Tanda-tanda Kekuasaan Allah

                                                 Malikul Mulk مالك الملك - 
                           Pemilik Kekuasaan/ Penguasa Kerajaan (Semesta); 
                                          The Owner of All Sovereignty

Bismillahirrahmanirrahim

Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 164

yang bermaksud:
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanafaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Dia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.

Dalam satu sesi Kuliah Maghrib, ustaz menceritakan tentang Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 164, di mana ustaz sempat mengulas sehingga point yang ketiga sahaja.  InsyaAllah akan disambung lagi pada kuliah-kuliah selepas ini.  Dan saya yang sampai agak lewat di masjid pula sempat mendengar penerangan ustaz tentang point pertama hanya sebahagiannya sahaja. Jadi tidak dapat dikongsi di sini ulasan untuk point yang pertama kerana saya tidak mendengarnya dari awal.

Tanda-tanda kekuasaan Allah sepertimana yang disebut dalam Firman Allah itu ialah:

1)Allah Ta'ala yang menjadikan langit dan bumi

2) Allah yang menggerakkan siang dan malam.
Cuba fikir, macam mana jadinya kalau Allah ubah sistem. Contoh Allah jadikan sistem pertukaran pada siang dan malam sepertimana keadaannya di kutub utara misalnya.  Bagaimana agaknya kita jika Allah jadikan malam 6 bulan, di ikuti dengan siang 6 bulan.  Bagaimana agaknya kita nak berbuka puasa.  Maka renung-renungkan, sesungguhnya kejadian siang dan malam yang kita kecapi ini adalah satu nikmat Allah yang besar buat kita.  Di jadikan malam itu pakaian, waktu untuk berehat bersama keluarga, waktu yang baik untuk bermunajat kepada Allah manakala dijadikan pula siang untuk kita dapat keluar bekerja mencari rezeki.

Surah an-Nur ayat 44:
Allah menukarkan malam dan siang silih berganti; sesungguhnya yang demikian mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang celik mata hati nya berfikir.

Imam Ghazali rahimullah telah menerangkan: Sebagai orang Islam yang beriman kepada Allah, dalam kita memenuhi hari, cuba kita penuhkan hari itu dengan melaksanakan empat perkara iaitu:

  • Menuntut Ilmu
Ada masa, cari lah ilmu.  Contoh: Ikut kuliah samada kuliah Zohor, kuliah Dhuha, kuliah Maghrib dan sebagainya.  Adakan waktu untuk menuntut ilmu.  Majlis ilmu yang hebat dikatakan ada di Selangor sekarang ini.  Ada di tempat lain, tapi tidak sehebat di Selangor.  Alhamdulillah, dengan adanya banyak majlis ilmu, mudah-mudahan umat Islam dapat banyak kesedaran tentang agama Islam yang sebenar. Alhamdulillah kita bersyukur kerana di negeri tempat kita tinggal ini merupakan yang paling aktif dengan majlis ilmu.  Maka cubalah usaha untuk dapatkan ilmu.  Cari ilmu setiap hari.

  • Buat ibadah yang sunat
Peruntukkan masa untuk menambah amalan ketaatan kepada Allah dengan memperbanyakkan buat yang sunat.  Bersungguh-sungguh dalam menyempurnakan yang fardhu, tambahi dengan yang sunat. Laksanakan semampu mungkin.

  • Cubalah membantu manusia, laksanakan kebajikan samada terhadap jiran mahupun sahabat kita.  Biar seronok dapat bantu orang.

  • Mencari rezeki yang halal.

Bila kita laksanakan perkara-perkara ini dengan sebaik-baiknya, maknanya kita bersyukur dengan nikmat pengiliran siang dan malam yang Allah kurniakan kepada kita.
Wallahu'alam.


(3) Allah Ta'ala mengizinkan kapal belayar di lautan.
Ini tanda kekuasaan Allah yang ke tiga yang Allah sebut dalam ayat 164 Surah al-Baqarah itu. Mari rujuk Surah asy-Syura ayat 32 - 33 yang ikut menceritakan tentang tanda-tanda kekuasaan Allah.

[32]Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah kapal-kapal (yang besar tinggi) seperti gunung, belayar laju merempuh lautan.
[33]Jika Ia kehendaki, Ia menghentikan tiupan angin, maka tinggallah kapal-kapal itu terapung-apung di muka lautan.  Sesungguhnya yang demikian mengandungi tanda-tanda (yang besar pengajarannya) bagi tiap-tiap seorang (mukmin) yang sentiasa bersikap sabar, lagi sentiasa bersyukur.

Semua berlaku dengan izin Allah.  Orang yang tak beriman akan kata sesuatu perkara itu mungkin berlaku secara kebetulan, co-insiden.  Sesungguhnya tiada perkara yang berlaku secara kebetulan, kerana semua kejadian itu berada di dalam perkiraan Allah.

Wallahu'alam.

**to be continued


1 comment:

Anonymous said...

Renung & Fikir. Sudah tentu akan ketemu tanda-tanda kebesaran Allah di segenap sudut dan sejauh mata memandang. Teruskan Renung & Fikir.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...