Tazkirah 9 Ramadhan - Adakah puasa kita dapat membentuk akhlak kita?

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, semoga kehadiran kita ke rumah Allah dapat dikira sebagai amal soleh yang ada nilaian di sisi Allah... ameen
Alhamdulillah telah selamat menjalani ibadah puasa selama 8 hari, di mana esok merupakan hari ke 9 kita berpuasa.  Semoga kita dapat terus berusaha menjaga tertib ketika mana berpuasa seperti memelihara lidah supaya tidak berdusta, mencaci orang, mencampuri urusan orang lain, mengekang mata dan telinga daripada mendengar atau melihat sesuatu yang tidak halal.  Seterusnya hendaklah menahan perut dari menelan makanan yang haram, atau yang syubhah.  Wajib berusaha mencari yang halal sebagai makanan berbuka puasa kita.  Hendaklah kita mengambil berat terhadap makanan berbuka kita dengan memperhatikan apa bendanya yang kita berbuka, di mana kita berbuka dan juga dari siapa makanan tersebut.

Orang yang berpuasa harus memelihara semua anggotanya dari berbuat dosa.  Dengan demikian InsyaAllah barulah sempurna dan bersih puasanya.  Betapa banyak orang yang berpuasa, berpenat lelah disebabka lapar dan dahaga, kemudian dia membiarkan anggota badannya terjerumus ke dalam maksiat.  Maka dari sebab itu, rosaklah puasanya dan sia-sia lah penat-lelahnya, sepertimana sabda Rasulullah SAW:
"Betapa banyak orang yang berpuasa, tiada mendapat sesuatu dari puasanya selain lapar dan dahaga."

Puasa sepatutnya dapat membentuk akhlak dan peribadi kita.  Bukan sahaja akhlak pada Allah malah akhlak terhadap sesama manusia.  Bila berlapar, kita boleh membentuk diri kita.  Akhlak Rasulullah SAW merupakan yang paling baik untuk kita contohi.  Rasulullah SAW menunjukkan kaedah berinteraksi yang baik dengan sesama manusia.  Ada riwayat yang menceritakan tentang bagaimana Rasulullah SAW telah menyuapkan makanan pada seorang Yahudi buta yang sering mencaci Rasulullah SAW.  Betapa akhlak Rasulullah SAW yang baik, telah membuatkan yahudi tersebut akhirnya telah memeluk Islam.

Ramadhan sepatutnya dapat melahirkan akhlak yang mulia di kalangan kita.  Jangan kiranya kita berpuasa namun kita pahala puasa kita terpadam hanya kerana disebabkan mulut kita menyakiti hati orang.  Berlaku di zaman Rasulullah SAW seperti diriwayatkan oleh Ahmad dan Hakim, dimana para sahabat r.a mengadu kepada baginda: “seorang wanita berpuasa di siang hari dan bersolat di tengah malam, tetapi sering menyakiti hati jirannya”.  Rasulullah SAW menjawab: “bahawa tiada kebaikan padanya, sesungguhnya dia akan masuk neraka."

Muhasabah diri kita.  Semak, adakah puasa kita dapat membentuk akhlak kita.  Semasa hendak berbuka, biar ada perasaan dalam hati tentang 2 perkara iaitu: Takut dan Harap.  Kena ada rasa takut dan bimbang Allah tak terima puasa kita.  Setelah itu kita haruslah menaruh harap agar Allah terima puasa kita... ameen

Usaha agar puasa kita dapat berhasil sebagaimana puasa orang-orang soleh. Jangan kita puasa.. puasa.. tapi tercela.. nauzubillah.  Usaha untuk jadi golongan yang berpuasa yang dekat dengan Allah... ameen
Wallahu'alam.

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...