Sempena 1 - 10 Zulhijjah

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah menerima suntikan semangat yang luarbiasa selepas mendengar tazkirah yang disampaikan oleh ustaz berkacamata malam tadi. Ya Allah, syukur dengan nikmat majlis ilmu yang dikecapi. Bersyukur kerana masih terpilih di kalangan orang-orang yang dapat hadir di majlis ilmu.. Alhamdulilah.

Sempena bermulanya bulan Zulhijjah, ustaz mengajak kita semua agar berusaha menjaga amalan masing-masing. Lebihkan zikrullah, di mana jika pada hari-hari biasa kita berjaya zikir 1000 kali sehari, maka pada 1 - 10 Zulhijjah ini biar zikir kita meningkat jadi 2000 kali sehari.. InsyaAllah

"Tolong jaga 1 - 10 ini...", pesan ustaz.  Jaga solat fardhu.  Pastikan solat fardhu secara berjemaah di masjid atau surau.  Dan tambahi ibadah sunat. Tidak ada yang dapat menghalang kita dari melakukan perkara-perkara sunat. Ibadah sunat tiada hadnya, buatlah sebanyak mana pun, lagi banyak lagi baik, lagi dapat membantu kita.

Ustaz mengingatkan agar jangan kita mendirikan solat secara duduk jika diri kita masih mampu berjalan ke sana ke mari.  Jangan pula kita boleh pusing satu pasar malam namun malangnya bila solat kita solat secara duduk.  Boleh solat secara duduk hanya bilamana kita tak mampu untuk berdiri lama, rasa nak pitam, rasa nak jatuh atau sebagainya.  Jika tak begitu kuat alasannya, tiada sebab untuk kita dirikan solat secara duduk.. Wallahu'alam.

Ustaz berpesan agar janganlah kita bangkit hanya pada waktu Fajar semata-mata untuk solat Subuh sahaja yakni bangun setelah masuknya fajar, tapi bangunlah awal-awal yakni kita menunggu sebelum masuknya fajar/subuh. Ulamak mengatakan  bahawa orang yang bangun di waktu yang hanya untuk solat subuh, mereka ini termasuk di kalangan orang yang lalai...nauzubillah. Mereka ini gagal mencari qiamulail. Sesungguhnya begitu besar sekali kelebihan bangun qiamulail dalam usaha untuk mendekatkan diri kepada Allah. Janganlah kiranya kita temasuk menjadi orang-orang yang gagal untuk bangun qiamulail. Berqiamulail lah sebelum fajar. Fajar pula adalah salah satu masa yang bernilai di sisi Allah. Solat Subuh adalah waktu di mana seluruh malaikat(malaikat siang dan malaikat malam) menyaksikan ibadah kita. 

Kata ustaz, 10 Awal Zulhijjah merupakan 10 hari yang mempunyai kelebihan yang tersendiri yang disebut di dalam al-Quran dan diceritakan dalam hadis-hadis Nabi SAW. Ia adalah hari besar di sisi Allah dan hari besar di sisi Nabi SAW. Banyak hadis Nabi SAW yang menyebut, di antaranya:
Dari Jabir ra bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Maksudnya: "Tiada suatu hari yang lebih utama di sisi Allah melebihi hari-hari sepuluh(awal) Zulhijjah"   (HR Ibnu Hibban 3853)

Kata ustaz, ulamak menyebut.. yang paling hebatnya malam dalam setahun ialah di malam 10 akhir Ramadhan, manakala yang paling hebatnya siang dalam setahun ialah pada hari-hari 10 Zulhijjah.

Ulamak menyebutnya sebagai hari yang paling hebat kerana dalam 1 - 10 ini terkandung ibu segala ibadah yakni termasuk solat, puasa, haji dan bersedekah. Semua berkumpul dalam  1 - 10 Zulhijjah. Ulamak menggesa agar dihidupkan hari-hari itu dengan ibadah.  Kalau mampu berpuasalah setiap hari namun jika tak mampu berpuasalah pada hari Arafah. 

Rebutlah peluang yang Allah beri pada kita tahun ini. Peluang yang menyediakan hari-hari yang perlu kita mengisinya dengan ibadah.  Yang fardhu kita sempurnakan, yang sunat kita tambah.  Rebutlah peluang ini. Mari kita berubah untuk menjadikan awal 10 Zulhijjah sebagai hari-hari besar yang istimewa untuk kita lebih gandakan ibadah. "Sepatutnya kita dah berubah lama dah...", kata ustaz. "1 - 10 Zulhijjah menyediakan banyak ruang dan peluang untuk kita memperbanyakkan ibadah.." Subbhanallah. 

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Jemput ulang baca 'Amalan di Awal 10 Zulhijjah' yang pernah di-postkan entri sebelum ini. 

