Bismillahirrahmanirrahim
Firman Allah Taala yang bermaksud:
"Wahai orang-orang beriman! Telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat sebelum kamu, moga-moga kamu bertakwa."
Surah al-Baqarah ayat 183.
Boleh jadi puasa yang kita buat boleh datangkan hasil dan boleh jadi juga puasa kita tak dapat datangkan hasil sepertimana yang diharapkan. Yang tak datangkan hasil bermaksud tak boleh membawa ketakwaan dalam diri kita. Bimbang jika puasa kita tak diterima oleh Allah Taala. Dikhuatiri hanya beroleh lapar dan dahaga walaupun kita berpuasa di sepanjang siang harinya.
Tingkatan puasa ini disebut sebagai puasa orang-orang awam yang berpuasa iaitu menahan diri dari tidak makan dan minum serta tidak melakukan perkara2 yang membatalkan puasa namun kita tidak berjaya menjaga mulut, mata, telinga dan aggota badan yang lain semasa berpuasa. Mata kita melihat perkara maksiat, mulut kita masih berkata dusta, mengata orang dan sebagainya.
Tingkatan puasa yang kedua ialah puasa yang khusus di mana kita bukan sekadar puasa makan dan minum, tak bersama pasangan namun anggota badan kita juga ikut berpuasa. Mulut, mata, telinga, kaki dan tangan berjaya dikawal dari melakukan perkara yang mengundang dosa.
Tingkatan puasa yang ketiga ialah puasa yang khusus dalam khusus di mana bukan hanya tak makan dan tak minum, tak bersama pasangan, tak lakukan perkara yang boleh datangkan dosa namun berjaya menjadikan seluruh rangkaian kehidupan menjurus kepada Allah Taala. Diri hanya melakukan perkara yang diredhai Allah.
Barangsiapa yang berpuasa di atas dasar keimanan dan kehambaan kepada Allah, maka berolehlah dia puasa atas dasar keimanannya. InsyaAllah akan di-ampunkan baginya atas apa-apa dosa yang dilakukannya. Dikatakan samada dosa itu kepada Allah dan jua dosa sesama makhluk. InsyaAllah dosa akan di-ampun.
Bersabda Rasulullah SAW:
"Siapa berpuasa Ramadhan dan berjaga malamnya dengan penuh kepercayaan dan ketulus-ikhlasan, nescaya diampumkan segala dosanya yang telah lalu."
Maka kata ustaz, ambillah peluang ini. Jangan kiranya Ramadhan berlalu meninggalkan kita tanpa kita mengambil manafaat dari kelebihannya yang begitu banyak.
Nafsu mesti ditundukkan. Bulan ramadhan adalah bulan untuk menundukkan nafsu. Antara sebab puasa kita tak boleh sampai pada ketakwaan ialah disebabkan sikap kita. Tahan nafsu dari gemar pada perkara-perkara lagho. Seseorang itu nanti akan dibangkitkan di akhirat kelak dengan apa yang dia kasihi. Kalau kasih dengan ulamak, maka akan bangkit nanti bersama dengan ulamak InsyaAllah. Kalau kasih pada api, bangkit nanti dengan api.
Moga di-anugerahkan kekuatan buat kita mengharungi ibadah puasa. Jaga puasa kita. Jauhkan diri kita dari melakukan perkara yang dimurkai Allah. Elakkan diri dari meng'sengajakan' melakukan perkara yang dimurkai Allah. Jaga potensi diri agar mampu meraih keredhaan Allah.
Sabda Rasulullah SAW:
"Puasa itu adalah pelindung dan benteng yang kukuh dari api neraka."
Wallahu'alam.
1 comment:
Jangan main api atau bunga api. Kalau kasih pada api, bangkit nanti dengan api.
Post a Comment