Hadiah Jubah Lycra yang cantik

Bismilllahirrahmanirrahim

Telefon saya rasa-rasanya dah memang gelap gelita dari malam tadi lagi sebab semalam masa nak tidur lupa nak cas bateri. Pagi2 bangun pun lupa pasal  fon.  Dah nak masuk tengahari baru teringat, cari fon, tengok-tengok ada beberapa mesej termasuklah salah satunya berupa mesej dari seorang kawan lama.
"Salam nur...Kaifa ha luka?" Sambil tersenyum saya terus reply, "Wsalam. Alhamdulillah ana bi khair.."  Dek saya pun dah mula sibuk dengan urusan di dapur maka mesej antara kami terhenti setakat itu saja tadi.

Namun tanpa disangka, tak lama lepas tu... terdengar bunyi hon yang kuat di depan rumah.  Saya terus minta anak bujang pergi check siapa... Ohh rupa-rupanya..dapat parcel dari kawan yang baru menghantar mesej tadi. 

Ya Allah... sukanya hati dapat hadiah jubah yang sangat cantik hari ini. Kawan saya itu baru-baru ini ada meminta saya memberikan alamat, nak hantar jubah Lycra, katanya. Jadi alhamdulillah,, sudah selamat sampai lah jubahnya..tqvm za..jazakillahu khoiron :) :)

Kata anak saya, "mahal ni mama jubah ni, kalu kat kedai harga dalam RM89 gitu..." Laa cam tu ke.. mahal la pulak... rasa bersalah la pulak dapat hadiah mahal-mahal dari orang.  Diucapkan ribuan terimakasih buat beliau, saya doakan moga beliau sekeluarga sentiasa dirahmati Allah... ameen. InsyaAllah jubah tersebut akan sering-sering saya pakai..alhamdulillah.

Kawan saya itu merupakan kawan semasa di sekolah menengah dulu. Pernah menjadi rakan baik saya sehinggakan alhamdulillah dapat kenal baik dengan ahli keluarga beliau sekeliannya. Namun setelah berlalunya zaman sekolah, persahabatan kami dengan sendirinya bagai ikut berlalu pergi. Hubungan terputus sekian lama. Walaupun begitu, kenangan persahabatan dengan beliau tidak terpadam begitu saja, ianya tetap ada terpahat dalam ingatan ini. 

Sekarang, kami masing-masing tentunya sudah banyak berbeza setelah melalui pelbagai rencah pengalaman selepas meninggalkan zaman sekolah. Anak-anak pun semua dah besar.  Usia perkahwinan pun masing-masing dah menjangkau lebih 20 tahun. Kalau direnung-renungkan umur sebenarnya dah tinggal tak banyak mana. Moga saya dan kawan2 di peringkat usia saya sentiasa beringat-ingat tentang hakikat ini.  Moga sama-sama dapat menjadikan baki usia yang ada, terpenuhi dengan segala macam perkara yang baik... yang InsyaAllah dapat dijadikan asbab yang boleh membantu untuk hari akhirat kami...amin  


Sampai-sampaikan Ilmu Yang Bermanafaat

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah semasa sesi soal jawab di penghujung tazkirah malam tadi, saya ikut rai'kan suasana dengan menghantar satu soalan melalui sms kepada ustaz. Nombor telefon untuk penghantaran sms siap-siap diwar-war kan di awal kuliah.  "Salam ustad, Apabila kita sampai di masjid, azan baru selesai... mana lebih afdal, nak solat tahiyatul masjid ke atau nak solat kobliyah: Tkasih wassalam..."

Kata ustaz, "..kalau ada banyak masa, elok lah kalau buat kedua-duanya sekali.  Tapi mesti ikut turutan iaitu mesti dahulukan dengan solat sunat Tahiyatul Masjid dulu, baru diikuti dengan solat sunat kobliyah. Solat sunat Tahiyatul Masjid adalah dituntut untuk kita mendirikannya takkala kita masuk ke masjid sebagai tanda kita memberi salam bila masuk ke rumah Allah." 

Alhamdulillah, penerangan ustaz memperjelaskan lagi kefahaman saya terhadap saranan anak saya satu waktu dulu.  Waktu itu sesampai kami di masjid, azan Maghrib baru selesai berkumandang.  Kata kak ngah, "..Mama, kita terus solat tahiyatul masjid eh, tak payah buat kobliyah.."

Pernah dipost-kan tentang Solat Sunat Tahiyatul Masjid sebelum ini.. boleh klik di SINI.

__________________

Usai solat baadiyah selepas Isyak, semasa semua bergerak meninggalkan ruang solat, saya dan seorang lagi rakan masih duduk mendengar tazkirah pendek yang disampaikan oleh rakan jemaah kami. Beliau sampai-sampaikan ilmu yang dapat dari kuliah di surau berdekatan.  Katanya, ustaz pesan, jangan kita masih duk terikut-ikut dengan pegangan orang tua-tua dulu yang berpegang pada beberapa perkara kurafat contoh: 

  • Kalau rama-rama masuk rumah tandanya ada tetamu nak datang, 
  • kalau nampak kucing bersihkan mukanya pun kata ada orang nak datang, 
  • mata kanan berkelip tanda ada berita gembira, 
  • mata kiri berkelip tanda kita nanti akan menangis sebab akan berlaku perkara tak baik; dan macam-macam dongeng lagi. 
Semua itu sangat jelas mendatangkan syirik yang boleh membawa kepada terjejasnya aqidah kita dalam mentauhidkan Allah SWT.. nauzubillah... Maka awas, hati-hati jangan sampai kita ikut percaya dengan perkara sedemikian.

