Pentingnya apa yang ada di hadapan kita
Bismillahirrahmanirrahim
Alhamdulillah, dapat sampai juga ke kuliah ustaz berkacamata walaupun dah agak lambat. Duduk saja, straight fokus pada bicara ustaz yang kuliahnya sudah separuh masa berjalan tu.
Kata ustaz, telah menjadi tabiat manusia, hendakkan sesuatu yang nampak, yang dapat dibayar tunai. Contoh: Manefesto untuk pilihanraya baru-baru ini. Manefesto dibuat sebagai sesuatu yang ditawarkan, yang dibayangkan dapat dilaksanakan jika sesuatu pencapaian dapat dicapai. Bagi orang yang memandang ke hadapan, InsyaAllah dapat melihat dan menilai dengan positif lalu berupaya mengambil pilihanraya sebagai suatu kewajipan yang mesti dilakukan dalam usaha mencari redha Allah. Sebaliknya bagi orang yang hanya nampak dan pentingkan perkara yang dibayar tunai tidak dapat merasa bahawa komitmen mengundi merupakan tanggung-jawab kerana menganggap diri masih muda, masih ada peluang lagi di masa depan lagipun cth: semasa pilihanraya tempohari masih lagi beratur dalam saluran 6 atau 7 misalnya... jadi rasa panjang lagi masa, jauh lagi untuk sampai pada saluran 1 atau 2..
Begitulah ibaratnya dengan apa yang ditawar oleh Rasulullah SAW yang menyampaikan risalah Islam bahawa jika sebut sahaja "Laila ha illallah" maka InsyaAllah akan dapat membawa kita masuk ke Syurga Allah. Namun al-Quran yang Nabi SAW bawa mencakupi ertikata kehidupan yang luas, sesuatu yang tidak dibayar tunai, sesuatu yang tidak dapat dibayangkan oleh mata kasar. Ia merupakan perkara ghaib yang dapat dilihat hanya dengan matahati bersandarkan iman contoh: Kita asuh anak-anak untuk solat 5 waktu kerana itu merupakan perintah Allah. Kita didik anak2 supaya semua kena bangun di pagi yang dingin setiap pagi untuk solat Subuh. Semua kena bangun... atuk, nenek, emak, ayah, adik, kakak... semua wajib solat sebab takut pada Allah. Bukan sebab takut pada ayah tapi sebab takut pada Allah. Allah Maha Melihat walau di mana kita berada.. tidak kira kita umur muda ke, tua ke, semua kena ikut perintah Allah.
Samada mati ke, kiamat ke, itu merupakan sesuatu yang pasti berlaku. Ia berada di hadapan kita dan sedang menuju kepada kita. Setiap yang mendatang itu adalah dekat dengan kita. Walaupun kita rasa ianya mungkin masih jauh, tapi hakikatnya ia dekat. Umur 30 tahun tidak dapat menjamin mati nanti tua. Orang yang sihat tidak terjamin tidak akan mati semasa sehatnya. Cth: Seorang orang muda yang sihat yang baru lepas solat Subuh singgah minum teh di rumah tok gurunya, meninggal dunia tidak lama selepas selesai minum teh-nya. Seorang yang terlelap 2 saat semasa memandu telah menjadikan ia sebagai asbab keretanya terbabas lalu mengorbankan nyawa 2 orang anaknya. Sakit dan umur tua tidak boleh dijadikan asbab untuk mati. Orang yang sihat boleh saja tiba-tiba mati, orang yang muda boleh saja tiba-tiba mati. Semua dalam perkiraan Allah dan tiada siapa dapat menjangkakannya.
Perkara yang berada di hadapan kita amat penting, berbeza dengan apa yang ada di belakang kita. Yang di hadapan perlu di-ambil berat, manakala apa yang ada dibelakang sudah tidak begitu penting lagi. Ibarat sesebuah kereta itu, cermin yang ada di bahagian depan kereta dibuat begitu besar sedangkan cermin yang tersedia untuk melihat belakang kecil saja. Penting untuk melihat apa yang ada di hadapan. Apa yang ada di belakang hanya dikerling sekali sekala. Begitu juga dengan lampu depan kereta. Lampu yang ada begitu besar dan begitu terang. Untuk apa? Untuk tujuan suluh jalan di malam yang gelap. Kalau tak ada lampu yang terang, maka tak akan dapat tengok bahaya di depan, tentu saja kita akan terlanggar apa saja di depan kita atau terjerumus masuk lubang jika tiada lampu yang terang untuk suluh jalan. Jadi dengan adanya lampu, ada apa saja bahaya di depan kita boleh elak, boleh elak...
Begitulah analoginya... Jadi sangat perlu untuk kita melakukan apa jua kebajikan yang dapat membantu kita menuju ke akhirat. Akhirat itu ada di hadapan kita. Ia yang kita rasa jauh hakikatnya makin dekat, makin menuju kepada kita. Apa yang ada dibelakang kita, yang dah kita tinggalkan sudah tidak penting lagi. Ianya sudah berlalu dan masa tidak dapat di-undur kembali untuk kita memperbaiki kesilapan yang lalu. Maka yang perlu sekarang ini ialah memandang terus ke hadapan. Orang yang cerdik ialah orang yang beramal untuk hari akhiratnya. Tidak ada tarikh luput umur dalam melaksanakan amal baik untuk dapat dijadikan bekal atau nasi beras di akhirat nanti. Jadi kita tak kira siapa, berlumba-lumbalah menggunakan kebolehan dan kemahiran masing-masing untuk mengajar ilmu bermanafaat yang dapat kita jadikan nasi beras di akhirat nanti. Jangan sampai tiada bekalan untuk kita bawa balik ke sana. Perbanyakkanlah amal soleh. Persiapkan diri kita dengan iman yang teguh. Bila iman teguh, InsyaAllah kita tidak mudah alpa terhadap kewajipan kita pada Allah, tidak mudah lalai dan leka dengan duniawi, tidak mudah untuk tersungkur jatuh walau banyak cobaan melanda.
Yakinlah bahawa hari kiamat pasti berlaku. Sebahagian besar ulamak kata nanti akan ada dua tiupan sangkakala. Kiamat boleh berlaku sertamerta. Pada masa berlaku tiupan sangkakala yang pertama, yang menggoncangkan alam(sehingga mati segala yang bernyawa dan punah ranah sekelian makhluk selain dari yang dikecualikan). Tiupan yang pertama itu diikuti oleh tiupan yang kedua(yang menyebabkan orang-orang yang mati semuanya hidup semula serta keluar dari kubur masing-masing. Bila besar keyakinan seseorang itu maka InsyaAllah dia tidak akan tangguh taubatnya, tidak akan tangguh kebajikannya. Sebaliknya, dek tiada yakin, maka dia akan terus tenggelam dan selesa untuk nak terus duduk dalam kelazatan dunia yang sementara, kelazatan yang nampak di matanya. Bila tiada yakin, maka terus terhijablah hati dan tak nampak akan kelazatan akhirat yang kekal abadi...
Wallahu'alam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Blog Archive
Popular Posts
- Baca Al-Mathurat Tiap Hari
- Doa Selepas Wirid Al-Mathurat
- Tasbih Kaffarah - Doa Pembersih Majlis
- Amalkan Penghulu Istighfar pagi dan petang
- Puding Jagung Santan
- Memahami Maksud Ayat Al-Mathurat
- Perjalanan Dari Jeddah ke Mekah
- Berpeluang Solat di Masjid Quba
- Dua Ayat Terakhir Surah al-Baqarah
- Ayat Manzil
No comments:
Post a Comment