi, orang dulu2 punya lah kuat semangat merentas laluan yang sukar dengan berjalan kaki berhari-hari malah berbulan-bulan untuk pergi menuntut ilmu dari tok- tok guru tapi kita hari ini majlis ilmu ada dekat pun kita tetap tak pergi. Ada kenderaan lagi yang membantu memberi kemudahan tapi sayangnya tak berhajat menggunakan nikmat yang Allah bagi itu dengan sebaik-baiknya. Dan lagi, bukannya kita yang perlu pergi cari tok guru, sebaliknya tok guru yang datang ke kawasan kita. Tapi malangnya, tetap tak sampai2 juga kita ke majlis ilmu.

Sesungguhnya menuntut ilmu begitu perlu untuk mampu berhasil menjadi insan yang bertaqwa. Nak beramal dengan agama, kena lah kenal dengan agama itu. Mesti tuntut ilmu kemudian praktikkan apa yang dipelajari. Kata ustaz, tidak mengapa kalau kita tidak kenal siapa pengerusi masjid, asalkan kita kenal masjid. Duduklah dalam masjid. Imarahkan diri kita dalam rumah Allah. InsyaAllah Allah akan beri hidayah pada hati nurani... aminnn

Ustaz sebutkan firman Allah dalam surah al-Qasas ayat 56 yang bermaksud:
Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia m
enerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).


Jadi kata ustaz, usahalah untuk hadir di majlis ilmu. Lebih2 lagi sekarang kita berada di bulan Rejab, bulan yang memerlukan kita banyak membuat latihan menuju Ramadhan. Hidupkan ibadah. Perbanyakkan amal soleh. Jangan lupa untuk sering2 membaca doa:

اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيْ رَجَبٍ وَشَعْبَانَ وَبَلِّّغْنَا رَمَضَانَ
(Allahumma baariklana fii rajabin wa sya’baana wa ballighnaa ramadhaan)

Yang bermaksudnya: “Ya Allah ya Tuhanku, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya’aban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan”. (HR Baihaqi)


... dan ustaz meminta kita tambahkan satu lagi doa Istighfar sementara diri masih di bulan Rejab, di mana ada setengah bulan berbaki sebelum kita melangkah masuk ke bulan Syaaban InsyaAllah. Perbanyakkanlah mengucapkan:(Rabbighfirli warhamni watub’alaiya)

yang bermaksud: Ya Allah... ampunilah aku, sayangilah aku dan terimalah taubatku..

Aminn, aminn ya rabbal'alamin...

Aku dan kacamata


"Yang, jangan taksub sangat dengan spek tu..."

Terdiam seketika lepas kena sound dekat en suami. Agaknya saya nampak macam over excited la kot bila dapat spek tu... he he

Sebenarnya bukan lah taksub...kira cam terlebih suka je... teruja pun ya... Sebab apa? Sebab... bila test baca tulisan yang kecik2 tu pun, alhamdulillah dapat baca... terang bukan main..

Rasa terubat hati yang agak gundah kebelakangan ini dek tidak dapat membaca dengan terang, tak nampak jelas tulisan, semua nampak cam kabur...


Jadi, rasa riangria dapat kembali melihat butir2 huruf dengan terang, itu yang agaknya over la sikit menyebut dan memuji tentang aku dan kacamata...
:)

"Ingat, selama ini Allah dah bagi kita dapat melihat dengan terang... syukur dengan nikmat Allah. Bila Allah tarik sikit nikmat tu, yang selama ini terang jadi tak berapa nak terang jangan la pula kita lupakan nikmat mata yang Allah kurniakan ini. Jangan pikir sebab spek, kita dapat tengok dengan terang. Spek tu cuma alat, yang bagi kita nampak ialah Allah, yang buat kita dapat melihat ialah Allah..."

Astaghfirullahal'azim... ya Allah ampuni daku.

Bersyukur padaMu Ya Allah yang telah mengurniakan nikmat penglihatan ini. Bersyukur kerana aku masih dapat terus membaca al-Quran ya Allah... aminn
Alhamdulillah.