Dari surau lain pula, beliau sampaikan satu lagi pesanan ustaz agar dapat sama2 kita amalkan... Kata ustaz, ada 7 perkara yang perlu kita amalkan secara konsisten agar nanti Allah permudahkan bagi kita untuk dapat bertemu dengan Rasulullah SAW dan dapat nikmat minum air dari Telaga Kauthar di hari akhirat nanti... InsyaAllah...

7 perkara tersebut ialah:
  1. Solat Dhuha jangan tinggal
  2. baca quran mesti tiap hari
  3. sedekah mesti tiap hari, walaupun sebiji coklat, asal ada sedekah dari kita. Budak2 kan suka sangat kalau kita bagi coklat/gula-gula.
  4. seorang itu hatinya sentiasa ingat pada masjid, maknanya ahli masjid 
  5. solat sunat Subuh jangan tinggal di-ikuti Solat Subuh berjemaah (lelaki dituntut solat berjemaah di masjid/surau
  6. Perbanyakkan selawat dan Istighfar
  7. Solat Tahajjud jangan tinggal.

Alhamdulillah...moga sama2 dapat di-ambil manafaat dari ilmu yang disampai-sampaikan InsyaAllah.



Hati Yang Kasih


Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah bersyukur pada Allah, berterimakasih pada Allah atas nikmat Iman dan Islam.  Moga-moga beroleh kejayaan dalam hal mentaati Allah, moga-moga beroleh kejayaan dalam mentaati segala yang diperintah dan meninggalkan segala yang ditegah, menunaikan dari sekecil-kecil yang yang diperintah dan meninggalkan dari sekecil-kecil yang ditegah.  Moga-moga kita melakukannya semata-mata kerana Allah, tidak ada kerana harta, tidak ada kerana megah, tiada kerana hendak menonjolkan diri.  Moga-moga akan beroleh istiqamah, bertambah kasih pada Allah, semakin kenal Allah semakin kenal Rasulullah SAW.  Itulah kejayaan.
Belajar tauhid, maka InsyaAllah akan mentauhidkan Allah, gerunkan Allah, kasihkan Allah.  Moga-moga dapat letakkan agama di hadapan, nafsu di belakang.  

Juga bersyukur dengan nikmat ilmu dan amal.  Semakin belajar, semakin diberi ilmu InsyaAllah semakin nampak kelemahan diri.  Semakin belajar, semakin nampak diri tu jahil.  Amal yang  Allah anugerahkan, lihatlah bahawa amal itu anugerah Allah, elakkan ujub rasa bangga diri. Jangan kiranya kita, baru diberi alim sedikit, dah rasa diri hebat.

Moga-moga beroleh hati yang bersih.  Antara sifat hamba, kosong hati kecuali Allah. Kita semua sama saja, yang membezakan hanyalah tinggi taqwa di sisi Allah.  Jangan ada rasa kita pandai, dia tak pandai, kita banyak ilmu, dia tak ada ilmu.  Tonjolkan sifat tawadhuk dalam diri, serlahkan rasa rendah diri.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Begitulah intro ustaz di awal kuliah sebelum kembali menyambung bab Kasih Pada Allah berpandukan Kitab Penawar Bagi Hati, di m/s 91 baris ke empat dari atas. 

Kata ustaz, tanda-tanda seseorang itu kasihkan Allah ialah bilamana dia sentiasa mendahulukan agama dalam semua perkara dengan membelakangkan nafsu. Bila duduk dalam ibadah, makin lama makin terasa kemanisannya. Makin lama, makin manis, makin seronok.   Hati makin kasih bila lama duduk dalam majlis ilmu.

Makna kasih iaitu cenderung hati pada sesuatu...  Suka. Kalau ingin hati yang kasih, perlu mengasih, baru dikasih.  Kenal sesuatu maka akan timbul kasih.  Begitu juga dengan takut.  Bagaimana boleh takut pada Allah? Bila kenal Allah, maka datanglah takut pada Allah.  Kenal Allah, akan sifatNya, akan sempurnaNya, makrifatNya. Maka akan takut, timbul dalam hati perasaan gerun. Bila takut, seseorang itu akan cari jalan kasih.  Akan cenderung kasihkan Allah, baik perkataan, perbuatan dan hati. Akan sering bertanya dalam hati, "...gerakku ini, percakapanku ini, adakah akan buat Allah marah?" Di sinilah pentingnya ada ilmu. Bahayanya jahil boleh mengundang murka Allah, mengundang hina diri. Maka mari kita buang jahil, gantikan dengan ilmu.

Orang yang kenal Allah, dia sangat lebih bimbang jika Allah marah.  Marah makhluk, tak seberapa, abih-abih potong letrik kalau tak bayar bil.  Tapi kalau Allah marah, jika Allah tak bagi hujan..akan susahlah kita. Kalau Allah bagi hujan lebih pun akan susahlah kita.  Oleh itu bimbanglah terhadap murka Allah.  Jangan kiranya kita balik-balik takut pada makhluk. Dek takut pada makhluklah itu yang jadi, kata ustaz, ada yang dah jadi ulamak, namun masih jahat lagi.  Suluhlah diri, apakah alimku ini diterima Allah? Suluhlah diri bagi kita yang rasa diri dah pandai.  Jangan terus inginkan gelaran, nak sangat pada pangkat. Bila tak dikenang orang, rasa marah.  Sayang... sudah alim, sudah berilmu, namun tak rasa takut sedangkan Allah sedang melihat perlakuannya.  Apakah ilmu yang dimiliki dapat mendidik dirinya yang diberi ilmu itu? Suluhlah diri....

