Istiqamah Ikut Sunnah


Bismillahirrahmanirrahim

Peruntukkanlah masa agar kita dapat membaca atau mendengar Hadis Nabi SAW setiap hari.  Sahabat ra di zaman Rasululullah SAW, kalau sehari tidak berjumpa Nabi SAW akan merasa teramat rindu. Abdullah bin Amr bin Ash dilaporkan rajin mencatat apa yang didengarnya dari Rasulullah SAW.  Setiap perkataan atau perbuatan Nabi SAW adalah haq dan tidak mengandungi nafsu sebaliknya ia merupakan wahyu dari Allah SWT.  Imam Shafie rm, bila mendengar hadis Nabi SAW, beliau mendengar dengan sepenuh jiwanya.  Beliau memberi tumpuan seolah-olah seluruh tubuhnya mendengar.

Bila kita mendengar dan belajar satu-satu hadis, maka jadikan amalan untuk sampai-sampaikan pula kepada ahli keluarga dan orang-orang di sekeliling kita.  Istiqamahlah ikut sunnah Rasulullah SAW.  Kalau setiap perlakuan kita, kita niatkan ikut sunnah maka ianya menjadi sunnah dan mendapat pahala. Sebaliknya kalau tidak ada niat ikut sunnah maka ianya hanyalah menjadi perkara harus sahaja. Contoh: duduk semasa mengambil wudhuk serta mengadap kiblat dan bersiwak selepas bangun tidur, lakukan dengan niat ikut sunnah Nabi SAW.

Disebut ada dua malaikat yang sentiasa mengiringi kita untuk mencatat segala perlakuan kita.  
Allah Ta'ala berfirman:
"Tiada seseorang itu mengucapkan sesuatu perkataan, melainkan di sisinya ada malaikat Raqib - pencatat kebaikan - dan 'Atid pencatat keburukan."   (Qaf: 18) 

Adalah penting untuk kita menjaga amalan zikir pagi dan petang.  Amalkan perkara yang baik dari permulaan hari sehingga di penghujung hari. Waktu terbaik untuk mengamalkan zikir ialah selepas solat Subuh sehingga terbit matahari dan selepas solat Asar sehingga tenggelam matahari.  Zikir al-Mathurat dan Manzil adalah antara zikir yang utama patut diamalkan pagi dan petang. 

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, 
“Sesungguhnya aku duduk bersama-sama dengan suatu kaum yang berzikir kepada Allah selepas sembahyang Subuh hingga terbit matahari, adalah lebih aku sukai dari terbit matahari.”(Hadis riwayat Al-Baihaqi)

Jangan lepaskan pagi dan petang kita tanpa membaca Penghulu Istighfar. Penghulu Istighfar ikut terkandung dalam zikir al-Mathurat.  Disebut dalam hadis Nabi SAW bahawa, "Sesiapa yang mengucapkannya di siang hari dalam keadaan meyakininya kemudian dia mati pada hari itu sebelum petang hari, maka dia termasuk penduduk Syurga dan siapa yang mengucapkannya di waktu malam hari dalam keadaan meyakininya, kemudian dia mati sebelum subuh maka di termasuk penduduk Syurga."
Penghulu Istighfar

Jangan kita begitu berlumba-lumba mencari harta dunia. Telah menjadi lumrah manusia begitu mengutamakan keduniaan.  Namun jangan sampai kita lalai pada perintah Allah dalam sibuk bertungkus-lumus mengumpul harta. Janganlah  sehingga cuai akan perintah Allah.  Renungkan firman Allah dalam Surah Al-Takathur ayat 1 - 8:
[1] Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh), -

[2] Sehingga kamu masuk kubur.

[3] Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)!

[4] Sekali lagi (diingatkan): jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak akibatnya yang buruk pada hari kiamat)!

[5] Demi sesungguhnya! Kalaulah kamu mengetahui – (apa yang kamu akan hadapi) – dengan pengetahuan yang yakin, (tentulah kamu akan mengerjakan perkara-perkara yang menjadi bekalan kamu untuk hari akhirat).

[6] (Ingatlah) demi sesungguhnya! – Kamu akan melihat neraka yang marak menjulang.

[7] Selepas itu – demi sesungguhnya! – kamu (wahai orang-orang yang derhaka) akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin (semasa kamu dilemparkan ke dalamnya)!

[8] Selain dari itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)!


Sebaik-baik kita menjadi manusia, biarlah yang banyak memberi manafaat kepada orang lain.  Istighfarlah untuk diri kita, ibubapa kita dan seluruh muslimin muslimat.  Cintai penduduk mukmin InsyaAllah Allah akan mengasihi orang yang mempunyai sifat ar-Rahman(pengasih).  Cintai penduduk bumi, maka kamu juga akan dicintai.  Hadis Nabi SAW ada mengatakan bahawa di kala kita mendoakan kebaikan untuk saudara-saudara Islam maka malaikat yang mendengar akan berkata, "Dan untuk kamu juga, dan untuk kamu juga..." amenn...

