Kurnia bagi orang yang menjaga Solat Berjemaah

Bismillahirrahmanirrahim

Ustaz malam tadi dalam majlis ilmu telah menceritakan bahawa... Pada hari kiamat kelak Allah swt akan himpunkan suatu kaum yang wajah-wajah mereka bercahaya seperti bintang di langit. Para malaikat bertanya kepada mereka 'Apakah amalan kamu sewaktu di dunia?' Mereka pun menjawab, 'Kami dahulu semasa di dunia takkala mendengar seruan azan kami terus bangun, bersuci dan tidak mengendahkan lagi pekerjaan lain.' Kemudian terdapat pula suatu kaum yang dibangkitkan dengan wajah seperti bulan yang penuh atau bulan purnama. Apabila ditanya mereka menjawab, 'Semasa hidup di dunia, kami telah berwuduk sebelum mendengar azan.' Ada pula suatu kaum yang lain yang dihimpun di mana wajah mereka bercahaya seperti cahaya matahari. Para malaikat bertanya lalu mereka menjawab: "Setiap kali azan dikumandangkan kami sudah terlebih dahulu berada di dalam masjid.'  

Subhanallah... 

Kaum yang ketiga itu maksudnya menunggu-nunggu masuknya waktu solat dan sentiasa bersiap-sedia di dalam rumah Allah untuk mengerjakan solat. Semoga para muslim termasuk dalam mana2 kumpulan kaum yang disebut itu terutamanya mampu untuk berada di kalangan kaum yang ketiga iaitu seorang yang hatinya sentiasa di rumah Allah... amenn

Di atas dunia, Allah menyuruh kaum muslimin menunaikan sembahyang secara berjemaah.  Solat berjemaah di rumah Allah adalah dituntut berbanding mendirikan solat secara bersendirian.

Banyak dalil yang menegaskan tuntutan terhadap solat berjemaah termasuklah:

Firman Allah yang bermaksud:
Dan dirikanlah sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan ruku`lah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang yang rukuk.
(Surah Al-Baqarah : 43) 

Hadis Nabis SAW yang bermaksud:
“Solat berjemaah itu lebih afdhal (baik) daripada solat bersendirian dengan 27 kali darjat” (HR Bukhari dan Muslim)

"Wahai sekalian manusia, kerjakanlah solat (sunat) di rumah kalian, sebab solat yang paling utama adalah solat seseorang yang dikerjakan di rumahnya, kecuali solat fardu."  ( HR Bukhari)

Abu Hurairah r.a, meriwayatkan bahawa suatu ketika ada seorang buta yang datang menemui Rasulullah SAW. Dia berkata, “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku tidak memiliki penuntun yang selalu membimbingku untuk berangkat ke masjid.” Dia bertanya kepada Rasulullah S.A.W. dengan tujuan meminta keringanan agar boleh mengerjakan solat di rumah, maka beliau pun memberikan keringanan untuknya. Akan tetapi, ketika dia berpaling (hendak pulang) maka baginda SAW menanyakan kepadanya, “Apakah kamu masih mendengar azan untuk solat [berjemaah]?”. Dia menjawab,”Ya.” Maka Nabi pun mengatakan, “Kalau begitu penuhilah panggilan itu.” 
(HR. Muslim)


Nabi S.A.W bersabda, “Tidaklah ada tiga orang [muslim] di suatu kota atau kampung namun mereka tidak mendirikan solat [berjemaah] di sana, kecuali karena syaitan telah menguasai mereka. Maka hendaklah kamu [solat] berjemaah. Karena serigala itu hanya akan memangsa domba yang jauh [menyendiri].” (HR. Abu Dawud, An-Nasa’i dan Al-Hakim serta beliau -Al-Hakim- mensahihkannya) 
................................................................................

Ustaz juga menekankan bahawa dalam solat berjemaah terkandung kelebihan untuk berada di saf yang pertama atau saf hadapan.
Rasulullah S.A.W. bersabda, "Seandainya manusia mengetahui keutamaan yang ada dalam azan dan saf pertama, kemudian untuk mendapatkan itu mereka harus mengundi, nescaya mereka akan mengundi untuk mendapatkannya."
(Hadis riwayat Bukhari).