Sila klik: AMALAN DI AWAL 10 ZULHIJJAH

atau boleh terus baca di sini...

Nasihat khusus untuk diri sendiri, en suami, anak-anak serta saudara muslimin muslimat sekelian, disampaikan hari ini apa yang ustaz pesan semalam iaitu dengan tibanya tarikh 1 Zulhijjah yang ternyata menyajikan pelbagai kelebihan dan ganjaran pahala. Mungkin ramai yang tidak menyedari betapa besarnya kemuliaan beramal ibadat yang jika dilakukan pada 10 hari terawal di bulan Zulhijjah. 

Mengetahui hari-hari dan bulan yang dimuliakan oleh Allah SWT merupakan jalan untuk mencapai takwa kepada Allah. Beribadah dan mendekatkan diri pada Allah sememangnya merupakan tuntutan yang tidak bermusim. Namun ada tempat, waktu, hari dan bulan yang disebut mempunyai banyak kelebihan di mana adalah amat dituntut untuk kita tidak melepaskan peluang dari melakukan ketaatan sejajar dengan kemuliaan tempat, waktu, hari dan bulan tersebut di sisi Allah. Tempat yang mulia seperti Masjidil Haram, waktu yang mustajab seperti sepertiga malam yang akhir, hari yang banyak kelebihan seperti hari Arafah, malam yang semulia seribu bulan iaitu malam Lailatul Qadr dan bulan yang penuh rahmat dan pengampunan iaitu bulan Ramadhan. 

Dari Ibn Abbas ra bahawa Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: "Tiada amal soleh yang dilakukan pada hari-hari tertentu yang paling disukai oleh Allah melebihi amal soleh pada hari-hari ini"(iaitu 10 hari di awal Zulhijjah). Para sahabat bertanya: "Ya Rasulullah! Ia melebihi (semua amalan) walaupun dibandingkan dengan berjihad pada jalan Allah?" Jawab Baginda SAW:: "Walaupun dengan amalan jihad pada jalan Allah, Kecuali orang yang keluar berjihad dengan nyawa dan hartanya, lalu dia tidak pulang dengan apa-apa(mati syahid dan hartanya habis).   (HR Abu Daud 2438) 

Dari Jabir ra bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Maksudnya: "Tiada suatu hari yang lebih utama di sisi Allah melebihi hari-hari sepuluh(awal) Zulhijjah"   (HR Ibnu Hibban 3853)  

Peluang mendapat kemuliaan dan redha Allah SWT di 10 awal Zulhijjah:  
  • Bertaubat dan memperbanyakkan Istighfar. Bertaubat atas kesalahan dan keterlanjuran yang telah kita lakukan. Sekiranya kita tidak mampu memperbanyakkan istighfar setiap hari sepanjang masa, sekurang-kurangnya jangan kita tinggalkan mengucap Penghulu segala Istighfar.
Sesiapa yang mengucapkannya di siang hari dalam keadaan meyakininya kemudian dia mati pada hari itu sebelum petang hari, maka dia termasuk penduduk Syurga dan siapa yang mengucapkannya di waktu malam hari dalam keadaan meyakininya, kemudian dia mati sebelum subuh maka di termasuk penduduk Syurga." (HR Bukhari 6306) 

  • Memperbanyakkan amalan zikrullah seperti bertasbih, bertahmid, bertakbir, bertahlil dan berdoa. Tasbih yang paling disukai Allah SWT tersebut dalam hadis: Maksudnya: Dari Abu Dzar ra berkata: Rasulullah SAW pernah bertanya kepada saya" "Hai Abu Dzar, mahukah kamu aku khabarkan tentang ucapan yang sangat disukai Allah? Saya menjawab, "Ya, khabarkanlah kepada saya tentang ucapan yang disenangi Allah." Kemudian baginda bersabda: Sesungguhya ucapan yang paling disukai Allah: Subhanallah hiwabihamdih (Maha suci Allah dengan segala puji bagi-Nya)           (HR Muslim 4911)