Kata ustaz, ada tujuh golongan manusia di akhir zaman iaitu:
1) Orang alim tetapi jahat
Baru diberi ilmu, dah rasa ujub. Dalam hati, rasa hebat aku, tinggi martabat aku dari orang lain.  Yang lebih parah lagi bila ada yang berani memutar-belitkan hukum.  
2) Alim tetapi fasik.  
Alim dah alim tapi masih mengekalkan dosa.  Tahu perkara tu tak baik, berdosa tapi masih lagi buat.
3) Menjadi penguasa tapi zalim
Tak kira siapa.. termasuk semua... contoh bapa yang zalim, guru yang zalim, boss yang zalim dsb.  Baru dibagi kuasa sikit, baru diberi kelebihan sikit, dah lain macam rasa.  Baru diberi kuasa imam sikit, dah tak boleh ditegur.
4) Jahil dan jahat
Orang yang tiada ilmu, bukan setakat dirinya saja yang jahat tapi ikut menghalang orang buat baik.  Contoh: Dia sendiri tak suka majlis ilmu, jadi dia nak orang lain pun ikut macam dia.  Jadi dihalangnya orang dari pergi ke majlis ilmu atau dicuba halang majlis ilmu dari berlangsung.
5) Alim tetapi tak beramal.
Ilmu yang dia dapat tak mampu beri perubahan padanya.  Dah belajar, dah ada ilmu tapi tak amal.  Jadi macam tu lah, sama saja, tak berubah.  Maka kekal dalam dosa dan tidak pula bertaubat.
6) Zahirnya beriman, batinnya kafir
Walau luarannya Islam tapi hakikatnya dia benci pada agama.  Bab ibadat boleh...solat boleh, puasa boleh, zakat boleh tapi bila sampai bab hukum, tolak. Tak boleh terima bila timbul soal hukum.  Ada yang tahap 50:50... yang suka ambik, yang tak suka tak ambik.  Kehendak lebih kepada mengikut hawa nafsu.
7) Tiada yakin pada Islam.
Orang yang macam ini, lebih yakin pada kafir.  Contoh: Rasa pakai tudung susah nak buat kerja.  Jadi pakai yang ikut yahudi, rasa lebih ringkas dan selesa masa kerja.  Ada pegangan yang  susah nak ubah sebab lama dididik dengan suasana begitu.. contoh: Kalau sihat, rasa Allah bagi sihat tapi bila susah sikit mula lah bersangka buruk kata ada orang buat sebab dengki. Itu bab penyakit, belum lagi cerita bab rezeki.  Berniaga yang selama ini untung tiba-tiba Allah uji jadi tak untung.  Terus cari sebab negatif pandai-pandai kata orang buat.."Patut la nampak macam tanah Kubur kat depan pintu kedai.." Contoh 2: Ibu dah terlantar sakit dua tahun tapi tak mati-mati, terus bersangka buruk kata, dalam badan ibu mungkin ada saka...  Ohh
______________________
Sambung ustaz lagi...
Dan bahawasanya tiap-tiap yang sedap itu dikasih akan dia.  Perkara yang mendatangkan kesedapan tentulah akan dikasih. Benda sedap di antaranya ialah makanan... Bila dah suka sesuatu makanan itu, tentu lah kena ada banyak.  Sikit mana cukup.  Begitu juga bila hendak berjumpa kekasih. Suka kan... Jadi mana nak sekejap sebab suka, mesti nak lama-lama. Maka dalam hal kasihkan makanan, kita berjaya.  Dalam hal kasihkan perempuan, kita berjaya.  Namun dalam hal ibadah rasa kasih ini kurang berjaya.  Kalau ada kasih, bila mengaji makin lama makin suka.  Tapi masalahnya dengan agama tak boleh lama-lama.  Sekejap je dah mula bosan.. contoh: Kuliah agama tak boleh lama, kalau lama sikit mula lah.." Eh eh..lamanya kuliah, bila nak berenti ustad ni? Dah dekat dua jam dah kot.." Allah nak uji kita sebab mengaji dah lama, nak tengok kita macamana.  Tapi dek kerana tak ada kasih, naik marah bila rasa lama sangat ustad bagi kuliah.  Itu tanda tiada manis dalam ibadah.

Sebaliknya kalau dalam bab main atau hiburan, lain jadinya... contoh: main badminton mana cukup satu jam, tak puas pula.  Kurang-kurang kena dua jam.  Kita ini, kalau dengan dunia dah berjaya namun dengan akhirat hakikatnya belum berjaya.  Nak tengok berjaya atau tidak kita dengan akhirat ialah bilamana... contoh: Rasa tak cukup dengan zikir di masjid, balik terus sambung zikir kat rumah, balik sambung baca quran kat rumah. Maqam wali-wali  kata ustaz, sentiasa rasa tak cukup walaupun dah banyak berbuat ibadah. Ibadah mereka sentiasa berterusan.  
Kata ustaz bila datang kasih, akan asyik teringat saja.  Jadi teringat-ingat... contoh: "Bila pulak nanti akan ada kuliah ni?", akan pasang niat "Balik rumah nanti, aku nak sambung ngaji quran", "Pagi esok nak datang kuliah subuh" dsb...
______________________
Alhamdulillah...kata ustaz, kita malam ni mengaji 3 baris ayat saja, tak apa sebab kita nak mengaji.  Kalau nak khatam, kita baca je lah kitab ni.. InsyaAllah boleh terus khatam.  Tapi sebab nak mengaji, tak apalah sikit pun.  Moga-moga ilmu dapat suluh diri.  Bila suluh diri, akan nampak lemah diri, lalu akan cuba atasi kelemahan diri.. InsyaAllah. Terimakasih ustaz.

