Memperbanyak Mengingat Mati

Bismillahirrahmanirrahim

Dalam satu kuliah maghrib, ustaz mengingatkan agar kita semua banyakkan menyebut satu perkara yang memutuskan segala keseronokan iaitu mati. Mohonlah agar mati kita berlaku dalam suasana yang baik. Mohon dan harap pada Allah agar dapat mati dalam keadaan Allah redha pada kita. Mati tetap mati. Bila ada kematian, jangan kita sekadar melihat saja. Ambil iktibar dari kematian yang berlaku. Bila mati, hakikatnya bermulalah satu masalah. Jika hamba itu baik, soleh, maka hamba itu akan beroleh kebaikan InsyaAllah namun  jika sebaliknya, dikhuatiri hamba tersebut akan beroleh yang tidak baik di sana nanti.. nauzubillah.

Banyakkanlah melakukan solat-solat sunat bagi memelihara iman kita. Contoh: Dirikan solat sunat taubat setiap malam. Sentiasa mohon ampun pada Allah terhadap dosa-dosa yang kita lakukan.
.................................

Petikan dari Kitab, sebagai tambahan dalam bab mengingat mati:

Ketahuilah, bahawasanya memperbanyak mengingat mati itu adalah seperkara yang dituntut oleh agama dan amat digalakkan, kerana yang demikian itu mengandungi berbagai faedah yang berguna.  Di antaranya: pendek harapan, zuhud di dunia, qanaah atau memadai dengan yang sedikit, cinta kepada akhirat serta memperbanyak bekal dengan amal dan bakti yang baik.

Sabda Rasulullah SAW, yang bermaksud:
"Perbanyakkanlah mengingat-ingat tentang perkara-perkara yang menghapuskan kelazatan (maut)."
Takkala baginda Rasulullah SAW ditanya tentang orang yang pintar, siapakah dia di antara manusia, maka jawab baginda SAW:
"Mereka itulah orang-orang yang memperbanyak mengingati mati, dan sentiasa bersedia untuk menerima mati.  Mereka itulah orang-orang yang pintar.  Mereka telah kembali ke rahmatullah dengan membawa kemuliaan dunia dan kesejahteraan akhirat."

Akan tetapi mengingati mati dengan lisan saja tidak berguna.  Tidak ada erti menyebut-nyebut mati dengan lidah seperti: Oh aku akan mati! Oh aku takut mati!...dsb...
Itu tidak mendatangkan faedah samasekali, meskipun ia disebut berkali-kali. Yang dituntut ialah mengingati mati seraya hatinya tekun merenungkan keadaan orang yang sedang menghadapi mati, sedang lisannya menyebut-nyebut pula bagaimanakah keadaannya kelak, apabila ia menghadapi mati itu?  Bagaimana bencananya dan sakaratnya, serta menggambarkan sekali tentang dasyatnya yang akan ditanggung kelak di hari Akhirat. Kemudian hendaklah ia mengira-ngira berapa lamakah lagi ia boleh hidup di dunia ini, dan bagaimana pula kesudahan hidupnya kelak. Kemudian hendaklah ia mengenang semula keadaan rakan-rakan dan sahabat-sahabatnya yang telah lebih dulu kembali ke rahmatullah, bagaimana kesudahan hidup mereka. Kenangkan ingatan dan sebutan yang boleh memberi manfaat dan dapat meninggalkan kesan kepada hati.

.....................................
Berbalik pada pengajian di majlis ilmu, nak selitkan apa yang ustaz katakan malam tadi di masjid berkaitan dengan mati ini. Kata ustaz, apakah kita nanti boleh menyebut kalimah tauhid iaitu La ila ha illallah di saat sakaratul-maut... Mampukah kita atau nanti lidah akan kelu untuk mengucapkannya? Mari bermuhasabah diri...

Kita datang daripada Allah dan kepada Allah lah kita akan dikembalikan. Roh yang Allah ciptakan adalah untuk keabadian, bukan untuk kebinasaan.  Bila mati, hanya jasad yang akan binasa, hingga sampai pada satu masa kelak jasad akan dibangkitkan semula bersatu kembali dengan roh.

Maka selagi diri masih bernyawa di atas dunia, perbanyakkanlah melakukan kebaikan. Kata ustaz...jika terlanjur melakukan kesilapan, segeralah iringi dengan membuat kebaikan, sekurang-kurangnya beristighfar mohon agar Allah ampunkan kita. Perbanyakkan istighfar. Kita yang  buat amalan semasa di dunia, akan dibalas atas semua amalan itu.. tiada yang berkecuali. Balasannya nanti samada kita akan disukacitakan oleh Allah atau pun akan didukacitakan. Oleh itu beramallah sebanyak mungkin dan semampunya. Perbaiki solat, biar lebih sempurna. Solat merupakan amal ibadah yang paling utama. Orang yang khusyuk dalam solat, bukan setakat hadir hatinya di dalam solat malah timbul rasa begitu mengagungkan Allah Taala, timbul rasa takut yang sebenar-benar takut pada Allah Taala.

Wallahu a'lam.

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...