Bersihkan Gelas Sebelum Tuang Minuman

Bismillahirrahmanirrahim.
...sedutan pengisian ilmu..

Jika sering sebut nama orang-orang soleh, InsyaAllah turun rahmat Allah. Apatah lagi jika yang sering kita sebut itu ialah nama junjungan Nabi kita Nabi Muhammad SAW. Ulamak kata, untuk kita sampai kepada Nabi SAW, antaranya dengan jalan dakwah. Mengajar(taklim) adalah dakwah yang paling bermanafaat.

Apa-apa yang berkaitan dengan ilmu, ia adalah mulia. Orang alim itu
sangat mulia di sisi Allah. Orang yang menuntut ilmu, dari ilmu itu
mulia maka orang itu menjadi mulia. Martabat penuntut ilmu sangat mulia maka jagalah martabat itu. Malaikat melebarkan sayapnya bagi penuntut ilmu. Sesiapa yang mudahkan jalan menuntut ilmu, Allah mudahkan jalan baginya menuju Syurga.  Oleh itu, taklim adalah pekerjaan yang sangat mulia di sisi Allah Taala.

Ilmu yang benar adalah ilmu yang bermanafaat dengan jalan mengajar dan belajar. Sesungguhnya ilmu didapati dengan jalan belajar. Tidak
diambil ilmu itu melainkan dari alim ulamak. Maka apa saja yang
berkaitan dengan ilmu, menjadi mulia. Majlis ilmu itu adalah mulia. Ia sama dengan kebun-kebun syurga. Majlis zikir, majlis ilmu sama tarafnya dengan kebun-kebun syurga. Ilmu yang tahqik akan membawa manusia ke jalan yang benar.

Dari Anas bin Malik r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: apabila kamu melintasi taman-taman syurga maka nikmatilah
keindahannya. Para sahabat bertanya apakah taman-taman syurga itu wahai Rasulullah? Baginda SAW menjawab: Majlis-majlis zikrullah. (HR Tirmizi)

Dari Abdullah bin Amr r.a berkata: Aku bertanya; Wahai Rasulullah!
Apakah ganjaran majlis zikrullah. Baginda SAW menjawab: Ganjaran bagi majlis zikrullah adalah syurga, adalah syurga. (HR Musnad Ahmad,
Tabrani, Majma Uz Zawaid)

Maka beruntunglah orang yang belajar, orang yang mengajar dan orang yang duduk dalam majlis ilmu. Majlis cinta rasul umpamanya ialah majlis yang membawa kepada sesuatu yang cukup berharga bila yang di-ingati itu, insan yang cukup mulia. Hendaklah kita sentiasa memperbanyakkan menyebut sifat-sifat Nabi SAW agar dapat membersihkan hati.
Tempat yang hendak dirawat ialah hati. Beri kemantapan pada hati kita lebih-lebih lagi sekarang hati manusia banyak yang goyang, yang dikhuatiri akan bersarang penyakit hati.

Riwayat menceritakan tentang seorang yang tak ada hasad dalam hatinya telah bertanya, "Ayah, ada ke orang yang hasad dalam dunia ini? Subhanallah, betapa bersih hatinya sehingga dia percaya semua orang berhati bersih..
Sebaliknya bagi orang yang ada penyakit dalam hatinya, dia mahu orang lain pun ada penyakit macam dia. Pertanyaannya akan jadi berlawanan.."Ada ke orang yang tiada hasad dalam dunia ini?"

Maka, tanya diri kita, sejauh mana hati kita bersih?
Bersihkan dulu jiwa, baru dimasukkan ilmu yang didalamnya hikmah. Begitulah orang yang belajar. Orang yang mendapat ilmu tanpa hormat gurunya; contoh, maka dikhuatiri ilmu yang didapati tidak bersih serta tiada barokah. Ibarat nak tuang air ke dalam bekas minuman, kena pastikan dulu bekas itu bersih agar air yang dituang ke dalamnya tidak menjadi kotor dek bekasnya yang berselut. Bekas atau gelas tersebut sama seperti hati kena bersih terlebih dahulu.

Jelas, perkara utama yang perlu di-beri perhatian ialah penyucian
jiwa. Zikir kepada Allah itu adalah penyucian jiwa. Zikir tak
terbatas. Dengan sering berzikir kepada Allah, akan berikan keimanan yang meningkat, ketenangan terhadap iman, kebersihan pada jiwa.. Aamiin..

Wallahu a'lam.

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...