Wallahu a'lam.

Hadiah Jubah Dari Mekah

Alhamdulillah... Makcik Kay dah selamat balik dari menunaikan Umrah. Masa makcik tak ada selama dua minggu memang rasa macam kehilangan la sikit.. pandang kiri kanan macam tercari2... padahal dah sedia maklum makcik kat Mekah. Huuu...ya lah selalu ada je makcik kat ruang solat. Ada dua tiga kali nampak makcik dalam mimpi... Congak2 haribulan, kira dari hari pertama makcik pergi + dua minggu.. Bila pasti makcik dah balik, saya pun mesej la bagi ucapan... "Makcik selamat pulang..:) :)"

Terus dapat reply: "Malam ni kita jumpa di misjit ok.. ada ole-ole dari Mekah...'

Ouhh hepi sangat.. rupa-rupanya dapat hadiah jubah yang cantik dari makcik malam tu.  Tenkiu..tenkiu..  Jazakillahu khoiron makcikkkk💌

Inilah jubahnya, alhamdulillah. Sangat cantik, kainnya dari jenis yang elok dan bermutu. Saiz jubah just nice..labuh sedang elok je dengan ketinggian saya.. Alhamdulillah. Bukan unuk saya je, untuk anak2 serta en suami saya pun makcik tak lupa. Anak2 saya pun dapat jubah manakala en suami dapat kopiyah. Allahu tqsm makcik...

InsyaAllah akan selalu dipakai jubah pemberian makcik takkala ke rumah Allah. Didoakan agar makcik diberi keluasan rezeki oleh Allah Taala serta sentiasa dalam keadaan kesihatan yang baik dan berpanjangan ...aamiin






Buat Amal Yang Terbaik

Bismillahirrahmanirrahim

Sedutan pengisian majlis ilmu...

Dikatakan bahawa godaan pertama yang iblis buat pada manusia ialah melalui mata. Iblis boleh menjadikan mata kita melihat maksiat itu indah. Contoh: Seseorang itu tetap suka memandang yang haram biarpun tahu ianya haram. Mata manusia mudah digoda. Jadi awas, mohonlah pada Allah agar dapat bantu kita mengawal diri, kerana sesungguhnya tiada daya dan upaya kita melainkan dengan pertolongan Allah. 

Usaha hindari maksiat.  Jangan hampiri. Elakkan langkah pertama kepada maksiat. Contoh: Allah tak kata, jangan berzina tapi Allah kata jangan hampiri zina. Maknanya kena jauhi. Jika buat dosa, kita telah menzalimi diri kita sendiri. Kata ustaz, contoh, dosa kita pada orang. Bila kita maki orang atau pukul orang, perbuatan itu hakikatnya bukan menyakiti orang tersebut sebaliknya ia telah menyakiti diri sendiri. Perbuatan itu telah menyebabkan diri kita akan dimasukkan ke dalam neraka. Itulah maknanya kita menzalimi diri kita sendiri. Perbuatan mungkar dan maksiat sebenarnya telah menganiaya diri kita sendiri bukan menganiaya orang lain. 

Firman Allah dalam Surah al-Israa ayat 7, yang bermaksud:
"Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga...." 

Maka, bila rasa berdosa, ambik peluang cepat2 minta ampun pada Allah. Jangan tangguh untuk minta ampun pada Allah. Mohon ampun dan minta kesian belas dari Allah untuk menyelamatkan kita dari api neraka.  Kita hari ini celik2 mata saja di pagi hari, dah buat dosa. Kalau buat dosa, kita ini macam tak menyesal sebab contoh; pagi tadi dah buat, petang buat lagi. Kita selalu dan sering mengulang-ulang buat. Sepatutnya kena ada rasa bersalah bila buat dosa. Kena menyegerakan taubat, tak tangguh taubat.  Jangan kata.."takpe la biar la dulu nanti tua baru taubat..." Kita tak tahu kita dapat sampai ke tidak pada usia tua itu. Dikhuatiri tak sempat tunggu sampai tua.  

Walaupun hakikatnya kita sering melakukan dosa namun kena ada kemahuan untuk bertaubat. Kita tak dapat lari dari dosa sebab kita lemah, tapi kita sentiasa diberi peluang oleh Allah Taala untuk bertaubat.  Maka kena selalu taubat. Perbaiki amalan kita. Kukuhkan amal kebaikan agar dipermudahkan untuk berterusan menerima hidayah dan taufik dari Allah Taala. Sentiasa berdoa agar Allah pelihara diri kita dari mudah terpedaya dengan maksiat. Doa agar tidak mudah tewas dengan hasutan syaitan, musuh yang nyata.

