Sempena Malam Nisfu Syaaban

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, malam tadi dapat ikut hadir bersama begitu ramai jemaah di masjid kami.  Sempena malam Nisfu Syaaban (15 Syaaban), kami beramai-ramai ikut tuan imam menghidupkan malam dengan membaca Surah Yaasin. Kemudian sama-sama mengaminkan doa yang dipohon ke hadrat Allah yang di antaranya memohon agar Allah panjangkan umur serta dapat beribadat, moga dimurahkan rezeki serta ditetapkan keimanan... aaminn

Setelah itu kami terus duduk dalam majlis ilmu yang penyampainya seorang ustaz yang masih muda belia namun begitu mantap sekali skill penyampaian sehingga jelas mampu mengundang tumpuan semua yang hadir, Alhamdulillah.

Ustaz mengucap syukur kerana diizinkan Allah dapat ikut berpeluang bersama-sama kami membaca Yaasin dan berdoa sempena malam Nisfu Syaaban.  Kata ustaz, waktu yang mustajab berdoa antaranya ialah malam Nisfu Syaaban.  Kita tambahi pula dengan membaca Yaasin kemudian minta ampun pada Allah terhadap salah-silap kita, minta dipanjangkan usia agar dapat terus melakukan ketaatan kepada Allah, minta rezeki dari rezeki yang halal jauh dari yang haram InsyaAllah.

Ustaz mengulas sedikit tentang kitab yang sedang digunakan malam tadi iaitu kitab hasil karangan Imam Ghazali yang dikhabarkan sudah berusia 900 tahun. Kitab yang berjudul "Minhaj Abidin ila Jannatul Rabbul a'lamin" itu telah diterjemahkan oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Patani.

Ulamak mulakan kitab ini dengan Basmallah kerana mengikuti al-Quran yang mulia yang mana didalamnya terkandung Surah al-Fatihah yang digelar Ummul Kitab iaitu tujuh ayat yang diulang-ulang yang dimulakan dengan Bismillahirrahmanirrahim.  Digambarkan keadaan ketidaksempurnaan jika kita buat sesuatu tanpa dimulakan dengan membaca Bismillah.  Setiap perkara-perkara yang baik, kalau tidak dimulakan dengan Bismillah maka terputuslah berkatnya.  Berkat ialah bertambah-tambah kebaikan pada apa yang kita buat. Dari keberkatan, beroleh pahala InsyaAllah. Pahala memang sesuatu yang tak nampak, berbeza dengan upah di dunia yang nampak jelas di depan kita.

Kita sebagai ahli sunnah wal Jamaah percaya dan yakin bahawa segala benda yang berlaku itu adalah dengan izin Allah.  Allah Maha Besar yang kita sebut menandakan hanya kebesaran Allah dalam hati kita. 
Kalau ada yang tahu tentang kelebihan malam ini, kata ustaz, maka akan penuhlah rumah Allah.  Kerana ini antara malam-malam terhebat selain dari malam Lailatul-Qadar. Bersyukurlah bagi yang dapat hadir ke masjid kerana Allah telah taut-kan hati kita untuk datang ke masjid.  Walau rumah jauh dari masjid atau dekat dengan masjid, bersyukurlah kerana kita terpilih di kalangan orang-orang yang berpeluang hadir Alhamdulillah. Sesungguhnya tempat yang Allah lihat ialah di rumah-rumah Allah, tempat di mana ada solat berjemaah, ada majlis ilmu, ada majlis zikir. 