Dari Barra ibn Azib r.a berkata; Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah Ta'ala dan para malaikatNya menurunkan rahmat ke atas orang-orang yang berada di saf hadapan iaitu saf yang paling hampir dan para malaikat berdoa untuknya dan tidak ada satu langkah yang lebih dicintai oleh Allah, daripada langkah orang yang memenuhkan saf yang kosong. (HR Abu Daud)
................................................................................

Ustaz ulang mengingatkan agar semasa solat berjemaah, makmum jangan mendahului imam atau bergerak serentak dengan imam.  Hendaklah bila imam habis mengucapkan Allahu Akbar dan rukuk, baru makmum mula mengucapkan Allahu Akbar serta rukuk.  Maksudnya bila imam sempurna rukuk baru makmum mula rukuk. Jangan berkata atau bergerak serentak dengan ucapan atau pergerakan imam.

Dari Abu Hurairah ra bahawasanya Nabi SAW bersabda: "Adakah seseorang di antara kamu itu tidak takut apabila ia mengangkat kepalanya sebelum imam, lalu Allah akan mengganti kepalanya menjadi bentuk kepala keledai atau bentuknya sama sekali dijadikan oleh Allah dalam bentuk keledai."  (Muttafaq 'alaih)

Hendaklah berusaha untuk mencapai khusyuk dalam solat.  Khusyuk dapat dicapai bilamana kita memperhatikan bacaan yang sedang dibaca dan kita sedar terhadap apa yang sedang kita lakukan.  Contoh:   Semasa rukuk, sedar kita sedang rukuk dan tahu dan memahami bacaan takkala rukuk.

Kurnia Allah mencakupi dunia dan akhirat bagi orang-orang yang solat berjemaah.  Orang yang solat berjemaah dijanjikan Allah:

  1. Tidak akan ditimpa kefakiran semasa hidup di dunia.  Jika susah sikit InsyaAllah ada saja yang datang menolong.  Yang tak mengendahkan solat berjemaah, jika susah akan sungguh-sungguh susah, wajah pun ikut gambarkan kesusahan mereka... nampak serabut dan tidak tenteram.
  2. Allah akan lepaskan dari azab kubur.  Bermaksud, Allah akan angkat dari azab kubur.   Dikatakan bahawa jika dalam kubur pun dah tak selamat, maka di akhirat akan menghadapi keadaan yang lebih lagi... nauzubillah.  Hidup kita sebaiknya sentiasa ingat akan kematian.  Selalu ingat, mati.
  3. Allah akan beri kitab amalan dengan tangan kanan.  Di padang mashyar nanti peluh ada yang sampai ke lulut, ada yang sampai ke paha, ada yang sampai ke dada dan ada yang sampai hingga ke paras mulut.  Semua bergantung kepada amalan masing-masing ketika hidup di dunia.  Orang beriman, Allah akan jaga dan pelihara dari akhlak yang buruk.  Diri sentiasa dihiasi dengan akhlak yang baik..ameen
  4. Dapat lalu titian siratul-mustaqim secepat kilat.  Perjalanan yang sepatutnya memakan masa yang begitu lama dapat diganti dengan lintasan secepat kilat berkat amalan baiknya itu.
  5. Allah akan masukkan ke dalam Syurga tanpa hisab, tanpa azab... ameen

Maka pesan ustaz, marilah kita ambil dunia hanya sekadar yang perlu.  Ingat hidup di dunia hanya bagaikan seorang musafir atau sedang melintas jalan sahaja.  Matlamat hidup kita yang sebenar ialah akhirat yang merupakan hidup yang kekal abadi.  Jangan begitu taksub dengan dunia, cukup hanya berpada-pada dan bersederhana.. ambil dunia seadanya.  Allah jadikan dunia sebagai ujian. Jangan biarkan dunia menjadi penghalang untuk kita ke rumah Allah. Jika ada lebihan rezeki, gunakan untuk keperluan anak-anak dan keluarga, jika ada lebih lagi salurkan derma dan bersedekah di sana sini. InsyaAllah hidup akan terasa lebih bermakna.


Wallahu'alam.


No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...