Amalkan ucapan tahlil yang banyak ganjaran dan kelebihannya.  Daripada Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda:
Maksudnya:  "Barangsiapa yang mengucapkan
La ilaha illallah hu wahdahu la syarikalah lahul mulku walahul hamdu yuhyii wa yumiitu wa huwa ‘ala kulli syai’in qodiir’  (Tiada tuhan melainkan Allah semata dan tiada sekutu bagi-Nya, milik-Nya lah segala kerajaan dan pujian dan Dialah Maha menguasai atas segala sesuatu) sebanyak 100x dalam sehari, maka baginya mendapatkan pahala seperti membebaskan sepuluh orang hamba sahaya, ditetapkan baginya 100 hasanah(kebaikan) dan dijauhkan darinya 100 keburukan dan baginya perlindungan dari (godaan) syaitan pada hari itu hingga petang dan tidak ada orang yang lebih baik amalnya dari orang yang membaca doa ini kecuali seseorang yang mengamalkan lebih banyak dari itu."   (HR Bukhari 5924)      
  • Menjaga ibadah solat yang fardhu dengan berjamaah dan memperbanyakkan solat-solat sunat. 
Terngiang-ngiang kata-kata ustaz... "bantulah dirimu dengan memperbanyakkan sujud..."   
Solat merupakan perbuatan mendekatkan diri kepada Allah Taala.
Rasulullah SAW berpesan kepada Tsauban ra: Maksudnya: "Hendaklah kamu memperbanyakkan sujud(solat)kepada Allah, kerana tidaklah kamu bersujud kepada Allah dengan suatu sujud melainkan Allah akan mengangkatmu satu darjat dengannya, dan menghapuskan dosa darimu dengannya" (HR Muslim 753) 
  • Berpuasa. Rebutlah peluang yang ada dengan memperbanyakkan berpuasa pada 1 hingga 9 Zulhijjah kerana ibadah puasa merupakan ibadah yang boleh menjauhkan seseorang dari api neraka.  Berpuasa khususnya puasa sunnah ‘Arafah:
    Dari Abu Qatadah ra berkata, Rasulullah SAW ditanya tentang puasa hari ‘Arafah? Rasulullah SAW menjawab, ”Menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.” (HR Muslim)
  • Membaca al-Quran. Ustaz menyarankan agar kita istiqamah membaca al-quran setiap hari. Sekurang-kurangnya bacalah al-quran 50 ayat setiap hari. 
  • Melakukan ibadah Korban. Korban merupakan ibadah yang sangat dituntut ke atas setiap mukallaf yang berkemampuan melakukannya. 
  • Bersedekah. Bersedekahlah setiap hari. Sedekah adalah amalan yang menghampirkan kita kepada Alah, menjauhkan seseorang dari murka Allah dan InsyaAllah mendapat husnul khatimah. 
Daripada Anas bin Malik ra telah berkata, Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: "Sesungguhnya sedekah itu menjauhkan murka Allah dan menjauhkan seseorang dari meninggal dalam keadaan yang buruk (su'ul khatimah). (HR Tirmidzi 600) 

Daripada 'Adiy bin Hatim ra berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: "Hindarilah kalian dari neraka sekalipun dengan (bersedekah) sebiji kurma". (HR Bukhari 1328) 
  • Qiamullail. Hidupkanlah malam dengan amal ibadah seperti solat, membaca al-quran, zikrullah, Istighfar dan doa. Qiamullail merupakan jalan mendapatkan kemuliaan. 
Daripada Bilal ra bahawa Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: "Hendaklah kamu melaksanakan qiamullail. Sesungguhnya ia adalah amalan para salihin sebelum kamu, sesungguhnya qiamullail itu alat mendekatkan diri kepada Allah, pencegah dari dosa, penghapus bagi kejahatan dan penolak penyakit dari jasad." (HR Tirmidzi) 

Di akhir tazkirah, ustaz ulang berpesan agar kita sama-sama menjadikan 10 awal Zulhijjah ini sebagai titik tolak untuk kita cuba melipat-gandakan usaha dalam melakukan amal-amal soleh. Mudah-mudahan tergerak hati kita, mudah-mudahan jadi bersemangat kita untuk bangun berqiamullail. Isikan masa kita dengan zikir. Pesan ustaz, jika kita tidak mampu untuk memperbanyakkan amalan taat pada hari-hari yang mulia di sisi Allah ini, maka janganlah pula kita sampai tergamak melakukan perkara-perkara maksiat yang mengundang murka Allah. Sedar dan malulah kita pada Allah yang sentiasa memerhatikan kita. Ustaz syorkan agar kita membuat jadual atau personal check-list untuk tujuan menyemak amalan masing-masing. Bermuhasabah diri, perbaiki dan tingkatkan amalan dari sehari ke sehari. Moga lebih bermotivasi kita semua
menghayati 10 Awal Zulhijjah... amiinn

.........................

Wallahu'alam.


2 comments:

Anonymous said...

Alhamdulillah posting yang sangat informatif dan bermanfaat. Moga usha ini akan di limpahi rahmat dan barokah. Rupanya awal 10 hari di bulan Zulhijjah ini begitu besar fadilatnya. Sebab itulah sangat utama untuk ke majlis2 ilmu dan menjadikan diri kita ini berilmu agar kita tahu segala syariat Islam ini.

nur said...

Alhamdulillah tq anon..
Cuba buat yang terbaik
Beri Yang terbaik
Moga beroleh hasil yang terbaik..InsyaAllah

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...