Yang dinilai oleh Allah ialah: 
(1) keikhlasan dalam amalan kita. 
Ambil perkara yang baik. Jangan ambil yang tak elok dalam beramal sebab Allah tak terima amal yang sebegini. Contoh: Kalau nak menderma pada orang, jangan lah kita derma barang yang dah tak berapa elok. Dah jadi perkara biasa dan berlaku di mana-mana iaitu bila ada nak bagi derma pada orang susah, habis clear satu bilik stor kita punggah baju-baju lama nak kasi orang.  Kata ustaz, eloklah bagi barang-barang baru. Belilah yang baru, bukan bagi barang yang dah kita pakai yang kalau bagi pada anak-anak kita pun dia orang tak nak pakai.  Beri yang terbaik pada orang, baru lah terserlah kemahuan untuk mendekatkan diri pada Allah. Kita beri pada anak yatim, hakikatnya kita beri pada Allah. Jadi ubahlah sikap agar tidak lagi beri barang-barang buruk. Kalau nak bantu bagilah duit boleh diaorang guna, kalau nak bagi barang berilah barang yang baru.  Barulah nampak kita ini ikhlas pada Allah Taala.

(2) Pelaksanaan amal itu buat kerana takwa kepada Allah Taala. 
Contoh; Kita masuk 'korban'.  Janganlah kiranya kita masuk korban itu sebab nak menunjuk-nunjuk ada nama dalam list orang yang melakukan ibadah korban di papan kenyataan. Ini beramal bukan sebab takwa tapi beramal untuk nak dapat nama di kalangan sesama manusia. Contoh lagi: Bila buat tahlil di masjid, rasa marah bila pengerusi masjid tak sebut nama kita sebagai orang yang buat tahlil malam tu. Nak sangat nama disebut2 dan dikenali bila buat perkara kebajikan.

Dari Zaid bin Thabit r.a berkata: saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Jika matlamat seseorang itu adalah dunia maka Allah SWT akan memporak perandakan urusannya. Yakni Allah SWT akan menyusahkannya di dalam segala urusan (rasa khuatirkan) kemiskinan terbayang-bayang dihadapan matanya, dan dia akan mendapat dunia hanya sekadar apa yang telah ditakdirkan untuknya. Dan sesiapa yang niatnya adalah akhirat, maka Allah SWT akan memudahkan urusannya dan Allah SWT akan menjadikan hatinya kaya, dan dunia akan datang dalam keadaan hina kepadanya. (HR Ibnu Majah)

Ustaz menceritakan riwayat sahabat iaitu Abu Darda ra yang katanya, '..kalau aku sembahyang, aku dapat rasakan sembahyang aku Allah terima...'
Dia dapat rasa Allah terima amalnya.. Subhanallah

Kita? Ada tak kita pernah terfikir perkara itu? Kita yang rasa kita dah lama solat, kita yang dah lama puasa, adakah kita begitu pasti Allah terima amal-amal kita.  Kena muhasabah diri, apakah Allah terima atau tidak amal kita yang hanya 'lebih kurang' itu. Kena mintak pada Allah agar terima amalan yang kita buat.  Kita yang hanya buat sekadar cukup-cukup makan saja amal, tak teringat pun nak mohon pada Allah agar Allah terima.  Kita yang mengaji lebih kurang saja ni, tak mintak pun pada Allah agar Allah terima amalan mengaji kita. Tu belum lagi sebut pasal 'ikhlas'... Sesungguhnya banyak compang comping dalam amal kita. Maka beringat-ingat lah..  Biar cenderung, biar ada tendency atau ambik kira untuk bermuhasabah diri tentang adakah Allah terima atau tidak amal yang kita kerjakan. Moga Allah terima. Lebihkan usaha agar Allah dapat terima.

Mari kita kukuhkan azam untuk buat yang terbaik dalam amal kita, biar ikhlas kerana Allah Taala bukan sebab lain. Buatlah bersungguh-sungguh untuk memburu kebaikan di akhirat, bukan buat sekadarnya saja, bukan hanya buat cukup-cukup makan sahaja. Jangan biar diri kita kekal dalam amal yang tak seberapa dan yang tak banyak mana. Tambahkan kuantiti, mantapkan kualiti. Buat yang terbaik agar Allah terima amal kita, Allah limpahkan rahmat serta memasukkan kita ke dalam Syurga-Nya...amiinn.

Wallahu a'lam.


Khasiat Pisang

Alhamdulillah di pagi Jumaat ini nak kisahkan sikit pasal pisang. Semasa kami singgah makan2 di cafetaria uia dua hari lepas, anak saya oder jus pisang. Ya Allah..tak sangka sangat sedap rupanya rasa jus pisang kat sini.  

Terus fikiran melayang teringat ada dulu seorang kawan saya (chinese) pernah rekemen suruh selalu minum minuman tu. Baik untuk kulit, katanya. Patut la kulit Jenny sangat bersih dan cantik.. rupa-rupanya minuman berkhasiat iaitu jus pisang campur yogurt konsisten menjadi sarapannya setiap pagi. Semangat la kejap untuk ikut praktikkan amalan Jenny, tapi lama2 lepas tu dah jadi terlupa pasal jus pisang.. Ohohh...

Ok lah InsyaAllah lepas ni boleh selalu blend pisang buat jus... tapi untuk buat jus pisang rasanya sangat sedap kalau pakai pisang berangan je kot..:) Pisang berangan original yang kampung punya boleh dibeli di pasar, pasar tani atau pasar malam. Kalau pisang berangan import tu atau lebih dikenali dengan Pisang Comel kita boleh cari kat Supermarket. Jus pisang sedap diminum sejuk, jadi sebaiknya terus diminum selepas diblend pisang, air masak sejuk, sesudu besar plain yogurt, sesudu madu dan sedikit ketul ais. 