Dosa kita banyak, ilmu pun kurang, ikhlas pun kadang-kadang tak ada.  Ini lah sebab mengapa kita kena sering minta(doa) pada Allah.  Cuba tanya diri kita, pernahkah kita melakukan sujud syukur terhadap dua nikmat besar yang Allah kurnia iaitu dilahirkan sebagai seorang Islam dan dilahirkan sebagai umat Nabi Muhammad SAW. Banyakkan berdoa pada Allah, minta pada Allah. Mohon agar dikurniakan Allah hidayah yang khusus bukan hanya hidayah umum. Usaha untuk dapat meraih hidayah khusus dari Allah dengan jalan banyak melakukan amal soleh.  Tanya diri kita, di mana keberadaan kita adakah kita tergolong samada dalam (1) dunia kepada dunia  (2) dunia kepada akhirat (3) akhirat kepada dunia atau (4) akhirat kepada akhirat.

(1) Dunia kepada Dunia
Contoh:  Seseorang yang hendak ke tempat kerja bertolak dari rumah seawal jam 6.10 pagi.  Sepanjang perjalanan sejauh 48km, hanya sempat berhenti isi minyak di stesen Petronas.  Berbeza dengan seseorang yang dari tempat yang sama yang hendak ke tempat kerja yang sama namun berhenti seketika untuk solat Subuh(waktu ketika Subuh masuk lewat). Maka jelas individu yang pertama telah meletakkan kehidupannya dalam kategori dunia kepada dunia.  Hendak ke tempat kerja semata-mata mencari dunia, tidak menghubungkan usaha pencarian rezeki sebagai matlamat menuju akhirat.

Ustaz ada bagi teka-teki yang menambah ceria aura majlis ilmu iaitu: 'apakah dia sesuatu yang konfem halal dan diyakini halal?'  Semua mungkin seperti saya duk berteka-teki di dalam hati.  Rupa-rupanya anak saya yang duduk di sebelah berjaya terfikirkan jawapan bagi soalan ustaz.   Jawapannya kata ustaz ialah:  (1)Air hujan yang kita tadah dengan tangan kita sendiri.  Berbeza kalau kita tadah guna gelas kerana bila di-selidik, gelas itu rupanya gelas yang belum diminta izin dari tuan empunya.  Contoh lain: Kita biasa pinjam baldi kawan semasa kat kolej, biasanya lepas ambil dan guna baru mintak izin.."Wei, tadi aku pinjam baldi kau la... halal eh!"  (2) Ikan yang kita tangkap dengan tangan sendiri.  Macam mana tu nak tangkap dengan tangan sendiri? Boleh ke agak-agak?  Sebenarnya ustaz nak cerita tentang keberkatan rezeki.  Kalau tangkap guna buluh yang dicantas tebang, walaupun ambik buluh tu kat tepi jalan namun kita tak pasti siapa tuan empunya buluh tersebut. Wallahu'alam

Maka kata ustaz, sebelum tidur, niatkanlah dalam hati kita.."Ya Allah, jadikanlah setiap nafas ku dalam tidurku ini sebagai setiap satunya ibadah kepadamu ya Allah..."  Begitu juga bila kita celik-celik mata saja keesokan harinya, kita niatkan dalam hati..."Ya Allah, jadikanlah setiap nafasku dalam jagaku ini sebagai setiap satunya ibadah kepadamu ya Allah..." Subhanallah.. InsyaAllah akan cuba untuk di-amalkan. 

Semua bermula dengan niat.  Niat yang baik, InsyaAllah jadi baik sebaliknya jika niat kita buruk, maka akan jadi buruklah perbuatan dan hasilnya... 

(2) Dunia kepada Akhirat
Berlawanan keadaannya dengan 'dunia kepada dunia'.  Maka InsyaAllah beroleh pahala jika menghubung-kaitkan semua aktiviti harian bersandarkan matlamat akhirat, niat melakukannya sebagai ibadah semata-mata kerana Allah.

(3)Akhirat kepada Dunia
Contoh: Buat kerja agama seperti mengajar mengaji quran, membina sekolah tahfiz, infak untuk surau dan masjid namun matlamatnya hanya ingin mulia di mata manusia. Jika begitu keadaannya maka dikhuatiri tidak mendapat sebarang ganjaran pahala di sisi Allah.  Jika inginkan habuan dunia, maka hanya akan mendapat dunia, akhirat tak dapat.