Dari Abu Darda r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Doa seorang muslim kepada saudaranya yang tidak hadir adalah makbul. Seorang malaikat berada dari arah kepalanya dan apabila dia berdoa untuk kebaikan saudaranya malaikat ini akan berkata amin dan (kepada orang yang berdoa, malaikat berkata) semoga engkau menerima serupa (apa yang engkau doakan untuk saudaramu). (HR Muslim)

Istighfarlah kita sekurang-kurangnya 100x  sehari.  Fadhilat istighfar begitu banyak (di sini). Jika lazim beristighfar, Allah akan beri kita pengampunan, akan murahkan rezeki, diberi rezeki yang tak disangka-sangka dan diberi jalan keluar pada setiap kesusahan... InsyaAllah.  Maka perbanyakkanlah Istighfar. Jaga lidah untuk tidak berkata yang tidak baik. Ramai orang yang tergelincir ke Neraka disebabkan lidah. Sentiasa beristighfar, mohon ampun dari Allah. Moga Allah ampunkan kita.  Namun Istighfar kita perlu betul-betul lahir dari hati.  Kena ada tumpuan takkala mengucapkan istighfar. Kena ada dalam hati kita.. hadir Allah yang Maha Pengampun.

Dunia ini sifatnya fana.  Hanya amalan soleh yang berkekalan, sehingga kita akan berjumpa Allah Taala. Manfaatkan usia kita dengan banyak membaca al-Quran dan zikir kepada Allah.  Disebut dalam hadis Nabi SAW bahawa dengan kita mengucapkan ucapan "Subhanallah Walhamdulillah Walailaha illallah Wallah hu Akbar" , maka satu pokok Syurga akan ditumbuhkan buat kita.(di sini).

Banyakkkan berselawat kepada Nabi SAW. Hadis Nabi SAW menyebut, "Sesiapa yang berselawat kepadaku satu kali, Allah akan berselawat kepadanya sepuluh kali." Selawat kita dilipat-gandakan sebanyak 10 kali.  Contoh jika berselawat 100x, InsyaAllah Allah akan berselawat 1000x.  Jika selawat 1000x dikatakan bahawa, api neraka tidak akan menyentuhnya.

Hakikat kehausan dan kelaparan adalah di sana... nauzubillah.  Makanan di neraka adalah dari buah zaqqum yang berduri, apabila dimakan maka akan terkoyak seluruh usus.  Airnya pula terdiri dari air panas yang mendidih dan air dari nanah yang berbau.  Itulah hakikat manusia yang tiada iman, tiada amal soleh.  Maka kena berlatih muhasabah bahawa apa jua kesenangan dan kesusahan di dunia, hubungkaitkan ia dengan kehidupan akhirat.  Kala hidup dalam kesenangan dan keseronokan di dunia, ingatlah pada orang-orang yang dapat mati dalam amal-soleh. Hakikat ini dapat menaikkan iman kita.  Ini kerana, dunia hanyalah dijadikan Allah sebagai medan ujian bagi manusia.  

Dalam Surah Tabarakallazi iaitu al-Mulk ayat 2, Allah berfirman yang bermaksud: 
Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);
  
Tanda kita mencintai Rasulullah ialah dengan banyak mengucapkan selawat ke atas Nabi SAW dan mengikut sunnah baginda SAW.  Berfikirlah kita, adakah hari ini merupakan hari yang lebih baik lagi bagi kita dari hari semalam.  Dikatakan orang yang beruntung itu ialah orang yang dapat menjadikan hari ini lebih baik dari semalam, manakala orang yang rugi ialah orang yang sama sahaja keadaannya seperti hari semalam dan orang yang celaka pula ialah orang yang berkeadaan lebih teruk lagi dari hari2 yang sebelum ini... Maka semak amal kita, periksa bacaan quran kita.  Khatamkan quran setiap 6 bulan sekali sekurang-kurangnya.  Al-Quran ini memberi syafaat kepada pembacanya dan pembelaan al-Quran terhadap kita InsyaAllah akan diterima Allah... amenn.



**Alhamdulillah, pengisian dari Majlis Ilmu dalam Kuliah Hadis di surau berhampiran.
Sama-sama kita mengambil manafaat, InsyaAllah.


1 comment:

Anonymous said...

Alhamdulillah atas perkongsian bermanfaat. Semoga kita tergolong dlm kelompok manusia yg beruntung.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...