Ustaz sambung tafsir Surah Yasin ayat 45, 46 dan 47
[45]Dan apabila dikatakan kepada mereka: ” berjaga-jagalah kamu akan apa yang ada di hadapan kamu (dari urusan-urusan hidup di dunia ini), dan apa yang ada di belakang kamu (dari huru-hara dan balasan akhirat), supaya kamu beroleh rahmat”, (mereka tidak mengindahkannya).
[46]Dan (itulah tabiat mereka) tidak ada sesuatu keterangan yang sampai kepada mereka dari keterangan-keterangan tuhan mereka melainkan mereka selalu berpaling daripadanya (enggan menerimanya).
[47]Dan apabila dikatakan kepada mereka:” Dermakanlah sebahagian dari rezeki yang dikurniakan Allah kepada kamu”, berkatalah orang-orang yang kafir itu kepada orang-orang yang beriman (secara mengejek-ejek): ” Patutkah kami memberi makan kepada orang yang jika Allah kehendaki tentulah Ia akan memberinya makan? Kamu ini hanyalah berada dalam kesesatan yang nyata”.
Ustaz tegaskan bahawa yang penting bagi kita ialah kena saling peringat antara satu sama lain. Di zaman kita ini dah wujud alam ciber maka boleh guna internet contohnya melalui facebook, twitter, blog dan forum juga melalui ceramah dsb untuk tujuan mengajak manusia kepada Allah.
Hakikatnya, perlu ingat-mengingati sesama Islam atau nak ajak orang masuk Islam.
Berjaga-jagalah terhadap apa yang ada di hadapan bilamana dalam urusan hidup di dunia ada ketikanya kita tak ikut apa yang Allah suruh. Ingat bahawa, ada neraka yang sedang menunggu. Apa yang ada di belakang pula ialah peristiwa-peristiwa yang berlaku pada zaman dan umat terdahulu yang perlu diambil iktibar. Ada umat yang dibinasakan dengan goncangan bumi dsb. Mereka dibinasakan kerana mereka telah mendustakan apa yang dibawa oleh Rasul dan Nabi yang diutus. Walaupun datang keterangan-keterangan yang dibawa oleh Rasul mereka, namun tetap mereka mendustakan Allah Ta'ala.
Ustaz cerita satu kisah:
Pada suatu hari seseorang telah pergi untuk menemui tok gurunya. Ketika sampai, beliau mendapati tok gurunya itu sedang menangis teresak-esak. Bunyi tangis tok guru walupun perlahan masih dapat didengar oleh beliau yang duduk menunggu di belakang. Tiba2 tok guru berpaling bila menyedari ada orang di belakangnya. Tok guru lantas bertanya tentang apa hajat beliau yang datang bertemu dengannya.
Lalu pemuda tadi terus bertanya balik pada tok guru: "Sebelum saya beritahu urusan saya pada tok guru, kalau boleh saya ingin tahu kenapa tadi kelihatannya tok guru menangis? Tok guru ada banyak kelebihan berbanding sekelian orang, tok guru seorang ahli ibadah dan tok guru ada ramai murid yang begitu menyayangi tok guru..." Maka jawab tok guru, "Saya tadi begitu sedih, rasa risau bila memikirkan.. apa lagi yang ada dalam bidang kuasa saya, yang masih belum saya buat...."
Subhanallah.
Sesungguhnya apa yang dikhuatiri ialah, kita takut 'tak lepas di sana...' sebab ada lagi tanggungjawab kita di dunia yang kita belum buat. Semua orang tak kira siapa, harus sedar tentang pentingnya kewajpan ini termasuklah ketua keluarga, Perdana Menteri, Menteri Besar, Nazir Masjid, Tok Penghulu, Ketua Bahagian, Ketua Pejabat, ayah, ibu dsb.
Harus ingat bahawa azab yang datang selepas azab kubur, maknanya makin berat... makin berat... Bagi orang yang fikir akan perkara ini, akan jadi risau, akan cari usaha untuk cuba membetulkan keadaan. Dapatkanlah ilmu dari para tok guru yang menyampaikan dan memberi peringatan. Tak kira siapa, jangan peduli siapa tok guru itu, selagi dia membawa ajaran Allah dan Rasul maka kena tetap ikut. Berusahalah kita untuk jadi orang yang berilmu. Takutlah pada azab Allah yang tidak terperi sakitnya.
Dalam membicarakan ayat seterusnya, ustaz selitkan sekali firman Allah dalam surah al-Kahfi ayat 54
yang bermaksud:
Dan demi sesungguhnya Kami telah huraikan dengan berbagai-bagai cara di dalam Al-Quran ini untuk umat manusia, dari segala jenis contoh bandingan; dan sememangnya manusia itu, sejenis makhluk yang banyak sekali bantahannya.
Dalam perkara bersedekah, mereka memberi alasan bila diminta mendermakan sebahagian dari rezeki yang dikurniakan Allah kepada mereka (Surah Yasin ayat 47). Ada saja bantahan mereka. Haruslah ingat bahawa yang jadikan fakir itu ialah Allah, yang jadikan kaya itu juga Allah. Tengok alam, tengok diri sendiri... ingat bahawa semua dari Allah. Semua Allah punya. Jangan pula sebab tak nak bagi pada orang fakir, dia berhujah beralasan yang Allah pun tak bagi pada orang fakir itu, kenapa pula dia yang harus memberi. Itu cara orang yang beralasan. Kata ustaz, adab kita dengan Allah: Walau apa pun keadaannya, jangan sandarkan salah-silap pada Allah. Terima apa yang datang dari Allah dengan redha.
Memetik kata2 seorang ustaz dalam kuliah online sebentar tadi... Apa jua yang terjadi adalah milik Allah. Semalam kita sihat, hari ini sakit, semalam sakit hari ini sihat, semua itu dari Allah. Ada hikmah di sebalik setiap sesuatu. Allah tidak memerlukan bantuan dalam menguruskan alam ini, sebaliknya kita ini yang tidak dapat melakukan segala apa pun jika tanpa bantuan Allah. Hidup kita memerlukan pergantungan pada Allah Ta'ala. Maka sentiasalah kita duduk di dalam zikir. Peruntukkan masa untuk Allah. Allah bagi kita sama rata setiap orang di mana semua mempunyai masa 24 jam setiap hari. Maka janganlah kita membiarkan masa itu habis sia-sia. Peruntukkanlah sekurang-kurangnya satu jam setiap hari untuk berdamping dengan Allah.
Firman Allah dalam Surah al-'Asr:
Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian -
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.
Wallahu'alam.
No comments:
Post a Comment