Ingat Mati

Bismillahirrahmanirrahim

Kata ustaz...
Yang ikut kita ke dalam kubur ialah amal, itu pun kalau ada. Yang nak kita tinggal, biasanya itu yang kita kasih semasa di dunia. Yang nak kita bawa iaitu amal, hati tak berapa nak kasih. Harta, pangkat, kuasa, isteri, anak... semua itu barang yang dikasih ketika di dunia. Yang nak kita tinggal, itu yang kita kasih. Boleh untuk kasih, tapi ingatlah kita pada Allah. Ingat bahawa, ibadah kita, itu yang nak dibawa. Yang itu sikit benar kita buat, sedangkan hakikatnya itu yang kita akan bawa. Tanya diri kita, zikir kita banyak mana hari ini? Dah zikir, dah ngaji hari ini?

Bila dah buat yang fardhu, buatlah ibadah sunat supaya kita dapat hampir dengan Allah. Kasihkan Allah sehingga kamu dikasih. Bila dah hampir dengan Allah, akan sampai tahap ingin bertemu dengan Allah. Syarat hamba nak bertemu Allah adalah mati. Ingat akan mati. Ingat mati ini banyak manafaatnya, banyak faedahnya dan banyak kelebihannya. Bak kata Luqman al-Hakim, ada dua kebaikan bagi seorang hamba iaitu: Ingat Allah dan ingat mati.

Orang yang berjaya ialah orang yang ingat mati. Seorang profesional itu berjaya bila dia ingat mati. Contoh: Peguam, hakim, doktor, jurutera, dsb akan menjadi seorang profesional yang berjaya jika ingat akan mati. Bila akan mati? Tak tahu. Di mana akan mati? Tak tahu. Bagaimana matinya nanti? Tak tahu. Semua dalam pengetahuan Allah.

Hakikat seorang yang alim, sentiasa rasa dirinya jahil. Hakikat seorang yang berilmu, sentiasa merasa banyak bodohnya. Salah-satu rukun hamba ialah sentiasa bertaubat. Ini hamba. Maka "taubatlah kita, tuan-tuan...", kata ustaz. Berhenti lah buat maksiat, tinggal maksiat dan menyesal akan maksiat. Banyak dosa kita dengan Allah, juga pada sesama makhluk. Dosa dengan manusia, dosa dengan haiwan contoh pada ayam itik, kucing dsb.

Setiap yang bernyawa pasti mati. Barang yang dijadi pasti binasa. Penghujungnya binasa. Ketahuilah olehmu bahawa ingat akan mati itu suatu sifat yang dipuji, suatu sifat mahmudah. Bila ingat akan mati, harta tak masuk ke poket sebaliknya memiliih untuk menjadikan hartanya mengalir... Derma, sedekah dan infak di jalan Allah.

Setiap yang hidup pasti mati. Yang takut mati pun mati, yang tak takut pun mati. Yang berani mati pun mati. Yang suka pun mati, yang tak suka mati pun mati. Yang kaya mati, yang miskin pun mati. Semua akan mati. Itu pasti.

Orang soleh, dia bimbang... "mati aku nanti apakah mati yang baik?" Mesti ada risau tentang mati kita nanti mati yang bagaimana. 
Maka, kata ustaz... sering2 lah lakukan solat sunat memelihara Iman serta Awwabin. Solat ini waktunya  ialah di antara waktu Maghrib dan Isyak. Selepas kita selesai dirikan solat Maghrib serta solat baadiyah, kita buatlah solat sunat yang dikhususkan waktu nya ini.. dengan lafaz niat, "Sahaja saya solat sunat memelihara Iman serta sunat Awwabin 2 rakaat kerana Allah Taala." Selepas fatihah di rakaat pertama, baca Qulhuwallah 6 kali, al-Falaq 1 kali dan an-Nas 1 kali. Begitu juga bacaan di rakaat kedua.

Kata ustaz, jika tak boleh tiap-tiap malam, sekurang-kurangnya kita buat seminggu sekali terutamanya di malam Jumaat. Pesan ustaz, benda yang lalai-lalai tu tinggal lah. Dah cukup dah tu, jangan tak puas-puas lagi. Jangan waktu berharga antara Maghrib dan Isyak, kita biarkan sia-sia, berlalu begitu sahaja. Kita lepas solat Isyak, dah balik rumah dah. Bila dah balik, susah nak ibadah dah, dah sibuk dengan anak, sibuk dengan isteri. 

Bangunlah ibadah di malam hari, di waktu tiada gangguan di mana hanya kita dan Allah sahaja. Rumah yang ada beribadat di dalamnya, akan bercahaya. Terangilah rumah kita seperti ada lampu. Jangan gelapkan rumah kita seperti kubur. Rumah tanpa ibadah ibarat keadaan seperti kawasan kubur. Bagi orang yang soleh, InsyaAllah akan mudah dan senang baginya untuk nak jawab soalan Mungkar dan Nakir di dalam kubur nanti... wallahu a'lam.

Awas, beringat-ingatlah kita, kerana kulit pun dah nak mati. Berkedut-kedut dah kulit, tak sama macam ketika kita muda dulu. Mata pun dah nak mati, kalau dulu terang melihat sekarang terpaksa dibantu melihat dengan pakai spek mata. Telinga pun dah nak mati, dahulu clear dengar suara ustaz, sekarang dah makin tak berapa clear. Pinggang pun dah nak mati, time dengar tazkirah entah berapa kali berpusing2 alih cara duduk. Banyak anggota dah nak mati, tunggu tuannya saja yang belum nak mati. Maka buat lah bekal banyak-banyak. Yang ada ilmu, berbekallah dengan ilmunya, yang ada harta, berbekallah dengan hartanya. Buat lah kebaikan banyak-banyak, moga-moga Allah terima. Moga-moga ibadah kita Allah terima...InsyaAllah. Ikhlaskan....

Banyakkan syukur bila Allah pilih kita dapat buat ibadah. "Yang dapat hadir di rumah Allah, alhamdulillah Allah pilih tuan-tuan...", kata ustaz. Maka bersyukurlah. Banyakkan syukur. Mohon pada Allah dikekalkan kita agar sentiasa terpilih beroleh ibadah. Muhasabah diri kita, berapa ramai orang di luar sana yang tak terpilih ke rumah Allah. Ada yang rumah di tepi masjid, namun tak terpilih. Sebaliknya ada yang rumah begitu jauh dari masjid, namun terpilih...alhamdulillah.

Wallahu'alam.

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...