Tazkirah 15 Ramadhan - Amalkan Sunnah

Bismillahirrahmanirrahim

Ustaz mengajak kita semua untuk menggandakan  amalan bagi mendapatkan takwa.  Bulan Ramadhan menyajikan banyak ruang dan peluang untuk kita berusaha meraih pahala InsyaAllah.  Di bulan Ramadahan ada terawih, ada tadarrus dan yang pasti masjid penuh sesak.

Tapi kenapa bila Ramadhan pergi, kita pun macam ikut pergi. Bukan pergi mati kata ustaz, tapi pergi tinggalkan semua amalan yang dah rajin dibuat di sepanjang Ramadhan.  Semua amalan dah jadi perlahan malah ada yang terhenti, mengaji terhenti, solat sunat terhenti, semua ibadah bagaikan hanya pulun dibuat time Ramadhan sahaja.  Bila Ramadhan pergi, dah tak nampak batang-hidung di masjid. Hanya beriya-iya datang ke masjid di bulan Ramadhan sahaja.

Kata ustaz, penting untuk kita masing-masing bermuhasabah diri.  Dengan amalan kita yang tidak istiqamah, berbuat taat hanya di musim2 tertentu sahaja, adakah layak kita ini nak masuk Syurga Allah. Ustaz bagi contoh sahabat ra di zaman Rasulullah SAW iaitu Bilal bin Rabah, seorang  yang berkulit hitam namun awal-awal lagi telah dilabelkan sebagai ahli Syurga.. Subhanallah..

Hadis Rasulullah SAW menyebut:
Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w berkata kepada Bilal:
"Hai Bilal, beritahukanlah kepada saya dengan suatu amalan yang paling engkau harapkan pahalanya serta yang engkau amalkan dalam Islam, kerana sesungguhya saya mendengar suara derap kedua terumpahmu di hadapanku di dalam syurga." Bilal menjawab: Saya tidak melakukan sesuatu amalan yang lebih saya harapkan di sisiku daripada kalau saya habis bersuci sesuatu sucian dalam waktu malam ataupun siang, melainkan saya tentu bersembahyang dengan sucianku itu, sebagaimana yang ditentukan untukku - yakni setiap habis berwudhu' lalu melakukan shalat sunnah wudhu'." (Muttafaq 'alaih)

Renung-renungkan amalan ketaataan yang dilakukan oleh para sahabat ra, yang begitu bersungguh-sungguh dalam mencari keredhaan Allah.  Kita hari ini, amatlah jauh jika nak banding dengan amalan orang yang terdahulu.  Tapi kita jangan putus asa, cubalah semampunya buat apa yang termampu.  Contoh: banyakkan berselawat ke atas Nabi SAW, amalkan... bukan payah pun sebenarnya.  Masa yang kita habiskan duduk depan TV sebenarnya lagi lama, tapi nak habiskan masa 10 minit sahaja untuk ucap selawatke atas Nabi SAW rasa panjang benar masa. Ingatlah bahawa, untuk nak masuk Syurga Allah, antaranya ialah melalui syafaat Nabi SAW yang jika kita ingin mendapatkannya mestilah melalui cara-caranya, bukan senang-senang begitu saja seseorang itu mampu beroleh syafaat Nabi SAW.

Hendaklah kita sentiasa menghidupkan dan mengamalkan sunnah Rasulullah SAW.  Setelah itu sampai-sampaikan pula ia kepada manusia lain.  Sunnah itu dalam istilah bahasa bermaksud jalan. Dalam istilah hadis pula ianya; samada perkataan atau perbuatan Nabi SAW.

Di antara yang termasuk dalam sunnah Nabi SAW ialah:
  • Majlis ilmu. Agama berteraskan ilmu.  Di dunia ialah tempat mencari ilmu.  Tanpa uzur syarie, maka tertanggunglah dosa kalau kita tak hadir di majlis ilmu kerana menuntut ilmu itu wajib. Ustaz bagi contoh majlis tazkirah yang berlangsung di antara solat terawih 8 rakaat, ada hambaAllah yang selepas selesai solat 4 rakaat terus cabut balik.  Rumah dekat, jadi bila agak-agak dah habis tazkirah, datang balik untuk sambung solat terawih lagi 4 rakaat. Semoga kita tidak termasuk dalam golongan orang yang berperangai sedemikian.
  • Berjemaah solat fardhu 5 waktu.  Amalkan sunnah, Nabi SAW tidak pernah tinggal solat berjemaah untuk solat fardhu 5 waktu.  Pahala solat seorang diri ialah 1 berbanding berjemaah sebanyak 27.  Jadi kenapa tak nak berjemaah? Mungkin sebab tak nampak pahala, kita rasa tak besar nilai pahala 27 yang Allah kurniakan.  Dek tak nampak, maka ianya dirasakan kecil walhal hakikatnya ia sangatlah besar bagi kita seorang hambaAllah.  Cuba kalau nilai 27 itu dijadikan benda, rasanya kata ustaz, tentu berebut orang datang nak berjemaah.
Antara fakta menarik yang dikongsi ustaz ialah:
-Kurma yang menjadi sunnah Rasulullah SAW mempunyai kehebatan yang sesuai untuk semua peringkat umur.  Dikatakan ada 1450 jenis kurma kesemuanya,wallahu'alam. Amalkan memakan kurma bukan setakat di bulan Ramadhan.  Jangan pula bila habis Ramadhan, dah tak jumpa kurma sebab kurma selalu makan waktu berbuka puasa.
-Kambing itu juga makanan sunnah.  Sesungguhnya pada kambing itu ada barokah.  Dikatakan susu terbaik di mukabumi ada 3 iaitu: susu ibu, susu kambing dan susu ikan paus.
Bangsa paling bijak dikatakan yahudi.  Mereka lah pengamal susu kambing sejak dulu namun mereka perkenalkan/iklankan pada umat Islam yang sebaliknya iaitu susu lembu. Jadi awas dengan agenda mereka. Susu kambing baik untuk minda.  "Bertukarlah dari susu lembu kepada susu kambing", kata ustaz.

Dari Ibnu Abbas r.a berkata, Rasulullah saw bersabda : Barangsiapa berpegang teguh pada sunnahku ketika rusaknya umatku maka baginya pahala 100 orang mati syahid. (HR Baihaqi)

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa berpegang dengan sunnah-sunnahku ketika dizaman rosaknya ummatku baginya adalah ganjaran syahid (di jalan Allah). (HR Tabrani)

Apakah kecintaan kita pada Rasulullah SAW sudah mencapai tahap yang selayaknya bagi kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW? Mari sama-sama muhasabah diri.

Wallahu'alam.

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...