Tahajjud - Penyelesaian terhadap semua masalah


Bismillahirrahmanirrahim

Mohon pada Allah agar diberi kekuatan untuk dapat bangun bertahajjud... aminn...

Dari Aisyah ra pula bahawasanya Nabi s.a.w itu tidur di permulaan malam dan bangun pada akhir malam lalu bersembahyang. (Mutaffaq 'alaih)


Jabir ra mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Pada malam hari, ada satu saat (yang berkat) yang jika seseorang Muslim menepati saat itu dan berdoa kepada Allah meminta keberkatan dunia dan akhirat, nescaya Allah kabulkan doanya. Saat itu wujud pada setiap malam.”
(HR Muslim)

~~~~~~~~~~~
Jika ingin minta, mintalah pada Allah. Jika perlukan pertolongan, minta hanya dari Allah. Allah akan sentiasa bersama kita. Bila ingat Allah, Allah akan ingat kita. Kenal Allah di waktu senang, nescaya Allah akan kenal kita di waktu susah.
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa mahu supaya doanya dikabulkan ketika dalam keadaan kesempitan atau kesusahan hendaklah dia banyak berdoa ketika dalam kesenangan. (HR Tirmizi)

Jika kita mahukan pertolongan Allah, kita kenalah meminta pertolongan itu. Pilih waktu yang tenang, yang sesuai di mana pada saat itu tiada perkara lain yang dapat mengganggu tumpuan kita bermunajat pada Allah. Waktu terbaik untuk kita dapat merasa dekat dengan Allah ialah saat-saat di sepertiga malam ataupun di akhir malam. Pada waktu itu tiada yang dapat mengganggu khusyuk kita saat bermohon pada Allah swt. Mengadu, merayu dan menangislah kita pada Allah di malam yang sunyi.

Contoh: Seorang anak kecil yang mahukan gula-gula kesukaannya akan terus meminta tanpa henti daripada kedua orang tuanya untuk membeli gula-gula tersebut. Dia akan menangis lagi dan lagi untuk menunjukkan betapa berharapnya dia untuk dapatkan gula-gula tersebut. Dia tidak akan berhenti selagimana belum mendapat apa yang diingininya.

Begitulah ibaratnya kita dengan Allah, jangan berhenti meminta pertolongan Allah dan berharap untuk mendapatkannya. Apapun ikhtiar yang kita usahakan untuk selesaikan permasalahan di siang hari, pastikan kita sempurnakan ikhtiar tersebut dengan bangun bertahajjud di malam hari.

Pada setiap malam Allah membuka pintu seluas-luasnya supaya hamba-hambaNya yang bangkit menadah dua tangan berdoa dan meminta kepadaNya.


Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Tuhan kita, Maha Suci dan Maha Mulia KedudukanNya, pada setiap malam turun ke langit dunia yang paling rendah sekali di sepertiga akhir malam lalu menyeru: Adakah terdapat sesiapa yang berdoa kepadaKu nescaya Aku kabulkan? Adakah sesiapa yang meminta kepadaKu nescaya aku perkenankan? Adakah terdapat sesiapa yang memohon ampun dariku nescaya Aku ampunkan?" (HR Muslim)

Subhanallah!

Semoga kita semua termasuk sebagai hambaNya yang bertuah untuk dapat melihat hakikat ini dengan jelas. Sesungguhnya Allah telah menyediakan ruang beribadah yang begitu luas, tetapi kebanyakan dari kita masih tidak dapat melihat kebaikan yang Allah sediakan. Di saat-saat perlunya kita untuk bangun meminta kepadaNya, kita masih tetap menghabiskan malam yang panjang dengan tidur yang lena...

Bangunlah... panjangkan sujud kita takkala mengadap Allah. Perbanyakkan istighfar. Doa sungguh-sungguh. Hadirkan hati mohon bantuan Allah agar diketemukan jalan untuk kita dapat menyelesaikan masalah yang menghimpit perasaan, persoalan yang memberatkan kepala.


