Ciri-ciri orang bertakwa

"Fikir apa benda kita nak bawak ke akhirat... cari bekalan yang boleh bawak ke akhirat... sibukkan diri untuk menyediakan bekalan ke akhirat ", kata seorang hamba Allah

Mengimbas pesanan seorang lagi hamba Allah....
"Pertama: Kena kenal Allah,jangan kita solat tapi tak kusyuk sebab kita sekadar tunaikan solat.  Sebab tu kena dirikan solat;  jaga tertib, tajwid, faham makna bacaan, jaga hukum solat. Dari situ kita akan fokus dalam solat, maka tak sempat nak fikir perkara lain sebab kita tumpu perhatian dalam solat.  Hidup lama di dunia tidak bermakna apa-apa jika tiada usaha untuk belajar mengenal Allah.  Untuk menjadi orang yang berjaya, jaga solat fardhu, tambahi dengan solat sunat, ngaji Quran, tambahi dengan banyak zikir pada Allah.  

Kedua: Kena hati-hati apa yang kita cakap.  Kalau rasa beri manafaat, cakaplah.  Tapi jika fikir ianya akan datangkan mudharat, baik jangan cakap. 

Ketiga: kita akan dibangkitkan di hari akhirat nanti.  Setiap apa yang kita lakukan semasa di dunia tidak akan terlepas, semua akan diberi balasan oleh Allah."

>>>>>>>>>>>>>
Ustaz dalam kuliah Maghrib malam tadi pula menjelaskan....
"Kita baca al-fatihah sebanyak 17 kali sehari dalam solat fardhu 5 waktu.  Akan baca lebih lagi bila kita tambahi dengan dirikan solat sunat.  Dalam al-fatihah, kita mengulang-ngulang mohon suatu doa yang minta Allah tunjukkan jalan iaitu melalui ayat "Ihdinassirotol mustaqim" yang bermaksud 'Tunjukkanlah aku jalan yang lurus"

Bagaimana utnuk dapatkan jalan yang lurus?? Allah telah jawab pertanyaan kita yang mohon petunjuk dan hidayah itu dalam Surah al-Baqarah iaitu:
[1]
Alif, Laam, Miim.
[2]
Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;
[3]
Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.
[4]
Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab “Al-Quran” yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya).
[5]
Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya.



Telah disebut bahawa, orang-orang yang mulia di sisi Allah ialah orang-orang yang bertakwa.  Takwa dapat dicapai melalui kitab al-Quran yang diturunkan oleh Allah dan dengan apa yang diajar oleh Nabi SAW.
Seorang muslim itu bila dapat menghayati keluasan yang Allah beri, maka InsyaAllah akan dapat rasa agama itu indah. Contoh dalam soal berpakaian:  Pakaian yang ditetapkan bukan kemestian yang berwarna hitam.  Yang ditentukan oleh Islam ialah pakaian tersebut mestilah dapat menutup aurat, yang mempunyai ciri kebaikan dan yang lebih baik lagi jika dapat tambah dengan wangi-wangian.  Pakai wangi-wangian agar lebih selesa solat dan menimbulkan keselesaan juga buat makmum di sebelah-menyebelah kita.

Ilmu Allah begitu luas.  Kita sebagai manusia hanya mengetahui sebahagian kecil sahaja.  
Firman Allah dalam Surah al-Kahfi ayat 109 yang bermaksud:
Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan”.

Al-Quran adalah kitab.  Ia bukan surat kiriman.  Ia adalah kitab suci yang mengandungi semua perkara yang bersangkutan dalam kehidupan kita.  Al-Quran adalah lengkap sebagai pedoman hidup manusia.  Ia tidak mengandungi sebarang keraguan di dalamnya. Rahmat Allah terlalu luas.  Biarpun fitrah manusia sering melakukan dosa namun, bila tergelincir dan lalai... jadi insaf dan taubat. Lepas insaf, masih buat lagi dosa.  Berulang-kali kita buat silap, insaf balik lalu bertaubat...Allah Maha Pengampun.  Namun jangan lah sampai tidak timbul azam atau tiada sebarang usaha untuk kurang berbuat dosa.  Kena ada usaha untuk membaik-pulih diri, biar hari ini lebih baik lagi dari semalam.

Al-Quran menjadi petunjuk bagi golongan muttaqin.  Golongan muttaqin ialah orang-orang yang bertakwa yang sentiasa memelihara dirinya daripada perkara yang boleh mendatangkan mudharat buat dirinya di hari akhirat.

Bila mati, hanya takwa yang kita nak bawa.  Kita tak bawa perkara lain seperti perhiasan dunia yang berupa harta, wang ringgit mahupun anak dan isteri.  Orang-orang yang bertakwa sifat2nya beriman kepada perkara ghaib, mendirikan sembahyang dan infak di jalan Allah.   Orang yang bertakwa akan mendapat petunjuk dan beroleh kejayaan dunia akhirat.  Jiwanya besar dan tidak terkongkong oleh akal yang sempit.  Dunia menjadi jambatan buatnya untuk pergi ke akhirat. Segala harta dan kemahiran yang ada dalam dirinya digunakan sebaik mungkin untuk menjadi bekalan diri di hari kemudian. 

Sifat mukmin mestilah mempunyai iman yang menyeluruh. Membantu orang yang kesempitan amat dituntut tapi jika kita nak tolong orang yang susah, tolonglah dengan harta kita sendiri.  Jangan pula kita nak bantu orang tapi kita pergi guna harta orang lain untuk membantu orang tersebut.  Di sinilah pentingnya ada ilmu, kena faham agama baru setiap amal itu mampu terlaksana mengikut jalan yang betul. 

Semoga Allah memberi kefahaman ilmu dalam agama buat kita semua... ameenn.

Wallahu'alam.

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...