Dikatakan banyak makan pisang selain dari menyihatkan kulit ianya dapat mengembalikan tenaga, menghilangkan keletihan, menghilangkan stress, meredakan tekanan darah tinggi, menghilangkan mual dan ia jua ubat yang mujarab untuk sembelit.. InsyaAllah.

Sebut pasal mengembalikan tenaga dan menghilangkan keletihan, patut la en suami kata footballer luar negara dilihat ramai yang makan pisang time rehat sebelum masuk pusingan kedua. Tentunya untuk kembali cergas setelah banyak hilang tenaga di pusingan awal perlawanan... Wallahu a'lam.

Jom, kita rajin2 makan pisang. Semua tunjuk gambar pisang berangan je bila cerita pasal khasiat pisang. Kuatnya promosi untuk pisang berangan ya.. he he.. Makanya kali ni saya tunjuk pisang emas la pulak ya.. Pisang emas setandan kat pokok di laman alhamdulillah dah masak. Satu sikat dah siap2 menguning kat pokok.. Alhamdulillah Segala Puji Bagi Allah...

Banyak kueh boleh buat pakai pisang ini selain dari dimakan begitu saja. Pisang emas setandan itu bakal dibuat cekodok pisang, lempeng pisang dan juga kek pisang InsyaAllah... 

Jadi Orang Yang Benar

Bismillahirrahmanirrahim

Sewaktu kaki melangkah keluar dari kereta, terdengar kata-kata ustaz dari corong speaker masjid..'...hati biar serupa dengan lisan. Apa yang disebut oleh lisan biar serupa dengan realiti..maka itu lah yang dinamakan benar.'

Ustaz menceritakan satu riwayat yang menyebut, ada seorang lelaki telah datang berjumpa Rasulullah SAW lalu mengadu..bahawa ada tiga penyakit (perangai tak elok) yang ada pada diriku iaitu; (1)tak boleh tengok perempuan, teringin (2)tak boleh lekang dari minum arak (3)suka menipu...serba serbi menipu.
Jadi aku nak minta nasihat dari mu ya Rasulullah tentang bagaimana cara untuk aku nak lepas dari terus melakukan perkara2 tersebut.
Maka Rasulullah SAW meminta dia untuk melakukan dua perkara iaitu: (1)lazimi benar (2)ingat agar jangan berdusta.
Bila pulang ke rumah, dia masih berhajat nak tengok perempuan. Namun dalam hatinya bimbang sekiranya dia masih melakukannya, apa dia nak jawab nanti bila ditanya Rasulullah SAW..sedangkan Rasulullah SAW sudah pesan agar dia melazimi benar dan jangan berdusta. Begitu juga dengan tabiatnya yang suka minum arak. Dia begitu teringin untuk minum lagi namun dia bimbang terhadap apa jawapan yang akan dijawabnya bila Rasulullah SAW bertanya padanya tentang perkara itu nanti...sedangkan Rasulullah SAW sudah berpesan agar dia melazimi benar dan jangan berdusta. Maka oleh kerana tidak mahu berdusta di hadapan Rasulullah SAW, maka kedua-dua perbuatan buruk tersebut berjaya ditinggalkannya. Dapat dilihat hikmah dalam riwayat tersebut bilamana Nabi SAW telah sentuh kalbu orang tersebut supaya bersifat benar agar terbit sifatnya menjadi orang yang benar dan tidak berdusta. Subhanallah...

Allah SWT telah berfirman dalam surah at-Taubah ayat 119 yang bermaksud : "Wahai orang-orang yang beriman! Patuhlah kepada Allah dan hendaklah kamu bersama-sama orang-orang yang benar." 

Orang-orang yang benar itu kata ustaz ialah para abid, ahli agama dsb.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Ahzab ayat 23 dan ayat 24; yang bermaksud:
"Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah...."

"Kerana Allah akan membalas orang-orang yang benar sebab kebenaran mereka."

Firman Allah dalam surah al-Kahfi ayat 28, yang bermaksud:
"Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredhaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah lakunya pula adalah melampaui kebenaran.'

Ustaz jelaskan tentang satu golongan sufi iaitu 'fuqoro' iaitu orang-orang yang hati mereka sentiasa berhajat pada Allah. Hati mereka fakir kepada Allah dan jiwa mereka sentiasa mengharapkan Allah Taala. Maka bila duduk dengan mereka ini InsyaAllah akan mendapat manfaat.

Sebagai nasihat di penghujung tazkirah, ustaz menyampaikan satu analogi yang datang dari seorang ulamak.. 
...dikatakan seorang lelaki itu bersifat aqli, dia bertindak dengan berfikir. Manakala seorang perempuan itu bersifat perasaan. Mereka merupakan dua makhluk berbeza.  Maka bila dipertemukan sebagai suami-isteri, kedua-duanya perlu ada tolak ansur dan tidak boleh saling mempertahankan sifat masing-masing. Jika suami tetap dengan sifatnya maka yang dia mahukan tentulah seorang wanita yang super-woman.. yang boleh buat semua kerja dengan sempurna, tak boleh ada yang kurang. Sebaliknya jika si suami dapat menyelami perasaan isteri barulah akan mampu wujud rasa kasih sayang dan belas kasihan pada isterinya yang juga ada masa dan ketikanya merasa penat dan tidak terkejar dalam menguruskan rumahtangga.
Kata ustaz, lelaki kena menyelami perasaan, barulah InsyaAllah dia boleh hidup lama dengan isterinya..tanpa huru hara. Jika berlaku sebaliknya, keluarga tidak akan aman malah dari situlah akan timbul bibit-bibit perpecahan sehingga terjadinya cerai-berai. Dari hubungan perkahwinan dua makhluk berbeza itu maka akan lahirlah hasilnya iaitu zuriat. Tiada perkahwinan yang tidak ingin pada zuriat. 