Mari kita tanya diri kita, apakah selama ini pernah kita gunakan cara tersebut untuk selesaikan masalah kita. Apakah kita pernah berusaha untuk bangun bertahajjud apabila sedang dilanda masalah. Adakah kita teringat untuk bangun bertahajjud? Adakah terintas di hati untuk bangun mengadu pada Allah di sepertiga malam?

Ayuh... Jadikan Solat Tahajjud sebagai jalan terbaik untuk selesaikan segala permasalahan kita, baik sekarang mahupun di masa hadapan. Jadikan ia sebagai kekuatan kita untuk selesaikan apa jua masalah. Minta bantuan hanya pada Allah.. minta secara berterusan, bukan setakat sekali, bukan setakat dua kali. Harus sabar menanti jalan keluar. Jangan bila minta sekali, terus berharap keajaiban akan berlaku. Kena ada usaha yang bersungguh-sungguh, bukan sambil lewa. Berbaik sangka pada Allah, yakin Allah dengar doa kita. InsyaAllah Allah yang Maha Mendengar akan memberikan jalan keluar yang terbaik bagi setiap permasalahan... cepat atau lambat.
 
Dari Abu Hurairah ra katanya, Rasulullah SAW bersabda bahawa Allah SWT berfirman:
“Manusia menjadi hampir dengan Daku apabila dia melakukan perbuatan yang Daku sukai iaitu amalan fardhu yang diperintahkan kepadanya. Dia kemudian terus berusaha mendekatkan dirinya dengan-Ku dengan melakukan amalan sunat, sehingga Daku mencintainya. Apabila Daku mencintainya, maka Daku menjadi pendengarannya yang dia gunakan untuk mendengar. Daku juga menjadi penglihatannya yang dia gunakan untuk melihat, tangan yang dia gunakan untuk memegang dan kaki yang dia gunakan untuk berjalan. Apabila dia memohon sesuatu kepada-Ku, pasti Daku kabulkan. Apabila dia memohon perlindungan, pasti Daku memberikan perlindungan kepadanya”.  (HR Bukhari)

Jadi bila hendak mendekat pada Allah, lebih dulu penuhilah kewajipan-kewajipan yang telah dipikulkan oleh Allah pada kita. Lalu kita susuli dengan memperbanyakkan ibadah sunat. Maka kalau orang itu sudah benar-benar dekat pada Allah... semua pendengarannya, penglihatannya, pengambilannya dan perjalanannya selalu diberi petunjuk oleh Allah sehingga cahaya Tuhan selalu ada di kanan kirinya... amin ya rabbal 'alamin...

Wallahu'alam.

Beg kain sembahyang baru



Alhamdulillah, dapat beg baru... buah tangan dari seorang rakan anaknda yang baru balik dari Bangkok. Terus terbayang boleh pakai wat ganti beg kain sembahyang saya yang lama. Dah sizen benar dah beg yang lama tu... en suami pun dah pernah sound... ha ha

Badge 'doing dakwah everyday' yang tersangkut di beg lama terus berpindah sangkut di beg baru.. alhamdulillah :)

InsyaAllah pahala berjalan selagi mana barang yang kita beri digunakan oleh orang yang menerima pemberian. Itu kata ustaz yang pernah mengajar di kawasan kami satu waktu dulu. Contoh kata ustaz, kita beri pen pada kawan kita... maka pahala tetap mengalir selagi pen itu digunakan sampai dakwat habis. Apa yang kita beri, selama mana ia masih diguna dan dimanafaatkan, pahalanya tetap terus mengalir walaupun kita telah meninggal dunia.

Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah s.a.w ada bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang mati, putuslah amalannya kecuali tiga perkara, (iaitu): Sedekah jariah, ilmu yang memberi faedah kepada orang lain dan anak yang soleh yang berdoa untuknya.” (HR Muslim)

Allah berfirman yang bermaksud:
"Dan kebaikan apa saja yang engkau semua lakukan, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui dengannya." (al-Baqarah:215)

Tqvm.. moga sentiasa dirahmati Allah... aminn

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...