(4)Akhirat kepada Akhirat
Contoh: Mengaji sungguh-sungguh untuk dapat redha Allah. Berbuat baik, beramal soleh hanya kerana Allah SWT, bukan kerana yang lain.  Sesungguhnya ibadahku, hidupku dan matiku hanya kerana Allah Taala. Dalam usaha melakukan ketaatan kepada Allah kena berhati-hati terhadap syaitan yang sentiasa ingin menyesatkan manusia.  Kita biasa terpandang kata-kata seperti, "Dadah Musuh Negara" atau "Rokok Membahayakan Kesihatan" dsb namun kita belum pernah terjumpa lagi dengan poster maupun papan tanda yang tertera tulisan, "Syaitan Musuh Utama Insan."

Ustaz tekankan bahawa perlu untuk kita usaha untuk dapatkan khusyuk dalam solat.  Antara cara yang dapat datangkan khusyuk dalam solat ialah perlu pada latihan/riadah yang berterusan, pemahaman bacaan dalam solat, ada keikhlasan serta ada latihan kerohanian.  Sebagai insan biasa, kita sering payah untuk mencapai khusyuk dalam solat.  Ustaz menggesa agar kita cuba seboleh mungkin untuk tetapkan hati kita pada Allah walaupun pada saat akhir solat kita sebelum salam pertama.  Bak kata orang puteh, last but not least... jadi fokus dan tumpukan perhatian walau di saat-saat akhir. Ibarat dalam perlawanan bolasepak saat-saat akhir itu disebut sebagai 'waktu kecederaan.' InsyaAllah moga dapat lebih mencapai khusyuk di dalam solat...aamiinn

Ustaz kongsi amalan sebagai salah-satu ikhtiar kita untuk nak dapatkan keikhlasan dalam apa jua yang kita buat. Dalam kita melakukan perkara baik, sering datang pelbagai penyakit hati yang boleh menggugat amalan kebaikan yang sedang cuba dilakukan.  Akan datang riak, ujub, takbur dan sebagainya jika kedudukan hati dan nafsu gagal dikawal. Maka untuk hadirkan keikhlasan dalam amal baik kita, kata ustaz, eloklah diamalkan membaca Surah al-Ikhlas iaitu Qulhuwallah sebanyak 100 kali setiap hari(zikir 100, ada di sini) Hanya mengambil masa yang singkat jika fokus membacanya.  Paling lama pun dalam setengah jam, jika dibaca laju hanya makan masa 20 minit sahaja.  Bolehlah kita pakat2 amalkan, contoh semasa memandu ke pejabat atau ke mana-mana, daripada kita duk mangarut dengar lagu2 yang tak beri manafaat apa-apa pun pada kita. 

Selamat Beramal-Soleh menuju Ramadhan.  Syaaban masih berbaki beberapa hari saja lagi.  Minta pada Allah agar selamat dipertemukan kita dengan bulan Ramadhan yang kita menunggu-nunggu kedatangannya.

Wallahu'alam.

6 comments:

Anonymous said...

Jom kita pakat jadi ahli. Ahli apa? Ahli Masjid.

Werdah said...

Assalamu'alaikum Nur

Sukarnya nak dapatkan khusyuk dan ikhlas. Musuh yang satu tu sebenarnya akan lemah jika kita ikhlas.

nur said...

Meh pakat2 sume jadi ahli :-)

nur said...

Wslm kak werdah..
Betul tu kak..payah bebenar nk capai khusyuk dan ikhlas. Moga Allah bantu usaha kita nak capai kedua-duanya. Syaitan pula byk strategi, lebih2 lg sblm akan di-ikat di bulan Ramadhan. Jadi Kata ustaz, kita mesti usaha lawan agar dia tidak dpt terus lemahkn kita..
Wallahu'alam

Raja Suria said...

❤️

nur said...

Jazakillah⚘

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...