Begitulah ibaratnya dengan hasil yang perlu diterbitkan dari dalam diri seorang hamba Allah. Hasil dari beriman dengan Allah, biarlah terbit dari iman itu, amal. Allah nak orang yang produktif yang boleh menghasilkan amal. Allah nak tengok dari seorang hamba itu lahir amal-amal soleh. 

Jangan kiranya kita nampak cantik pada zahir sahaja sedangkan batin tidak cantik. Jika amal elok tapi hati tak bersih maka dikatakan tidak lah seseorang itu dapat masuk ke syurga Allah. Disebut bahawa kita tidak dapat masuk ke dalam syurga jika Allah tak rahmat pada kita...nauzubillah. Jelas bermaksud bahawa kita tak boleh bergantung hanya dengan amal semata-mata sebab boleh jadi juga amal kita walaupun banyak tapi banyak pula yang tidak betul dari amal yang kita buat itu. Dan dikatakan juga bahawa walau banyak mana sekalipun amal yang kita buat tetap tidak terbayar oleh kita dengan nikmat Allah yang begitu banyak buat kita. Contoh nikmat sebutir mata pun tidak terbayar dengan amal yang kita buat.

Dari Jabir r.a katanya, dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:”Bukan amal seseorang yang memasukkannya ke syurga atau melepaskannya dari neraka, termasuk juga aku, tetapi ialah semata-mata rahmat Allah SWT belaka.” (Riwayat Muslim)

Allah nak suruh kita bergantung dengan-Nya bukan dengan amal semata-mata. Allah terima amal dari orang-orang yang bertaqwa, orang yang selalu beringat yakni selalu berhati-hati dalam perkataan dan tindak-tanduknya. Perlu sentiasa ada usaha yang bersungguh-sungguh dan seimbang dalam memperbaiki amalan agar hasilnya elok lahir dan batin. Dalam kita melakukan ibadah, sering tidak lepas dari diganggu manusia, diganggu pelbagai dugaan dan juga halangan. Maka dari itu kita sebagai seorang hamba sesungguhnya begitu mengharapkan rahmat Allah agar beroleh kekuatan dalam mengingati Allah dan melakukan amal-amal soleh. Semoga kita termasuk di kalangan orang-orang benar yang sentiasa mendapat keluasan rahmat, pertolongan serta keampunan dari Allah Taala..ameen..

....................................

Dipetik kata-kata seorang imam...
Pertama-tama sikap benar, ialah tidak berdusta dalam segala tutur-bicara. Perlu benar dalam segala amalan dan niat serta dalam semua tingkat dan maqam. Benar dalam amalan ialah menetapkan diri padanya serta membuatnya dengan cara yang paling baik, sempurna dan berhati-hati dengan sekadar kemampuan serta kemuncak usaha dan bergiat kerana Allah Taala lahir dan batin. Muraqabah (berhati-hati) maksudnya merasakan amat dekatnya Allah Taala kepada seseorang hamba di sepanjang masa, dan bahawasanya Allah Taala sentiasa bersama-samanya, meliputinya, menelitinya, mengawasnya serta melihatnya. 

Firman Allah Taala dalam surah al-Ahzab ayat 52 yang bermaksud:
"Dan Tuhan itu adalah Penjaga segala sesuatu."

Firman Allah dalam surah Qaf ayat 16 yang bermaksud:
"Dan Kami telah mencipta manusia, dan Kami mengetahui apa yang dibisik oleh hatinya.  Dan Kami lebih dekat kepadanya dari urat lehernya sendiri."

Firman  Allah Taala dalam surah al-Hadid ayat 4, yang bermaksud:
"Dan Dia sentiasa bersama kamu di mana kamu berada, dan Allah itu melihat apa yang kamu kerjakan."

Muraqabah, atau mengawas diri itu adalah dari maqam ihsan.  Barangsiapa yang meneliti dirinya dengan sifat muraqabah, niscaya akan membuahkan perasaan gentar dan takut kepada Allah Taala, serta malu kiranya Allah melihat dirinya melakukan sesuatu yang dilarang Allah, atau tidak membuat sesuatu yang diperintahNya, atau pun merasa berat untuk mengerjakan sesuatu ketaatan dan merasa malas untuk menunaikan sesuatu ibadat, ataupun membelakangi khidmat kepada Allah Taala serta lalai dari mengingatiNya dan berbakti kepadaNya.


Wallahu a'lam.


Resepi Gulai Kawah

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh...

Nak kongsi resepi Gulai Kawah, yang sangat sedap lagi menyelerakan. Cara buat gulai kawah kali ini agak berbeza dengan cara yang buat sebelum2 ini. Kali ini ikut cara seorang kenalan yang memang begitu berpengalaman dalam bab gulai kawah ni.  Beliau dah kira expert la masak gulai kawah ni  sebab tiap hari memang bukak gerai meniaga nasi dan lauk-pauk kelantan di mana salah satu menu popularnya ialah Gulai Kawah.  Ramai yang singgah dikedainya sebab teringat-ingat akan dua menu,  kalau bukan nasi kerabu, gulai kawah lah jawabnya.

