Jangan Sakitkan Hati Orang

Bismillahirrahmanirrahim

Terngiang-ngiang kata-kata tuan imam yang berpesan semasa sesi kuliah Maghrib: "Tuan-tuan, kalau kita rasa perbuatan kita itu baik untuk akhirat kita... buatlah..."

Selagi masih hidup di atas dunia, kita buatlah perkara-perkara yang mana boleh membantu diri kita di hari akhirat nanti.
Kata ustaz, antara sifat orang yang nak jauhkan diri dari neraka Allah ialah sentiasa:
  • bermanis muka
  • tidak mengumpat-ngumpat
  • bila bercakap dengan orang, orang tak sakit hati.  
Perkataannya tidak sakitkan hati orang.  Jangan kiranya kita bila bercakap sikit, asyik nak pancung orang saja.  Lidah kena jaga. Pelihara lidah. Lidah boleh bawa kita ke Syurga dan lidah juga boleh membawa kita ke neraka. Lidah begitu berperanan untuk nak dapatkan dosa paling banyak, lidah juga berperanan bagi mendapatkan pahala paling banyak.

Kata ustaz, bergaullah dengan orang-orang yang baik, yang lemah-lembut, senang bicara dan tidak mudah marah.  Bila kita bercampur dengan masyarakat, jangan jadi orang yang buruk perangai.  Bila orang puji kita, senyumlah. Bila orang marah pun, kita senyumlah.  Biar sentiasa cool gitu... Biar sentiasa senang bicara, orang nak minta tolong kita pun rasa mudah, orang tak rasa kita ni jenis susah nak tolong.

Wallahu a'lam.

..............................
Allah Ta'ala berfirman:
"Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang mu'min, lelaki atau perempuan, tanpa adanya sesuatu yang mereka lakukan, maka orang-orang yang menyakiti itu menanggung kebohongan dan dosa yang nyata."  (al-Ahzab: 58)

Allah Ta'ala berfirman pula:
"Celaka - atau neraka wail - bagi setiap orang yang suka mengumpat serta menista."   (al-Hujurat: 1)

Dari Abu Hurairah ra bahawasanya Nabi SAW bersabda: "Cukuplah seseorang itu memperoleh kejelekan apabila ia menghinakan saudaranya sesama Muslim."   (HR Muslim)

Dari Abdullah bin 'Amr bin al-'Ash radhiallahu 'anhuma, katanya: "Rasulullah SAW bersabda:
"Seorang Muslim itu ialah orang yang kaum Muslimin lain-lain selamat dari gangguan lisan dan tangannya - yakni selamat dari kekejaman perkataan dan perbuatannya.  Seorang muhajir - yang meninggalkan - ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah."  (Muttafaq 'alaih)

Dari Anas r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Bermudah-mudahlah dengan orang ramai, dan jangan menyusah-nyusahkan mereka. Berilah berita-berita gembira dan jangan datangkan rasa benci. (HR Bukhari)

Dari Abdullah bin 'Amr bin al-'Ash radhiallahu 'anhuma pula, katanya: "Rasulullah SAW bersabda:
Barangsiapa yang suka jikalau dijauhkan dari neraka dan dimasukkan dalam syurga, maka hendaklah ia di datangi oleh kematiannya dan di waktu itu ia dalam keadaan beriman kepada Allah dan hari akhir - yakni hari kiamat, juga hendaklah ia mendatangkan sesuatu kepada seluruh manusia yang sekiranya ia sendiri suka kalau sesuatu tadi didatangkan pada dirinya sendiri - yakni berbuat sesuatu kepada orang lain yang ia suka kalau hal itu diperlakukan pula atas dirinya sendiri."  (HR Muslim)

Dari Aishah r.ha meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya orang yang sangat dibenci oleh Allah ialah orang yang suka bertengkar. (HR Muslim)

Dari Abdullah Ibn Mas'ud r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati. (HR Tirmizi)

Dari Ibnu Mas'ud ra., katanya: "Rasulullah SAW bersabda: "Bukannya seorang mu'min yang suka mencemarkan nama orang, atau yang suka melaknat dan bukan pula yang berbuat kekejian serta yang kotor mulutnya."
Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan.

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW telah ditanya bahawa amalan yang manakah dengannya ramai manusia akan memasuki syurga? Sabda Baginda SAW: Takwa (takutkan Allah SWT) dan akhlak yang mulia. Dan Baginda SAW ditanya: Amalan apakah yang dengannya ramai manusia akan ke neraka? Lidah dan kemaluan (yang disalah guna). (HR Tirmizi

Dari Anas bin Malik r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Selama mana seseorang hamba itu tidak menjaga lidahnya, dia tidak dapat mencapai hakikat iman. (HR Tabrani)


.............................

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...