Alhamdulillah beliau telah kongsikan cara bagaimana dia memasak gulai kawah..terima kasih bbanyok..didoakan moga sentiasa dikurniakan keberkatan rezeki buat beliau...aamiin

Gulai Kawah cara tersebut dah selamat saya cuba buat, alhamdulillah ternyata berbeza rasanya dengan gulai kawah yang biasa dibuat sebelum ini. Yang buat kali ini.. sebijik rasa macam gulai kawah yang makan time kenduri kat Kelantan... :)) Alhamdulillah..




RESEPI GULAI KAWAH
Bahan:
Daging cincang 1/2 kg
Santan pekat 1 cawan
Air masak secukupnya
bawang merah besar 2 labu
bawang puteh 3 ulas
halia 2 inci
lengkuas 5 hiris
kunyit hidup 1 inci
serai 2 batang
cili kering 5 tangkai
rempah gulai darat 2 sudu besar
rempah kerutup 1 sudu kecil
air asam jawa
nise 1 - 1   1/2 keret(sama fungsi ngan gula merah/gula melaka. kalau takde gula biasa pon boleh)
garam buku

Cara masak gulai kawah:
1)Daging cincang direbus hingga empuk. Bawang merah dan bawang puteh dicincang halus. Cili kering direndam kemudian dimesin dengan halia, lengkuas, kunyit hidup dan serai.

2)Tumis bawang merah dan bawang puteh.  Bila dah agak kekuningan dan wangi, masukkan bahan yang dimesin.  Masak sampai sebati dengan minyak.  Kemudian masukkan rempah gulai darat serta rempah kerutup tadi.  Kacau-kacau biar jangan hangit.  Masukkan sedikit air untuk mesrakan kesemuanya. Biar rempah betul-betul masak dan bertukar warna jadi agak gelap sedikit baru masukkan daging beserta dengan air rebusan daging.  Masak dengan api yang kecil.

3) Masukkan santan. Tidak lama lepas tu masukkan air asam jawa. Terus memasak dengan api yang kecil. Akhir sekali perisakan gulai dengan nise serta garam. Alhamdulillah dah siap pun gulai kawah. Sangat sedap makan dengan nasi putih atau boleh juga kalau nak gandingkan makan dengan Nasi Minyak👍👍
Resepi nasi minyak ada di sini

Sekian dulu. Jom kita bergulai kawah. Wassalam.

Nasi Kerabu Orang Kelantan

Alhamdulillah pagi ini dapat breakfast nasi kerabu yang lebih buat dinner malam tadi. Makan nasi kerabu tu dengan keropok keping dan ayam bakar. Alhamdulillah dah ok sangat dah rasa walaupun takde kawan-kawan rapat dia terutamanya solok lada dan telor masin... :)

Nasi kerabu kaler biru ini kami panggil 'nasi kerabu ite' sebenarnya. Ite tu hitam. Sesuai dengan namanya sepatutnya kaler dia kena gelap lagi.. yang saya masak kali ini agak cegho(cair) sikit kaler.. he he
Kena petik lebh sikit bunga telang/bunga nasi kerabu tu, barulah dapat kaler nasi yang betul2 kaw punya... biru yang betul2 gelap.. yang tu baru betul 'nasi kerabu ite' orang kelantan.. ha ha

Alhamdulillah, pokok bunga telang kat laman makin merimbun.. Dah menjalar merata-rata dah.. abih ikut dipautnya pokok-pokok lain yang duduk dekat-dekat dia.. ish ish..
Kisah pokok bunga nasi kerabu ada di sini..


Tentunya ramai yang suka makan nasi kerabu. Jom kita pakat buat....

RESEPI NASI KERABU ITE

Tumis Budu
2 cawan santan
5 ulas bawang merah ditumbuk
1 ulas bawang puteh ditumbuk
1/2 inci halia ditumbuk
5 tangkai cili kering ditumbuk
1 batang serai diketuk
sedikit belacan
nise
garam
asam keping 1
Budu setengah cawan
Cara:
Jerang santan jangan sampai pecah minyak, kemudian masukkan bahan-bahan lain. Masak sampai likat dengan api yang kecil..

Sambal Nyior((kelapa) Nasi Kerabu
setengah biji kelapa disangai hingga gelap warnanya 
9 biji lada hitam
5 ulas bawang merah
1/2 inci halia
1 batang serai
1 ekor ikan kembong yang besar(dibakar/rebus)
nise 1 karet
garam
Cara: Tumbukikut turutan iaitu bermula dengan lada hitam, diikuti dengan bawang, halia, serai, kelapa dan ikan. Perisakan dengan nise dan garam. Lenyek2kan biar sebati.

Sambal lada Nasi Kerabu
Cili api dimesin dengan sedikit air. Perisakan dengan cuka, garam dan gula.

Ulam
kacang panjang
daun kesum
kacang cambah/taugeh
timun batang
bunga kantan
serai
Cara: Kesemua ulam dimayang halus kecuali taugeh.

Nasi:
beras 3 pot
air 3 pot
bunga telang 25 kuntum 
daun limau purut 3 helai
serai 1 batang
Cara: Hancurkan bunga telang dengan sedikit air, tapis.  Tanak nasi macam biasa, masukkan pati dari bunga telang, daun limau purut dan serai yang diketuk.

Nasi Kerabu Ite enak dimakan dengan mana2 lauk sampingan seperti ayam bakar, daging bakar, ikan percik, ikan celup tepung, solok lada, telor masin dan keropok keping.
Selamat berhujung minggu..wassalam.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...